SPR gesa semak dulu semua maklumat yang dikongsi

SPR gesa semak dulu semua maklumat yang dikongsi

Musim pilihan raya bukan platform bagi individu yang mewakili mana-mana parti politik untuk menyebarkan berita palsu dan keghairahan untuk berkempen tidak seharusnya dicemari dengan maklumat tidak benar.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menggesa orang awam untuk sentiasa berhati-hati dengan sebarang berita yang diterima daripada sesiapa sahaja dalam talian berkaitan dengan Pilihan Raya Umum ke-14 yang bakal berlangsung Rabu ini.

Pengarah Kanan Bahagian Advokasi dan Jangkaun, MCMC, Eneng Faridah berkata, dalam tempoh berkempen yang dianggap ‘genting’ ini masyarakat perlulah mengambil langkah berwaspada dengan tidak terus mempercayai maklumat yang diterima walaupun daripada kenalan rapat dan tidak menyebarkan kepada pihak lain tanpa mengetahui kesahihannya.

Katanya, akan ada segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab cuba untuk mengambil kesempatan menyebarkan berita palsu dengan niat mengelirukan orang ramai bagi kepentingan sendiri.

“Pelbagai teori, andaian dan pendapat akan muncul sewaktu berkempen dan masyarakat perlulah bijak untuk membezakan fakta dengan pandangan peribadi seseorang supaya tidak terpedaya oleh mana-mana individu yang mempunyai agenda tersembunyi,” katanya ketika ditemui di Siri Jelajah Sebenarnya.my Peringkat Negeri Sabah di Padang Bandaran baru-baru ini.

Baginya, musim pilihan raya bukanlah platform bagi individu yang mewakili mana-mana parti politik untuk menyebarkan berita palsu dan keghairahan untuk berkempen tidak seharusnya dicemari dengan maklumat tidak benar kerana dibimbangi boleh mendatangkan kemudaratan kepada negara.

Ujarnya, penyebaran berita palsu boleh memberi impak kepada masyarakat negara ini yang terdiri daripada berbilang kaum dan agama sekaligus dikhuatiri menjejaskan keselamatan dan keharmonian masyarakat.

Sahkan maklumat menerusi Sebenarnya.my

Sehubungan itu, Eneng Faridah menyarankan setiap orang menyemak terlebih dahulu setiap maklumat yang diterima secara dalam talian tidak kira daripada platform media sosial, applikasi Whatsapp, blog dan laman sesawang sebelum meletakkan sepenuh kepercayaan dan berkongsi maklumat.

“Sikap tidak suka menyemak boleh menyebabkan pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan dengan situasi,” kata Eneng Faridah.

Katanya, pengesahan maklumat boleh dibuat dalam portal Sebenarnya.my yang menjadi pusat sehenti bagi orang awam untuk menyemak sesuatu maklumat sebelum berkongsi berita yang diragui kesahihannya yang diterima secara dalam talian.

Sekiranya berita yang dicari tiada dalam portal Sebenarnya.my, masyarakat boleh menyalurkan maklumat tersebut bagi mendapatkan penjelasan lanjut.

Maklumat yang tular akan dirujuk kepada kementerian atau agensi berkaitan dan jika dahulu maklum balas akan diberikan dalam masa 24 jam, kini ia dipendekkan kepada 4 jam kerana bimbang kesan berita palsu yang tular boleh mengancam keamanan negara.

Sebar berita palsu boleh didakwa

Jika terdapat individu yang menyebarkan berita palsu, mereka boleh didakwa dan dikenakan tindakan undang-undang.

Sebelum ini jika individu yang menyebarkan maklumat atau berita palsu boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, namun kini kesalahan itu boleh didakwa di bawah Akta Anti Berita Tidak Benar 2018 yang memperuntukkan hukuman yang lebih berat.

Pendakwa raya boleh mendakwa pesalah di antara kedua-dua akta itu bergantung kepada tahap serius sesuatu isu dan kesan kandungan kepada keharmonian negara dan masyarakat.

Jelasnya, mana-mana pesalah di bawah Akta Anti Berita Tidak Benar 2018 boleh dikenakan denda maksimum sehingga RM500,000 atau penjara sehingga 6 tahun atau kedua-duanya.

“Walaupun mungkin maklumat itu tidak ditulis oleh pesalah, tetapi sekiranya didapati menyebarkan berita palsu, kedua-dua akta ini tetap terpakai. Oleh itu, diingatkan supaya jangan sewenang-wenangnya percaya dan berkongsi berita tular,” tegas Eneng Faridah.

Didik komuniti elak penularan berita palsu

Mengenai inisiatif kerajaan melalui MCMC untuk mengekang penularan berita palsu, beliau berkata, pelbagai kempen serta jelajah giat dijalankan dan sehingga kini, Siri Jelajah Sebenarnya.my diadakan di 50 buah lokasi di seluruh negara bermula awal tahun ini.

Penganjuran jelajah dilakukan bagi mendekati komuniti setempat dengan membawa misi mendidik masyarakat mengenai kepentingan memilih berita dan mengesahkan kandungan sebelum berkongsi.

Antara aktiviti yang diadakan bersempena Siri Jelajah di Semporna ialah sukan rakyat, pertandingan karaoke, persembahan silap mata, cabutan bertuah dan Konsert Jelajah Sebenarnya.my.

Katanya, usaha mendidik masyarakat mengenai kesan penularan berita palsu akan diteruskan dan kerajaan sentiasa memandang serius isu ini.

“Selagi ada berita palsu, selagi itulah didikan harus diberikan kepada masyarakat kerana kadangkala orang ramai dilihat seperti teruja untuk berkongsi maklumat tanpa memikirkan kesannya,” ujarnya.

Sambutan baik oleh masyarakat

Pengurus Pusat Internet 1 Malaysia (PI1M) Kampung Bubul Lama, Ramlah Roslan, 28, berkata, Siri Jelajah Sebenarnya.my dapat memberi peluang kepada komuniti setempat untuk memahami fungsi portal itu.

Katanya, jelajah ini dapat meningkatkan tahap kesedaran penduduk terhadap portal yang sebelum ini agak rendah dan dengan adanya penganjuran karnival orang ramai akan lebih mengetahui cara sebenar untuk mengesahkan maklumat.

“Jika dilihat daripada sambutan karnival, ianya amat memberangsangkan dan sudah pasti memberi publisiti yang baik kepada portal Sebenarnya.my. Diharapkan selepas ini, masyarakat lebih sedar akan perlunya mengesahkan sesuatu maklumat yang diterima,” kata Ramlah.

Ramlah turut menyambut baik usaha kerajaan dan menyokong penganjuran karnival seperti ini kerana ia langkah yang terbaik dalam menangani masalah penyebaran berita palsu yang berlelusa ketika ini.

Portal Sebenarnya.my dilancarkan pada 14 Mac tahun lepas dan menghimpunkan maklumat yang ditentusahkan oleh saluran rasmi atau agensi kerajaan.

Bertemakan ‘Tidak Pasti Jangan Kongsi’, portal berkenaan kini menerima lebih 25 juta hits dan hampir 500,000 layaran dalam tempoh seminggu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.