
Tanpa kepercayaan, maka tiada parol atau “No Trust No Parol” merupakan slogan perlaksanaan Sistem Parol yang dipegang oleh 761 pegawai parol di seluruh Malaysia.
Walaupun peranan mereka kurang diketahui tetapi tugas dan tanggungjawab yang digalas cukup besar bagi memastikan keberkesanan sistem pemulihan banduan di dalam komuniti yang dijalankan sejak sedekad lalu.
Mereka adalah sebahagian daripada Pegawai Penjara yang menjadi penggerak Sistem Parol di 52 daerah yang menempatkan Orang Diparol (ODP).
Tidak hanya berhadapan dengan banduan atau ODP mereka juga perlu menyakinkan keluarga dan masyarakat untuk membuang stigma terhadap golongan ini.
Cabaran sebagai pegawai parol
Tanpa berbekalkan sebarang senjata seperti mana yang diperolehi warden penjara, pegawai parol tetap menjalankan tugas seperti yang diamanahkan bagi memantau ODP walaupun berada di kawasan yang jauh di pedalaman di dalam satu-satu daerah yang dijaga.
Adakalanya mereka perlu memasuk ke kawasan berisiko yang boleh mengundang bahaya pada bila-bila masa ketika menjalankan tugas terutama ketika melakukan pemantauan ODP.
Menurut Pegawai Parol dan Perkhidmatan Komuniti Daerah Hulu Langat, Mohd Nasir Awang, semuanya itu adalah antara asam garam serta cabaran yang harus dilalui sebagai seorang pegawai parol daerah.
Hampir 5 tahun menjalankan tugas sebagai pegawai parol menjadikan beliau cukup berpengalaman mengendalikan ODP.
Selepas membuat penerimaan banduan di Pejabat Parol dan Perkhidmatan Komuniti Daerah, ODP akan diserahkan kepada keluarga atau majikan yang mengambilnya bekerja.
Sekiranya majikan tidak menyediakan penginapan, ODP akan ditempatkan di rumah perantaraan yang disediakan Jabatan Penjara.
Temu janji awalan dengan ODP harus dibuat di pejabat parol daerah dalam tempoh tidak melebihi 3 hari atau 72 jam selepas penyerahan.
“ODP perlu datang ke pejabat parol dan pegawai parol akan melihat perubahan dan kecenderungan ODP untuk memastikan mereka yang mengambil dadah bersih daripada sebarang pengambilan dadah atau yang melakukan jenayah tidak kembali menyertai kumpulan mereka,” katanya ketika ditemui Bernama dalam sesi temubual eksklusif sempena sedekad Sistem Parol dilaksanakan.
Ketika ini sokongan keluarga dan masyarakat memainkan peranan penting untuk membantu ODP menyesuaikan diri di dalam masyarakat bagi membolehkan mereka menjalani kehidupan secara normal.
Kawasan yang luas
Bagi Daerah Hulu Langat, pemantauan ODP meliputi kawasan Semenyih, Puchong, Dengkil, Beranang, sempadan Labu, Negeri Sembilan hingga ke Sungai Pelek, Sepang.
Sembilan pegawai parol yang ditugaskan akan sentiasa berhubung dengan keluarga atau ODP sendiri bagi memastikan mereka tidak melanggar semua syarat yang ditetapkan.
Antaranya, memastikan ODP berada di rumah di dalam tempoh pukul 7 petang hingga 7 pagi sebagaimana yang ditetapkan di dalam syarat Lembaga Parol.
Menurut Mohd Nasir, selain itu pegawai parol juga akan membuat rondaan dan lawatan mengejut pada bila-bila masa mengikut keperluan.
ODP juga diwajibkan hadir ke pejabat parol seminggu sekali untuk sesi intervensi dan kaunseling.
Sepanjang menjalani perintah parol itu, ODP juga disyaratkan untuk melakukan kerja khidmat sosial seperti terlibat dengan aktiviti anjuran masyarakat setempat mahupun badan bukan kerajaan seperti aktiviti membersihkan masjid, kubur dan sebagainya.
Sekiranya ODP melanggar syarat yang ditetapkan oleh Lembaga Parol, perintah parol boleh ditarik semula dan mereka akan dimasukkan semula ke dalam penjara,” katanya.
“Kebiasaannya pegawai parol akan menilai tahap keseriusan kesalahan dan pelanggaran syarat yang dilakukan ODP itu. Sekiranya kesalahan yang dilakukan boleh mengancam keselamatan keluarga dan orang sekeliling, pegawai parol tidak akan berkompromi untuk menghantar mereka kembali ke penjara,” katanya.
Beliau menambah pegawai parol juga terlibat mengendalikan Rumah Perantaraan Jabatan Penjara yang menempatkan banduan yang dibebaskan secara berlesen dan pesalah Perintah Kehadiran Wajib (PKW).
ODP jadi rebutan majikan
Di samping memantau ODP, pegawai parol daerah juga perlu mendapatkan peluang pekerjaan dengan mencarikan majikan untuk mengambil mereka bekerja.
Keperluan pekerjaan sangat penting untuk ODP menampung kehidupannya dan keluarga bagi meneruskan kehidupan.
“Kita bimbang sekiranya tidak bekerja, mereka akan mengulangi kesalahan yang pernah dilakukan. Bila ODP balik ke rumah sendiri atau keluarga, cabaran utamanya adalah diri mereka sendiri.
