R.Yugee pemilik suara di lapangan terbang luar negara

R.Yugee pemilik suara di lapangan terbang luar negara

Yugee yang tinggal di Prague, Czech, teruja dapat menyumbang kemahirannya dalam bahasa Melayu.

Menjalani kehidupan jauh di perantauan, Yugee Ramasamy langsung tidak canggung berbahasa Melayu dalam perbualan hariannya, baik dengan keluarga mahupun di tempat kerja.

Melanjutkan pelajaran dan seterusnya mencari rezeki di Prague, ibu kota Republik Czech sebagai pemain piano profesional selama lebih 7 tahun, beliau tidak pernah menyangka dengan kefasihannya berbahasa Melayu akan membuka rezekinya lagi di luar negara.

Free Malaysia Today
R.Yugee. (Gambar Facebook)

Bekerja sebagai juruhebah bahasa Melayu dengan sebuah syarikat penyedia perkhidmatan global Simpleway, Yugee sangat teruja dapat menyumbang kemahirannya dalam bahasa Melayu, yang berpangkalan di Prague.

Berasal dari Ampang, Selangor, wanita berusia 30 tahun itu menceritakan kisahnya kepada Bernama baru-baru ini, serta berkongsi pengalamannya ketika melalui setiap proses rakaman suara.

Terima tawaran lisan dari Simpleway

“Tuan-tuan dan Puan-puan. Terima kasih kerana sudi menunggu. Anda kini diminta ke Gate B3 untuk menunggu pelepasan,” adalah antara pengumuman biasa yang paling banyak perlu dilakukannya semasa proses rakaman, jelas beliau.

Pada awalnya beliau tidak menjangka menerima tawaran secara lisan daripada kakitangan Simpleway untuk menjalani ujian suara.

“Seseorang bernama Jakub menelefon dan bertanya jika saya berminat menyumbang suara untuk pengumuman dalam bahasa Melayu di lapangan terbang. Saya terus menjawab, ‘Sudah tentu!’ tetapi pertanyaan itu sebenarnya sesuatu yang tidak diduga.

“Saya diminta memberi contoh rakaman suara, apabila diluluskan dari situ bermulalah segalanya. Saya sangat teruja untuk melakukannya. Saya rasa ia sesuatu yang baik,” katanya.

Selepas beberapa siri percubaan, beliau akhirnya mendapat kontrak selama 5 tahun di bawah Simpleway.

Proses rakaman dilakukan secara berperingkat-peringkat.

“Pada mulanya, anda diminta membuat rakaman utama dengan membaca nombor penerbangan dan skrip tetap, kemudian adakalanya anda dipanggil untuk mengemas kini rakaman. Bagaimanapun, ini boleh mengambil masa kerana perlu dilakukan dengan jelas dan tepat,” jelas beliau.

Bangga dengan bakat suara untuk bahasa Malaysia

Yugee mengakui amat terkejut apabila mengetahui daripada Simpleway terdapat permintaan untuk pengumuman suara dalam bahasa Melayu di kebanyakan lapangan terbang di dunia.

Beliau secara peribadi merasakan dirinya mempunyai bakat suara untuk bahasa itu, sekali gus ia mengangkat dirinya sebagai duta bahasa Melayu dan tanah airnya, Malaysia.

“Dengan kelebihan bakat suara itu saya bagaikan duta untuk bahasa kita. Ini sesuatu yang hebat apabila dapat mempromosi bahasa kita sendiri. Sebenarnya, saya sangat bangga kerana dapat melakukannya.

“Bahasa kita sangat kaya dan mempunyai sejarah yang begitu banyak. Menurut sejarah, negara kita adalah sebuah hab perdagangan yang sangat besar pada zaman dahulu dan bahasa Melayu digunakan oleh para pedagang. Ia banyak dipengaruhi oleh bahasa-bahasa seperti Sanskrit, Arab dan Portugis dan saya sangat bangga dapat menjadi penutur bahasa kita,” katanya sambil menambah ketika di Malaysia, bahasa Melayu adalah bahasa utamanya diikuti bahasa Inggeris dan Tamil.

Setakat ini, suara Yugee juga digunakan untuk pengumuman di Lapangan Terbang Auckland, New Zealand.

Pengumuman yang menceriakan semua

Sebagai platform penyedia maklumat penumpang bersepadu yang digunakan di pelbagai lapangan terbang, stesen kereta api, pelabuhan dan rangkaian pengangkutan awam yang terkenal di peringkat antarabangsa, Simpleway mempunyai satu matlamat – untuk menghubungkan terus semua saluran individu agar kesemuanya dapat bekerja serentak.

Dengan menyediakan perkhidmatan pengumuman oleh penutur suara asli yang meliputi lebih 50 bahasa bagi memenuhi permintaan lapangan terbang di seluruh dunia, Simpleway secara tidak langsung mengangkat pengiktirafan bahasa-bahasa indah yang dituturkan oleh penduduk Asia Tenggara.

