Tukang masak bercuti Raya, kita pula yang berlapar

Tukang masak bercuti Raya, kita pula yang berlapar

Pengusaha kedai makan mengambil peluang berehat apabila pekerja mereka yang kebanyakannya warga Indonesia dan dari Selatan Thailand bercuti untuk pulang ke kampung halaman untuk berhari raya bersama keluarga masing-masing.

“Aduh,…mana nak makan hari ini? Semua kedai makan masih tutup, “ rungut seorang rakan sepejabat yang pening memikirkan ke mana mahu pergi untuk mengisi perut waktu rehat nanti.

Bagi mereka yang pulang awal ke kota atau memang tinggal di kota, inilah cabarannya setiap kali musim perayaan terutama Aidilfitri.

Kebanyakan restoran atau kedai makan, yang menghidangkan makanan selera tempatan atau Thai akan bercuti sekurang-kurangnya seminggu atau 2 minggu.

Di Kampung Baru yang dikatakan tumpuan warga kota dengan pelbagai pilihan daripada masakan padang, lauk-pauk kampung, masakan Kelantan ataupun Thai, kelihatan sepi apabila kebanyakan kedai makan masih menutup operasinya walaupun sudah memasuki Syawal ke-12.

Lazimnya, ketika inilah pengusaha kedai makan mengambil peluang berehat apabila pekerja mereka yang kebanyakannya warga Indonesia dan dari Selatan Thailand bercuti untuk pulang ke kampung halaman untuk berhari raya bersama keluarga masing-masing.

Pilihan yang ada hanya kedai mamak atau restoran makanan segera. Jika berkemampuan bolehlah ke pusat membeli-belah untuk menikmati makanan di restoran yang sentiasa dibuka. Cuma bersedialah apabila menerima bil, jangan terkejut pula dengan jumlah yang perlu dibayar. Memang mahal!

Semuanya ini boleh dikatakan akibat pengusaha makanan terlalu bergantung kepada tukang masak dan pekerja warga asing. Walaupun isu ini nampak kecil tetapi tetap memberi kesan yang besar kepada pelanggan. Isu ini terus berulang setiap kali hari raya.

Penulis ambil contoh kedai tomyam. Makanan Thai ini mungkin sudah diperkenalkan di Malaysia sekurang-kurangnya sejak 3 dekad lalu.

Maka tidak hairanlah jika selera masyarakat di negara ini tanpa mengira kaum sudah sebati dengan menu Thai terutama sebelah dari Selatan Thailand yang berhampiran dengan sempadan negara.

Paling diminati sudah tentunya keenakan ikan kukus limau, udang goreng tepung, sup ekor, ayam goreng kunyit dan yang paling disukai tomyam, sama ada tomyam makanan laut, daging atau ayam, yang menjadi identiti negara jiran itu.

Perniagaan makanan ala-ala Thai di Malaysia terus berkembang dan boleh dikatakan setiap kawasan dan bandar baharu pasti akan ada restoran tomyam yang di buka sehinggakan Persatuan Pemilik Restoran Tomyam Thai di Malaysia ditubuhkan untuk menjaga kebajikan pekerja di restoran berkenaan.

Perangkaan persatuan 2 tahun lepas menunjukkan terdapat sekurang-kurangnya 120,000 orang tukang masak dari Thailand terutama dari Selatan Thailand yang bekerja di kedai tom yam seluruh negara.

Dianggarkan 5,000 hingga 6,000 restoran tomyam di negara ini diusahakan sendiri oleh warga Thai yang menggunakan khidmat tukang masak dari Thailand.

Apabila baru-baru ini Kementerian Sumber Manusia mencadangkan pengusaha restoran mengambil tukang masak warga tempatan, sudah tentu ia mendapat pelbagai reaksi daripada pengusaha restoran dan pengguna sendiri.

Menurut menterinya, M Kulasegaran cadangan ini akan memberi peluang pekerjaan kepada tukang masak tempatan dan dalam masa yang sama meningkatkan kualiti penyediaan makanan yang lebih bersih kepada pelanggan.

Bagi pengguna, sudah tentu cadangan untuk menguatkuasakan peraturan baharu itu pada 1 Januari tahun hadapan dilihat sebagai langkah ke hadapan kerajaan. Peraturan yang menjadi isu hangat ini bagaimanapun kemudiannya dilaporkan masih di peringkat cadangan.

Tambahan pula dengan banyak isu kebersihan di restoran yang tular di media sosial kebelakangan ini yang melibatkan tukang masak dan pekerja warga asing.

Difahamkan pengusaha restoran tomyam menyambut baik cadangan kerajaan itu namun berharap kajian lebih terperinci dilakukan sebelum dikuatkuasakan.

Banyak perkara perlu diperhalusi terutama tenaga kerja tempatan untuk menggantikan tukang masak warga Thai di restoran dan kedai makan Thai.

Antara sebab restoran tomyam menggajikan tukang masak dari Thailand terutama dari Selatan Thailand kerana ingin mengekalkan keaslian rasa masakan Thai di restoran masing-masing, demikian menurut pengusaha restoran masakan Thai, Md Ghazali Bukhon.

Pemilik Restoran Laman Aiman, di Kampung Baru ini menggajikan empat tukang masak dari Thailand yang berkemahiran dan terlatih dalam bidang kulinari di Bangkok.

Persoalannya ialah adakah mencukupi tukang masak tempatan yang terlatih untuk memenuhi keperluan restoran berkenaan dan ia bukan boleh dibuat sesuka hati.

“Tukang masak bukan boleh diambil di tepi jalan sebaliknya perlu benar-benar berkemahiran dalam bidang kulinari atau penyediaan makanan terutama untuk bekerja di restoran.

“Bidang kemahiran kulinari peringkat diploma yang dikeluarkan institusi vokasional di negara ini juga masih baharu dan belum tentu dapat menampung keperluan itu buat masa sekarang,” katanya.

Md Ghazali berkata beliau membayar setiap tukang masaknya RM3,000 sebulan. Tukang masak di gerai tomyam yang tidak berkemahiran biasanya dibayar sekitar RM1500- RM1800 sebulan.

“Bagi saya, gaji bukan soal utama kerana jika tukang masak itu berkemahiran, gaji lebih tinggi boleh dipertimbangkan. Namun apakah tukang masak tempatan benar-benar terlatih dan mampu mengekalkan keaslian masakan Thai untuk disajikan kepada pelanggan?” soalnya.

Semua isu ini terutama keperluan tukang masak terlatih perlu diperhalusi terlebih dahulu dan jika keperluan ini diselesaikan, tidak mustahil bidang penyediaan makanan di Malaysia akan mencapai ke tahap yang lebih baik.

Beliau juga berkata, sebagai pengusaha restoran, pengambilan tukang masak tempatan akan memberi banyak kelebihan terutama dapat mengurangkan kos dan juga cuti operasi terutama pada musim perayaan seperti Aidilfiri.

Pada sambutan hari raya tahun ini operasi restorannya terpaksa ditutup selama 2 minggu bagi membolehkan empat tukang masaknya pulang ke kampung mereka di Selatan Thailand.

“Kalau ambil tukang masak tempatan mungkin operasi restoran hanya dihentikan ketika cuti umum sahaja selain dapat mengurangkan kos permit pekerja,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.