
Maka heboh satu negara berkenaan kenyataan akhbar Kementerian Kewangan yang disiarkan dalam Bahasa Mandarin.
Sesetengah orang memandang ia sebagai satu penghinaan, sesetengah lagi menerimanya sebagai satu bentuk penjajahan dan ada segolongan lagi yang ‘ok’ sahaja.
Penulis tidak mahu ulas siapa yang bising, siapa yang kecam, siapa yang marah. Anda boleh baca daripada pelbagai sumber yang lain.
Sebelum berbicara panjang, izinkan penulis memberi landasan awal pendapat berkenaan isu ini. Sebagai pengamal media, penulis amat mengalu-alukan siaran media dalam pelbagai bahasa atas 3 faktor.
Faktor pertama adalah senario industri media di Malaysia. Kita semua sedar Malaysia ini unik. Kita hidup dalam negara dengan masyarakat berbilang kaum yang mana setiap satunya mempunyai keperluan mereka tersendiri.
Antara keperluan utama setiap segmen masyarakat adalah akses kepada maklumat semasa yang biasa didapati melalui bahan bacaan berita.
Oleh itu, pengusaha rumah media yang datang dari pelbagai kaum berusaha memenuhi keperluan yang datang dari kaum mereka.
Kenapa? Sebab lain orang lain seleranya. Topik-topik yang menjadi kegemaran kaum Melayu, belum tentu menjadi “santapan” kaum Cina mahu pun India.
Jadi wujudlah bagi penulisan Bahasa Melayu, akhbar seperti Utusan Malaysia, Berita Harian, Sinar Harian, Kosmo!, dan Harian Metro.
Bagi masyarakat Cina pula, ada akhbar Nanyang Siang Pau, Sin Chew Daily (dahulu Sin Chew Jit Poh), China Press, Guan Ming Daily dan Oriental Daily.
Tidak lupa juga bagi kaum India, ada Tamil Nesan, Malaysia Nanban, dan Makkal Osai.
Dalam masa yang sama, ada juga syarikat berita yang menggunakan Bahasa Inggeris seperti The Star, New Straits Times, The Malaysian Reserve, The Edge, Free Malaysia Today dan The Malaysian Insight.
Perkembangan teknologi juga memungkinkan berita dan bahan maklumat lain disebarkan menerusi Internet dan ada banyak pangkalan yang menghidangkan berita dalam pelbagai bahasa yang biasanya beroperasi melalui laman sesawang seperti Bernama, dan Malaysiakini.
Jika anda rasa ini sudah banyak, jangan terkejut kerana jika anda ke Sabah dan Sarawak, ada banyak lagi rumah berita yang berpangkalan di sana.
Antaranya, Utusan Borneo, The Borneo Post, New Sabah Times, Daily Express, New Sarawak Tribune, Asia Times, Merdeka Daily, Harian Tawau Express, Morning Post, See Hua Daily News, Overseas Chinese Daily News, International Times, dan United Daily News.
Penulis harap di saat ini semua yang membaca sudah faham betapa banyaknya rumah berita di negara kita ini.
Atas kepelbagaian inilah wujud pelbagai keperluan yang membawa kita ke faktor kedua iaitu kesukaran penulisan berita berbentuk teknikal.
Menulis berita ekonomi tidak sama caranya dengan berita sukan. Berita sukan pula tidak sama dengan berita jenayah dan sudah tentunya berita jenayah berbeza dengan berita mahkamah.
Setiap bidang ada disiplin dan etika penulisan yang tersendiri. Paling ‘mahal’, setiap jenis berita ada ‘lingo’ atau gaya bahasa mereka tersendiri.
Sebagai contoh, perkataan ‘memotong’ bagi penulis berita am, jenayah, mahkamah dan sukan memberi makna berbeza.
Atas dasar itu apabila ada sahaja elemen maklumat yang bersifat teknikal, para wartawan perlu mencari cara yang paling sesuai untuk menulisnya supaya mudah difahami orang ramai.
Sesetengah subjek yang ditemu bual tidak faham perkara ini. Mereka mahu pemberita memasukkan “jargon” (bahasa khusus), istilah dan perkataan besar. Walhal perkataan itu tidak difahami orang kebanyakan, baik di bandar mahupun di kampung kerana ia adalah bahasa industri. Hanya orang yang terlibat dalam industri itu sahaja yang faham istilah itu.
