Ratusan ribu disumbang untuk #pulangmengundi

Ratusan ribu disumbang untuk #pulangmengundi

#pulangmengundi dan #undirabu berjaya mengumpul RM141,897.21 sehingga 16 April dan sudah pun mengedar RM45,050 kepada mereka yang memerlukan.

Pelbagai perkongsian status menggunakan hashtag #pulangmengundi mewarnai laman sosial khususnya Twitter yang menjadi platform paling “rasmi” bagi pilihanraya ke-14 (PRU14) yang bakal berlangsung pada 9 Mei ini.

Memandangkan ia diadakan pada hari bekerja iaitu Rabu, ramai menyatakan kesukaran, rata-rata membabitkan masalah pengangkutan yang bakal menelan belanja agak besar.

Anak muda yang teruja untuk mengundi buat pertama kali tetapi tinggal jauh dari kampung halaman atau tempat mengundi kerana belajar dan bekerja juga menyampaikan ketidakmampuan kewangan untuk ulang-alik untuk satu hari.

Apa pun, ia tetap menjadi tanggungjawab kita sebagai rakyat walaupun mengundi tidak diwajibkan.

Pelbagai pihak mengambil langkah memberi bantuan kewangan untuk mereka yang berdepan halangan tersebut.

Bagi mengaktifkan gerakan dan memudahkan proses menyumbang, pihak ini tampil dengan prosedur derma yang dipopularkan dengan #pulangmengundi dan #undirabu yang sehingga 16 April, sudah pun mengumpul RM141,897.21 dan daripadanya RM45,050 diedarkan kepada yang memerlukan.

Beberapa tweet juga menarik perhatian pengguna laman sosial sehingga dikongsi beratus kali kerana mengetengah sikap mulia dna jujur individu yang mendapat sumbangan tetapi memulangkan wang apabila tidak dapat mengundi atas sebab tertentu.

Contohnya, perkongsian tweet oleh pengguna Twitter bernama @bongkersz dengan seorang penerima sumbangan yang menghubunginya untuk memulangkan duit kerana tidak boleh mengundi.

“Guys, don’t get disheartened. They are still good and responsible Malaysians. Like this guy. Gave him RM250. He then realised he couldn’t vote due to some issues. He returned it back. So others can benefit from what he doesn’t need. Have some faith. #PulangMengundi.”
(Gambar Screenshot)

Selain itu ada juga pengguna yang bersedia menyumbangkan wang yang diperoleh kepada pengundi layak lain apabila sumbangan diterima masih tidak mencukupi.

#pulangmengundi dan #undirabu juga digunakan sesetengah pihak untuk meminta derma bagi golongan tertentu.

Misalnya@nisamaris yang meminta sumbangan untuk puak Jakun Orang Asli di Muadzam, Pahang bagi memudahkan mereka keluar mengundi.

“Mereka memerlukan dana untuk pengangkutan dari kampung ke stesen mengundi. Bantu kami,” katanya.

Selain itu ada yang secara peribadi tampil menawarkan bantuan dengan meminta pelajar yang tidak berkemampuan khususnya dari Timur Malaysia (Sabah dan Sarawak) untuk menghubungi mereka.

Bagi pengguna Twitter, @valx beliau bersedia menyumbang memandangkan tidak dapat pulang mengundi kerana berada di Hong Kong.

Lain-lain mesej yang dikongsi ialah amaran supaya berhati-hati ketika berkongsi kereta khsusunya kepada wanita, pelawaan untuk kongsi kenderaan untuk pulang dan “belanja” duit minyak ketika perjalanan pulang ke kampung.

Bagaimanapun, dalam banyak-banyak sikap dan tindakan untuk saling membantu dan menggunakan bantuan kewangan secara jujur ada juga individu yang cuba menyalahgunakannya.

Akaun Twitter pihak pengendali dana turut berkongsi dan memberi amaran supaya penerima tidak menyalahguna bantuan.

Ini kerana seorang pelajar tahun 3 di sebuah institut pengajian tinggi tempatan didapati menggunakan platform ini untuk menyalahguna bantuan kewangan yang diberikan.

Walaupun sudah meminta maaf, ramai yang mengecam ia sebagai salah satu perbuatan terkutuk dan menggesa supaya perbuatan itu tidak diulangi sesiapa.

Link: (Borang minta bantuan kewangan)

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.