Apa yang mengejutkan adalah, bukan hanya bahasa Melayu, malah bahasa lain juga digunakan oleh penyedia global ini termasuk Jawa, Thailand dan Vietnam.

Kesemuanya bukanlah suara sembarangan. Beberapa juruhebah Simpleway menjadi selebriti dengan cara mereka yang tersendiri. Video YouTube yang menunjukkan seorang lelaki Indonesia tertawa mengekek apabila mendengar pengumuman agar penumpang menaiki kapal terbang oleh Widya Sykorova dalam bahasa Jawa di lapangan terbang Dubai menjadi tular.

Ketua Pegawai Eksekutif Simpleway Petr Otoupal memberitahu Bernama dalam temu bual melalui emel mengenai pengumuman bahasa Jawa yang menjadi tular melalui platform media sosial di seluruh dunia adalah antara saat gembira bagi syarikat itu.

“Kami sangat gembira melihatnya menjadi tular, lebih-lebih lagi kerana ia menggembirakan orang ramai. Kami bekerja keras untuk mengumpul bakat-bakat suara profesional dari seluruh dunia, dan ketika syarikat berusaha memberi pengalaman lebih baik kepada pelanggan di lapangan terbang dan pelbagai hab perjalanan, kami amat gembira apabila pengumuman dalam bahasa Jawa itu dapat menceriakan orang ramai.

“Malah semua yang berada di pejabat kami turut gembira,” tambah beliau.

Pilih yang terbaik sahaja

Dalam memenuhi permintaan menyediakan pengumuman suara seperti yang diminta oleh mana-mana lapangan terbang di dunia, Petr menegaskan: “Kami hanya memilih yang terbaik untuk melakukannya.

“Kami sentiasa menggunakan bakat-bakat suara profesional untuk pengumuman dan sering kalinya, apabila terdapat permintaan untuk bahasa yang belum ada di perpustakaan, kami akan merujuk ke Internet untuk mencari bakat yang sempurna.

“Penyampaian mereka sangat penting – suara mereka perlu jelas dan tegas namun perlu ada sedikit elemen mesra,” kata Petr sambil menambah tidak sukar untuk mencari bakat yang tepat bagi bahasa-bahasa Asia Tenggara.

“Mungkin kerana bahasa-bahasa ini mempunyai beratus-ratus ribu, jika bukan berjuta-juta penuturnya maka tidak sukar mencari orang yang tepat untuk menyampaikan pengumuman itu. Bagaimanapun, keadaan menjadi sedikit mencabar jika bahasa yang dikehendaki itu tidak digunakan secara meluas, umpamanya Bislama (bahasa kreol dengan kosa kata bahasa Inggeris, dan tata bahasa serta sebutan kepulauan).”

Petr berkata bahasa Vietnam yang digunakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai, antara lapangan terbang antarabangsa yang paling sibuk di dunia, adalah suara Tran Thi Nga dari Vietnam. Manakala pengumuman dalam bahasa Thai oleh seorang warga Thailand digunakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai dan Lapangan Terbang Auckland sejak September tahun lepas.

Bahasa Asia Tenggara ada tarikan sendiri

Menggunakan pengumuman suara dalam pelbagai bahasa hanyalah bertujuan menarik perhatian para penumpang agar menaiki pesawat, kereta api atau kereta api bawah tanah (metro) dengan meminimumkan kekecohan atau gangguan.

Dalam menguruskan perniagaan seumpama itu, Petr mengakui terdapat ‘keindahan’ tersendiri bagi setiap bahasa Asia Tenggara yang berbeza itu.

“Bahagian pengumuman suara dalam perniagaan kami dikuasai oleh kalangan pencinta bahasa. Saya rasa anda boleh katakan mereka ini ‘gila’ bahasa, dan mereka sangat gemar mendengar kesemua bahasa. Ada keindahan dalam setiap bahasa. Saya boleh menghabiskan masa mendengar bahasa Melayu sepanjang hari – tetapi saya tidak tahu apa yang mereka katakan!”

Bersetuju dengan kenyataan bahasa ibunda dengan mudah dapat menyatukan rakyat sesebuah negara apabila mereka bertemu atau berada di lapangan terbang, Petr berkata bahasa-bahasa Asia Tenggara menceriakan suasana dan memberikan kesan yang baik kepada sistem operasi Simpleway.

“Bahasa, semestinya, dapat menyatukan manusia. Tetapi, perlulah memastikan ia memudahkan para penumpang untuk menuju ke destinasi masing-masing, dan pengumuman yang menggunakan bahasa ibunda pasti akan banyak membantu penumpang.

“Bagi Simpleway, seperti yang saya katakan sebelum ini, kami memperoleh semangat sebenar dengan berurusan menggunakan pelbagai bahasa yang berbeza ini dan dengan menyampaikan pengumuman oleh suara yang terbaik di dunia.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.