
Biarpun dilanda pelbagai kontroversi dan isu, nama Shila Amzah, 27, terus dijulang apabila baru-baru ini disenarai dalam Forbes 30 Under 30 Asia 2018 yang diumumkan pada Selasa.
Penyanyi yang mencipta nama di China, tersenarai bagi Kategori Hiburan dan Sukan dalam senarai tahunan yang kini memasuki tahun ke-3.
Senarai itu mengiktiraf Shila kerana memiliki 2.3 juta pengikut di laman sosial Weibo dan bagaimana dia mempengaruhi China menggunakan inklusiviti keagamaannya.
Shila mula dikenali di pesada industri muzik di China selepas menjuarai rancangan realiti antarabangsa China, Asian Wave di Shanghai, China pada 2012. Sejak itu, dia terus dihujani pelbagai pengiktirafan bertaraf antarabangsa di China.
Dia juga menjadi penyanyi Malaysia pertama yang menerima Anugerah Muzik Global China pada 2015 untuk kategori Penghibur Pentas Terbaik Wanita.
Selain Shila yang merupakan antara 300 individu berusia bawah 30 tahun berjaya dalam bidang masing-masing di Asia, beberapa rakyat Malaysia lain juga tersenarai dalam pelbagai kategori berbeza.
Bagi Kategori Teknologi Enterprise, Pengarah Pengembangan bagi Australia dan New Zealand, NEMio Foundation, Jason Lee, 30, turut tersenari selain Pengasas Zahara, Amira Geneid, 25, (Seni), dan Pengasas FatHopes Energy, Vinesh Sinha, 29, dalam kategori Industri, Pengeluaran dan Tenaga.
Pengasas bersama PolicyStreet iaitu Wilson Beh, 27, dan Winnie Chua, 29, tersenarai bagi kategori Modal Teroka dan Kewangan, manakala pengasas The Picha Project iaitu Lee Swe Lin, 24, Lim Yuet Kim, 27, dan Ling Sook Shian, 25, tersenarai dalam Kategori Usahawan Sosial.
Selain itu, Ammar Roslizar, 28, dan Ammar Shahrin, 29, yang mengasas bersama agensi pelancongan, ARBA Travel & Tours Sdn Bhd tersenarai dalam Kategori Runcit dan E-Dagang.
Tahun lalu, usahawan dan selebriti Neelofa serta Vivy Yusof berada dalam senarai berkenaan.
Bagaimanapun, tiada rakyat Malaysia yang tersenarai dalam senarai kategori Media, Pemasaran dan Pengiklanan; Teknologi Pengguna dan Sains dan Penjagaan Kesihatan.