Pulau Pinang miliki perpustakaan digital pertama di Malaysia

Pulau Pinang miliki perpustakaan digital pertama di Malaysia

Perpustakaan digital itu dibina atas keluasan 4,000 kaki untuk menampung 120 orang pelawat pada satu-satu masa, kini diperbesarkan dengan bangunan tambahan yang dikenai sebagai PDL2.

Free Malaysia Today
Perpustakaan Digital Pulau Pinang (PDL). (Gambar Facebook PYDC)

Perpustakaan Digital Pulau Pinang (PDL), perpustakaan digital pertama di Malaysia, dan menjadi pusat sumber semua peringkat umur dan pemangkin kepada pengembangan bidang Sains-Teknologi-Kejuruteraan-Matematik (STEM) kini dalam proses pembesaran.

Premis PDL dengan keluasan 4,000 kaki persegi serta hanya dapat menampung 120 orang pelawat pada satu-satu masa, kini diperbesarkan dengan bangunan tambahan yang dikenai sebagai PDL2.

Timbalan Pengurus Besar Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang (CMI) S. Bharathi berkata ia mendapat sambutan yang amat menggalakkan walaupun di waktu malam selepas beroperasi 24 jam sehari sejak 1 Mei 2017.

“Sejak dibuka pada Oktober 2016, perpustakaan itu menerima sehingga 3,000 pelawat sebulan, kebanyakannya pelajar, lepasan sekolah dan eksekutif muda,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di premis tersebut.

Beliau berkata, perpustakaan itu menyediakan akses berstruktur pengguna kepada maklumat dan ilmu pengetahuan melalui lebih 3,000 judul buku mengenai STEM dan bacaan am yang akan ditambah kepada lebih 20,000 judul pada masa yang akan datang.

Penubuhan perpustakaan tersebut adalah atas inisiatif kerajaan negeri dengan kerjasama Keysight Technologies dan Kumpulan Eastern & Oriental (E & O) dan disokong oleh TIME manakala CMI adalah badan pelaburan negeri yang mengurus aset tersebut.

PDL2 dengan kawasan seluas16,000 kaki persegi, akan dibina berdekatan dengan PDL asal di Jalan Masjid Negeri dan dijangka siap pada Disember.

Bagaimanapun, Bharathi berkata reka bentuk PDL2 adalah berdasarkan konsep ‘Perpustakaan dalam Taman’ di mana ia mengambil inspirasi daripada suasana nyaman dengan pokok-pokok besar di tapak yang ditetapkan.

Beliau berkata CMI sedang bekerjasama dengan sebuah syarikat multinasional (MNC) bagi menyediakan program pengajaran animasi yang akan dijalankan di PDL2.

“Kami juga berbincang dengan beberapa MNC mengenai potensi kerjasama menyediakan lebih banyak program kepada anak-anak sebagai persediaan mereka memenuhi keperluan industri,” katanya.

Untuk mengakses e-buku yang disediakan, orang ramai perlu mendaftar sebagai ahli dengan yuran tahunan RM60 untuk dewasa dan RM30 bagi pelajar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.