Begitulah juga dengan penulisan berita ekonomi. Sedangkan ayat biasa seperti ‘pasaran saham ditutup bercampur-campur’ pun ramai yang tidak faham, inikan pula perkataan besar yang kita sendiri pun tidak pernah dengar.
Perkatan dan istilah asing ini, bukan sahaja pembaca tidak faham, kadang-kadang wartawan pun tidak faham juga. Mungkin yang bercakap juga keliru makna istilah yang diucapkan kerana teks ucapan ditulis oleh orang lain.
Sebab itulah wartawan selalu menebalkan muka untuk tanya semula apa erti istilah yang diguna sesetengah pemimpin. Hendak bertanya kepada kawan seangkatan, bimbang pula salah pengertian.
Pengalaman penulis sendiri, kadang-kadang si pengucap sebenarnya maksudkan istilah lain tetapi sebab masa atas pentas dia gemuruh, perkataan lain pula yang keluar. Selepas ditegur barulah si pengucap sedar kesalahannya.
Atas dasar itulah, amat penting untuk setiap wartawan faham keperluan rumah berita yang dia wakili.
Kalau penulis mendengar istilah diucap dalam Bahasa Inggeris, sudah menjadi kebiasaan untuk menyemak semula dengan sumber, apa istilah yang tepat dalam Bahasa Melayu.
Begitu juga kalau istilah diucap dalam bahasa Melayu, rakan akhbar Inggeris, Cina dan Tamil pasti akan bertanya kepada sumber, apa istilah yang betul dalam bahasa kegunaan rumah berita masing-masing.
Faktor terakhir adalah risiko tinggi akibat penterjemahan berulang seperti contoh: “I would like to have some tea.”
Apabila kita terjemah sekali ke Bahasa Melayu, dia boleh menjadi, “Boleh berikan saya secawan teh?”
Tetapi jika diterjemah semula ke bahasa Inggeris, mungkin ada yang tulis, “Can you give me a cup of tea?”
Bendanya nampak macam kecil tetapi akibat penterjemahan berulang, makna asal sesuatu ayat boleh berubah dan ia akan memberi impak kepada pembaca.
Kalau dilihat daripada frasa pertama dicontohkan di atas, boleh kita tanggap orang yang meminta segelas teh sebagai orang yang sopan dan berbudi bahasa.
Setelah diterjemah ke dalam bahasa Melayu, ia masih berbunyi sopan.
Namun apabila diterjemah bagi kali ketiga, bunyinya sudah menjadi sedikit kurang lembut berbanding frasa asal.
Di Bernama berita-berita kami disiarkan dalam pelbagai bahasa, boleh jadi sampai 5 bahasa iaitu Melayu, Inggeris, Mandarin, Arab dan Sepanyol.
Jadi adakah wartawan tulis suka hati ikut bahasa apa yang mereka suka? Sudah tentunya tidak. Wartawan akan tulis laporan berdasarkan bahasa yang digunakan dalam acara yang mereka hadiri, atau setidak-tidaknya ‘petikan’ ditulis dalam bahasa asal dituturkan oleh pengucap.
Di pejabat barulah akan diterjemah mengikut keperluan. Bukan setakat diterjemah, sesetengah artikel juga perlu diberi ‘penyesuaian’ mengikut keperluan audien.
Semua ini dibuat untuk mengelakkan penterjemahan berulang yang boleh memberi kesan kepada maksud asal sesuatu fakta.
Atas dasar itulah penulis berpendapat penyediaan kenyataan akhbar dalam pelbagai bahasa adalah suatu langkah yang amat baik, amat perlu, memudahkan wartawan, dapat mengelakkan salah faham dan paling penting, ia dapat memastikan data sahih disampaikan kepada pembaca.
Oleh itu bagi penulis, menyiarkan kenyataan akhbar dalam 3 bahasa bukan sahaja tidak salah, bahkan tidak cukup.
Jika boleh, jangan hanya sediakan kenyataan akhbar dalam Bahasa Melayu dan Inggeris sahaja tetapi adakan juga kenyataan bertulis dalam Mandarin dan Tamil untuk rujukan wartawan bertugas.
Berasaskan prinsip sama, penulis berpendapat adalah lebih ‘cantik’ jika respon menteri terhadap kritikan yang dilempar kepada menteri turut dijawab dalam pelbagai bahasa.
Itu akan memadamkan segala persepsi negatif yang dilemparkan terhadap dirinya.
(Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis)