
Gara-gara melawat kediaman pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan bergambar dengan mereka, Datuk Siti Nurhaliza dan menantu tirinya, pelakon Izara Aishah dikecam di laman sosial.
Sekeping gambar menunjukkan Izara Aishah memeluk mesra Tun Dr Mahathir Mohamad dikongsi di laman sosial dikecam atas keterlaluannya.
Namun, pelakon itu segera tampil memohon maaf menerusi satu lagi posting di Instagramnya.

Katanya, gambar itu di ambil ketika dia berkunjung ke kediaman Dr Mahathir sempena menyambut hari raya dan akui dirinya amat menghormati perdana menteri itu.
Tetapi tindakannya bergambar mesra dengan Dr Mahathir langsung tidak dijangka akan mengundang komen negatif daripada netizen.
“Saya menyesal apa yang berlaku kepada gambar saya itu, dan kepada YAB Tun Mahathir dan keluarga, saya memohon maaf atas kesilapan ini jika ia mengguris hati mereka. Maaf zahir dan batin.”
Gambar tersebut bagaimanapun sudah dipadamkan.

Dalam satu lagi insiden, Siti Nurhaliza pula dikecam dengan dakwaan bersikap “lalang” kerana mengunjungi kediaman pemimpin PH untuk beraya.
Siti sekeluarga mengunjungi kediaman Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan mereka bergambar bersama.
Entah mengapa, ramai yang berasa tidak selesa dengan kunjungan itu lalu mempersoal jika beliau turut berkunjung ke rumah bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.