“Apabila bekerja, waktu pagi hingga petang mereka akan berada di tempat kerja dan kecenderungan serta risiko untuk bertemu dengan rakan-rakan sepenjenayah kurang,” katanya sambil menambah, untuk berubah, kesedaran itu harus datang daripada diri ODP sendiri.
Kebanyakan ODP sering menjadi pilihan majikan untuk diambil bekerja dan pejabat parol Hulu Langat sendiri bekerjasama dengan 15 majikan sejak daripada mula hingga 10 tahun usia perlaksanaan Sistem Parol ini.
Mereka sentiasa menanti setiap kali ada penempatan ODP di Kajang yang menunjukkan keperluan yang tertinggi untuk tenaga kerja ODP.
Antara majikan yang sering mengambil ODP bekerja ialah Syarikat HIn Construction Sdn Bhd yang pejabatnya hanya terletak bersebelahan dengan Pejabat Parol dan Perkhdimatan Komuniti Daerah Hulu Langat.
Melakukan kerja pengubahsuaian dan perkhidmatan pembinaan memberi peluang kepada ODP menceburi pelbagai bidang antaranya pengubahsuaian rumah dan pejabat, bidang elektrik, kimpalan logam dan pemasangan paip.
Pengarah Eksekutif Hin Construction Sdn Bhd, Kent Seow memberitahu Bernama, ODP akan diberi latihan sambil bekerja mengikut minat pada sesuatu bidang yang ingin diceburi.
“Kita tidak ada prejudis terhadap mereka dan memberi layanan sama seperti pekerja lain yang ada di sini. Sejak 10 tahun mengambil ODP bekerja, mereka tidak ada menimbulkan masalah besar kepada syarikat.
“Sekiranya ada yang berminat untuk terus bekerja selepas dibebaskan, kita akan terima. Masih ada yang bekerja dengan kita selepas dibebaskan sampai sekarang malah ada yang kita latih membuka perniagaan sendiri,” katanya.
Beliau berkata sebagai rakyat Malaysia, beliau berasa bertanggungjawab untuk sama-sama membantu ke arah kesejahteraan negara dengan memberikan peluang pekerjaan kepada banduan atau ODP agar proses pemulihan mereka lebih cepat untuk kembali kepada masyarakat.
Sinar kedua buat ODP
Sistem Parol yang dilaksanakan sememangnya banyak memberi harapan baru kepada banduan untuk kembali ke pangkuan masyarakat.
Itu juga yang dirasakan Joe (bukan nama sebenar), 55, yang bagai bermimpi apabila beliau dibenarkan menjalani baki hukuman selama 5 bulan di luar penjara apabila permohonannya mendapatkan perintah parol diluluskan.
Walaupun tidak bebas sepenuhnya kerana terikat dengan syarat seperti yang ditetapkan Lembaga Parol namun kehidupan di luar bagi Joe seribu kali lebih baik daripada tinggal di balik tembok batu dan jeriji besi.
Bakal dibebaskan sepenuhnya pada 29 Julai nanti, beliau kini menjalani perintah parol dengan tinggal bersama isteri dan anak-anak di rumahnya di Puchong.
“Mereka (keluarga) menjadi kekuatan saya sekarang. Apa yang berlaku menyedarkan saya ialah duit bukan segala-galanya, yang lebih penting adalah keluarga dan kasih sayang,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Bersyukur diterima sebagai ODP
Beliau dijatuhi hukuman penjara 3 tahun atas kesalahan salah guna kuasa dibawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bermula 29 Julai 2016.
Selepas sebulan berada di Penjara Kajang, beliau ditempatkan di Penjara Tapah bagi menjalani hukuman selama 18 bulan 2 minggu dan 2 hari sebelum mendapat perintah parol yang bermula 15 Febuari lepas.
Di tempatkan di Blok Cekal, Joe dipilih mengikuti program Husnul Khotimah sepanjang berada di dalam penjara dengan menjadi guru agama kepada banduan lain untuk mengajar fardu ain dan mengaji Al-Quran.
“Di penjara banyak masa dihabiskan untuk mengajar dan belajar agama namun kehidupan di penjara cukup menginsafkan untuk saya dalam lebih menghargai kebebasan yang ada sebelum ini. Cukup sekali menjejakkan kaki ke dalam penjara,” katanya yang pernah dilantik menjadi Ahli Majlis Perbandaran Subang Jaya.
Terlalu ghairah dengan kemewahan menyebabkan beliau sanggup melakukan penipuan hingga dia ditahan SPRM pada 2009.
Cukup menyesali apa yang berlaku namun peluang perintah parol yang diterima memberi peluang kedua untuknya memperbaiki kesilapan tersebut selain menyesuaikan diri untuk kembali kepada masyarakat.
Seperti yang disyaratkan, seminggu sekali beliau perlu melaporkan diri di Pejabat Parol dan Perkhidmatan Komuniti bagi tujuan intervensi dan kaunseling. Beliau juga perlu berada di rumah pada pukul 7 petang hingga 7 pagi setiap hari dengan dipantau oleh pegawai parol daerah Hulu Langat yang bertugas.
“Memang saya memohon untuk dapatkan perintah parol. Apabila diluluskan hanya Allah SWT sahaja yang tahu betapa bersyukurnya dapat jalani hukuman di luar penjara,” katanya yang kini menguruskan perniagaan besi kimpalan miliknya.