
Nampaknya perkara membabitkan “body shaming” terus berleluasa dalam dunia industri fesyen tempatan termasuk kalangan pengulas dan pengkritik fesyen yang berpengalaman luas serta matang.
Baru-baru ini bekas pengaya fesyen dan penasihat fesyen Media Prima, Zaihani Mohd Zain berkongsi status mengenai mereka yang berbadan gempal.
Ternyata perkongsian itu membuatkan para kenalan dan peserta industri itu sendiri terkilan dan kurang puas hati, apatah lagi netizen umum.
Menurut laporan Astro Gempak, Zaihani menerusi Facebook miliknya berkata tetamu berbadan besar, melebihi 60kg tidak perlu hadir ke acara pertunjukan fesyen.
“Kalau berat badan melebihi 60kg, tak payahlah datang, sebabnya paha awak tu melimpah kat kerusi sebelah kiri dan kanan awak.
“It’s so awkward and uncomfortable for the persons seated next to you!!!” tulis beliau.
Walaupun Facebook beliau bukan untuk tontonan umum, namun ia sudahpun menjadi viral di media sosial dan portal menyebabkan netizen menyampaikan rasa kurang senang selain mengecamnya.
Beliau dipercayai menghadiri pertunjukkan fesyen di ibu negara bersempena sambutan perayaan Aidilfitri tidak lama lagi.
Mungkin situasi atau sesuatu peristiwa ketika menghadiri majlis pertunjukan fesyen menyebabkan beliau tampil dengan status berkenaan.
FMT Ohsem sedang berusaha mendapatkan respon beliau berhubung kenyataan di atas.

