Posisi tidur beri impak kepada kesihatan

Posisi tidur beri impak kepada kesihatan

Pilihan posisi penting bagi memastikan keselesaan, tetapi tahukah anda bukan semua posisi itu sihat dan memberi rehat sebenar.

Rata-rata kita tidur mengikut keselesaan dan lazimnya posisi tubuh kita agak terhad kepada 1 atau 2 posisi yang tertentu sepanjang tidur.

Sama ada tidur melengkungkan tubuh, tidur terlentang, tidur atas perut dan lebih pelik, tidur sambil duduk atau menyandar. Macam-macam pilihan posisi menjadi pilihan seseorang bagi memastikan keselesaan, tetapi tahukah anda bukan semua posisi itu sihat dan memberi rehat sebenar?

Beberapa kajian menunjukkan cara tidur yang salah memberi impak negatif termasuk masalah kronik kepada tubuh. Memetik artikel Femail, perunding tidur, Elina Winnel dari My Sleep Coach memberi panduan terhadap cara tidur yang betul dan yang perlu dielak.

Tidur memeluk tubuh

Menurutnya posisi tidur memeluk tubuh harus dielak sama sekali kerana sangat menjejaskan kesihatan.

“Jika kita memilih posisi tidur ini, kita umpama menghantar signal kepada sistem saraf supaya berjaga-jaga dan ia tidak baik untuk aktiviti tidur anda,” katanya.

Ya, anda sepatutnya berahat bukan “bersedia” untuk apa-apa, jadi posisi ini harus dielak.

Tambahnya Elina, posisi yang lebih terbuka disarankan supaya ia membuka ruang paru-paru dan membolehkan anda bernafas secara lebih baik.

Tidur menyisi

Antara posisi tidur yang paling umum ialah tidur menyisi. Menurut pakar neurologi dan perubatan tidur, Dr Ehrlich, tidur menyisi adalah posisi yang lebih baik namun perlukan beberapa sokongan bantal supaya lebih bersifat merehatkan.

“Dari aspek struktur tubuh, saraf dan otot serta pengaliran udara dalaman tubuh, posisi ini lebih baik,” katanya yang menyarankan supaya menempatkan bantal di bahagian kepala serta tepi tubuh.

“Ia juga posisi yang baik untuk penghadaman khususnya tidur menyisi di sebelah kiri di mana terletaknya bahagian esofogus ke perut,” kata beliau.

Tidur atas perut

Dalam buku Women’s Health, A Life Less Stressed, Dr.Ehrlich mendedahkan posisi yang perlu dielak sama sekali iaitu tidur atas perut.

“Tidur atas perut adalah yang paling buruk. Ia akan menyebabkan tekanan pada bahagian otot perut, kepala, leher dan rahang. Ia juga boleh memberi kesan kepada bahagian bawah belakang tubuh dan pelvis,” katanya. “Ia juga boleh menyukarkan pernafasan anda apabila tidur dengan menghala muka ke katil.”

Pakar perubatan tidur dan pensyarah di Kolej Perubatan Albert Einstein, Shelby Harris mengakui perkara itu.

Memetik katanya dalam Business Insider, beliau berkata posisi tidur atas perut memberi tekanan kepada seluruh tubuh. “Anda mungkin bangun dengan kekebasan dan sesemut serta meningkatkan sakit otot serta sendi.”

Tidur terlentang

Posisi tidur ini dikatakan sebagai posisi yang terbaik. Seorang lagi pakar perubatan tidur, Dr Mark T Brown kepada akhbar Chicago Tribune menyatakan tidur terlentang dengan bahagian leher, kepala dan dada sedikit terangkat (atas bantal) adalah posisi yang digalak.

“Ia menawarkan rehat sebenar kepada bahagian bahu dan belakang badan serta melancarkan refluks asid (di mana asid perut akan mengalir secara terbalik ke dalam esofogus),” kata beliau.

Jadi sekarang apa posisi tidur anda?

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.