
Piala Dunia 2018 membuka tirai pada 14 Jun yang lalu dan akan berlangsung sehingga 15 Julai. Jadi, tarikh 15 Julai akan menjadi tarikh keramat untuk menentukan pasukan yang paling gah menawan piala tersebut untuk jangka masa 4 tahun akan datang.
Setiap kali sesuatu acara berlangsung, ia bukan sahaja mengenai aktiviti utama acara itu, tetapi terdapat banyak perkara yang menjadi “persediaan” sebelum keberlangsungannya.
Dalam hal Piala Dunia pun sama juga.
FMT Ohsem akan menyenarai 5 persediaan utama yang mungkin ramai yang terlepas pandang atau tidak perasan sedangkan ia menjadi penggerak utama kepada seluruh acara tersebut.
Bola sepak Piala Dunia buatan Pakistan

Syarikat Adidas selaku rakan kerjasama FIFA dan Piala Dunia FIFA mengedar bola perlawanan sejak 1970. Bola ini dipasang cip near-field communication (NFC) yang membolehkan pengguna Telstar 18 berhubung dengan bola tersebut menggunakan telefon pintar. Ia akan mengakses kepada kandungan dan maklumat mengenai bola, keperibadian dan sifat umum serta tema inter-aktiviti sempena perlawanan Piala Dunia. Sebanyak 18 bola Telstar 18 dihasilkan di Pakistan.
12 stadium di 11 lokasi
Stadium menjadi platform lokasi perlawanan bola sepak atau secara umumnya mana-mana sukan. Bagi Piala Dunia 2018, sebanyak 12 stadium disiapkan di 11 lokasi di Russia.
Sebenarnya ia bukanlah perkara mudah, kerana walaupun ada stadium yang sudah tersedia ada, ia harus melalui pelbagai proses persediaan termasuk pengubahsuaian dan pembaharuan supaya menepati keperluan Piala Dunia. Ini menelan berjuta ringgit!
Mari kita lihat kesemua 12 stadium itu dan latar belakangnya.
– Samara: Samara Arena. Mula dibina pada 21 Julai 2014 dan siap pada 21 April 2018.
– Nizhny Novgorod: Nizhny Novgorod Stadium. Dibina pada 2015 dan siap pada Disember 2017.
– Volgograd: Volgograd Arena. Arena utama Volgograd dibina di atas lokasi Central Stadium, di tapak kompleks peringatan Mamayev Kurgan. Ia disiap pada 3 April 2018.
– Ekaterinburg: Ekaterinburg Arena. Stadium Pusat Ekaterinburg diubahsuai untuk FIFA dengan kapasiti 35,000 penonton. Siap pada Disember 2017.
– Saransk: Mordovia Arena. Sepatutnya dibuka pada 2012 untuk Acara Terbuka Russian Spartakiad tetapi gagal. Perlawanan pertama di stadium ini diadakan pada 21 April 2018.
– Rostov-on-Don: Rostov Arena. Dibina berdekatan Sungai Don, siap pada 22 Disember 2017.
– Kaliningrad: Kaliningrad Stadium. Mula dibina pada September 2015 dan acara pertama diadakan pada 11 April 2018.
– Kazan: Kazan Arena. Dibina untuk Summer Universiade 2013 dan pernah menjadi hos untuk Kejohanan Akuatik Dunia 2015 dan Piala Konfederasi FIFA 2017.
– Moscow: Spartak Stadium. Terkenal sebagai Otkritie Arena, mula digunakan sejak 5 September 2014.
– Sochi: Fisht Stadium. Digunakan untuk pembukaan dan penutupan Winter Olympics 2014 dan diubahsuai untuk Piala Konfederasi 2017 dan Piala Dunia 2018.
Saint Petersburg: Saint Petersburg Stadium. Mula dibina pada 2007 dan siap pada Disember 2016
– Moscow: Luzhniki Stadium. Stadium terbesar di Russia ini ditutup untuk ubahsuai pada 2013 dan dibuka pada November 2017.
Lagu rasmi oleh penyanyi Puerto Rico, Kosovo dan AS
Salah satu elemen yang dinanti-nantikan setiap kali Piala Dunia ialah lagu rasminya. Rancak, penuh bersemangat dan ‘lively’, lagu “Live It Up” untuk Piala Dunia 2018 di Russia ini dinyayikan oleh penyanyi Puerto Rico, Nicky Jam bersama rapper, pelakon dan penerbit terkenal, Will Smith dan penyanyi Kosova, Era Istrefi.
Trek lagu itu dihasilkan oleh Diplo, The Picard Brothers, dan Free School, dikeluarkan pada 25 Mei 2018. Video muzik itu diarahkan oleh Yasha Malekzad dirakam di Moscow, Russia.
Logo lambang tradisi artistik Russia

Menurut Ketua Pegawai Kreatif, Miguel Viana, inspirasi untuk logo itu diambil daripada traidisi artistik Russia dan sejarah kejayaan serta inovasi negara itu.
“Kami mengkaji sedalam-dalamnya identiti Russia. Elemen atas mengingatkan kita kepada bentuk sputnik (satelit buatan yg dilancarkan ke angkasa lepas) warna merah, emas, hitam dan biru mencerminkan teknik yang dilihat dalam seni terkenal Russia di dunia,” katanya.
Jadi apa pendapat anda mengenai logo itu? Suka?
Maskot serigala Zabivaka penuh helah?
Maskot mula-mula diperkenalkan oleh organisasi sukan pada 1960an dengan tujuan meningkatkan keterujaan acara menerusi imej haiwan. Dari situ, maskot yang bermaksud pembawa tuah dalam bahasa Perancis digunakan secara wajib dalam hampir semua acara, bukan sahaja sukan.

Maskot yang dikenali sebagai Zabivaka membawa maksud “si pemenang” dan menjanjikan imej haiwan, serigala akan memainkan peranan penting sepanjang perlawanan Piala Dunia kali ini.
Serigala itu bukan sahaja digunakan untuk mempromosi acara dan menghibur penonton di stadium tetapi juga menjadi duta Russia dan selebriti antarabangsa.
Zabivaka dihasilkan oleh seorang pelajar rekaan, Ekaterina Bocharova dan dipilih menerusi undi dalam internet pada 2016. Zabivaka menang dengan 53% undi mengalahkan maskot harimau dan kucing.
Trofi dari Milan, Itali

Trofi Piala Dunia 2018 kali ini dihasilkan di GDE Bertoni sebuah syarikat yang diasaskan pada tahun 1938 di sebuah bandar kecil, di Paderno Dugnano di Milan, Itali. Ironinya, Itali buat kali pertama dalam sejarah Piala Dunia, tidak melepasi pusingan pemilihan bagi perlawanan tersebut pada tahun ini. Apapun, Itali tetap memainkan peranannya dalam pembuatan trofi yang menjadi penentu terakhir. Sebenarnya, Piala Dunia FIFA sebenar yang jarang diperaga dihasilkan pada 1970 oleh artis Silvio Gazzaniga. Tetapi setiap 4 tahun, trofi tembaga bersalut warna emas dibuat untuk disampaikan ke tangan pemenang.