Aneka pilihan nasi daun pisang di Little India, Klang

Aneka pilihan nasi daun pisang di Little India, Klang

Kebanyakan restoran makanan di sini sudah bertapak sekian lama, lebih 50 tahun semenjak warga India Selatan dibawa oleh kolonial Inggeris pada awal abad ke-20.

Terdapat banyak penempatan Little India di Malaysia, antara yang paling popular ialah di Jalan Tengku Kelana, Klang.

Mengunjungi Little India di Klang ini lazimnya untuk beberapa sebab dan yang paling utama ialah “makan”.

Kalau dah melawat tempat ini memang tak lengkap kalau balik perut kosong. Daripada makanan India selatan dan utara, makanan Sri Lanka, makanan Mamak, makanan Melayu, semuanya ada di sini.

Dah namanya pun Little India, maka makanan India, khususnya selatan memenuhi setiap deretan bangunan di sini.

Lebih mengujakan, kebanyakan restoran makanan di sini sudah bertapak sekian lama, lebih 50 tahun, semenjak warga India Selatan dibawa oleh kolonial Inggeris pada awal abad ke-20.

Sehingga kini kebanyakan restoran mengekalkan ciri asli India dengan menggunakan tukang masak dari negara itu selain menghidang makanan menggunakan daun pisang.

FMT Ohsem mengunjungi Little India Klang di sepanjang Jalan Tengku Kelana dan jalan berdekatan untuk memburu nasi daun pisang India terbaik di sini.

Secara umum, 1 set nasi daun pisang akan didatangkan dengan nasi, kuah pilihan dan 5 jenis sayur, papadam, jeruk dan chutney pudina berharga RM6.50. Siap boleh tambah lagi!

Lauk-pauk lain seperti ikan, ayam, daging kambing dan sayuran tambahan akan dikenakan harga tambahan yang berbeza.

Restoran Jaihind

Sudah 72 tahun beroperasi di Little India, Klang, kedai ini masih mengekalkan ciri tradisional dari segi pengaturan kerusi dan meja.

Selain itu restoran ini juga popular dengan makanan “siganature” mereka, thosai dan idli rawa, thosai minyak sapi dan masala thosai.

Pemiliknya, K Nagarajan berkata “Jaihind” (Kebebasan) dinamakan oleh datuknya yang mahu mengekalkan patriotisme terhadap India selepas dibawa oleh Inggeris pada awal abad ke-20.

Sreedhana Curry House

Juga berlokasi di Jalan Tengku Kelana, restoran pertama dibuka di Pelabuhan Klang pada 1929 dan masih beroperasi.

Perniagaan ini kini dijalankan oleh generasi ke-4, pemiliknya, P Nagaraja.

Satu set nasi daun pisang asas dijual pada harga RM6.50. Selain nasi daun pisang, restoran ini terkenal dengan nasi briyani serta kari kambing.

Suria Masala Curry House

Menawarkan persekitaran yang serba bersih dan mengalukan, restoran ini masih baru berbanding kebanyakan yang lain.

Mungkin kerana itu, ia menawarkan suasana yang lebih selesa, sesuai dengan mereka yang terlalu memilih hal kebersihan dan sentuhan kemodenan.

Mengekalkan tradisi India selatan, menariknya mengenai restoran ini ialah mereka menggunakan rempah dan serbuk kari yang dikisar di kilang mereka di Klang Utama.

P Kanan memberitahu, mereka memastikan semua bahan yang digunakan bersih dan menepati citarasa tanpa membelakangkan kualiti.

Satu set nasi daun pisang berharga RM6.80. Selain itu kedai ini juga popular dengan nasi briyaninya.

Restoran Smiley

Awalnya restoran ini diperkenalkan kerana nasi briyani Hyedrabadnya, rupanya ia juga antara pilihan terbaik untuk nasi daun pisang.

Sudah 10 tahun bertapak di Klang, restoran ini mempunyai menu khusus pada hari tertentu yang mungkin sukar diperolehi. Antaranya kambing ‘naatu aadu’, pelbagai jenis sup, bubur, rasam ayam dan sebagainya.

Restoran ini juga menawarkan nasi “ponni” sejenis nasi yang terkenal di India selatan kerana tidak mengandungi kanji dan pilihan sihat untuk pesakit diabetes.

Satu set nasi daun pisang dengan 3 jenis sayuran berharga RM5.90, manakala set nasi ponni daun pisang pula berharga RM7.00.

Restoran Mohana

Restoran ini dibuka pada 1962 oleh bapa A R Dasmohan. Kelihatan sangat ceria dengan dekorasi yang kaya dengan unsur keIndiaan, ia dikatakan melalui sesi “make over” sebelum diubahsuai pada 2007.

Nampaknya tak rugi melawat restoran ini kerana ia menawarkan lebih 18 jenis sayur dan 2 jenis makanan berasaskan daging serta makanan laut dalam menu mereka.

Juga terkenal dengan nasi briyani, thosai ayam dan kambing serta thosai minyak sapi rava.

Nasi daun pisang di sini berharga RM7.00 dan seperti biasa lauk-pauk tambahan dengan harga berbeza bermula dari RM5.90 hingga RM15.00 sepinggan.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.