Status cacing tersenyum NGO kesihatan cuit hati netizen

Status cacing tersenyum NGO kesihatan cuit hati netizen

Status 'Mengapa cacing tersenyum melihat perkongsian ini?' dikongsi 1,161 kali oleh netizen yang akui mandi air rebusan asam dan garam bukan penawar masalah cacing pada kanak-kanak.

Laman sosial Facebook Public Health Malaysia (PHM) menarik perhatian netizen menerusi status mengenai penafian mereka terhadap satu petua yang sedang viral.

Dalam status PHM itu, mereka meletakkan tajuk, “Mengapa cacing tersenyum melihat perkongsian ini?” dan ia dikongsi 1,161 kali, mungkin dibaca lebih daripada itu!

Terdahulu, seorang pengguna Facebook, Wan Norma, memberi petua menghilangkan cacing untuk kanak-kanak dengan memandikan anak 2 kali sehari setiap pagi dan petang selama 2 atau 3 hari menggunakan air rebusan asam jawa dan garam.

Free Malaysia Today
Perkongsian mandi air rebusan asam jawa dan garam oleh pengguna, Wan Norma. (Gambar Facebook)

Tidak logik? Tidak masuk akal? Dengan hanya memandikan anak, cacing hilang? Perkara sama dipersoal dan dinafikan PHM menerusi status balas mereka yang dimuatnaik pada 25 Mac lalu.

Menariknya, petua Wan Norma dikongsi lebih 30,000 kali namun ramai juga yang mempersoal dan menangkisnya di ruang komen lebih-lebih lagi selepas pihak PHM memberi penjelasan lebih mendalam.

“Cacing antara haiwan yang memiliki otak paling ringkas di dunia. Otak cacing merupakan gabungan 300 neurons yang berhubung dengan kulit dan ototnya. Ia boleh mengesan cahaya, getaran, rasa dan mengawal pergerakan otot badannya.

“Sebagai perbandingan, otak semut ada 250 ribu neuron, burung merpati ada 300 juta neuron dan kucing ada 760 juta sel otak.

“Manusia adalah sebaik baik ciptaan dengan 100 billion sel neuron!

“Melihat ribuan netizen berkongsi petua seperti ini, Petua hilangkan cacing pada kanak-kanak membuatkan, haiwan dengan 300 neuron ini tersenyum lalu berkata…”

“Manusia sekalian, ini perkara mudah yang tidak memerlukan 100 billion sel untuk berfikir, kami (cacing gelang & cacing pita) berkampung dalam usus manusia, rawatan dalam bentuk mandian TIDAK akan mampu membunuh kami”

“Usah jadi bahan ketawa cacing, gunakan sel otak yang berbilion ini sebaik mungkin!”

Free Malaysia Today
Netizen kongsi pendapat mereka di FB milik PHM. (Gambar Facebook)

PHM ialah sebuah badan bukan kerajaan yang berkongsi pelbagai maklumat berhubung kesihatan secara umum di laman FB mereka.

Menurut PHM, laman tersebut dikendalikan oleh sekumpulan doktor perubatan dan pegawai farmasi .

“Kami juga memenangi Blue Ribbon Award 2017 yang dianugerahkan oleh My Sihat sebuah badan lembaga Promosi bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” kata PHM kepada FMT Ohsem.

“Laman ini di kendalikan pihak ‘admin’ secara persendirian dan tidak mewakili mana-mana organisasi dan agensi. Kami menggunakan platform media sosial untuk menyampaikan maklumat umum mengenai kesihatan awam dan isu berkaitan kesihatan,” jelasnya lagi.

Tinjauan FMT Ohsem juga mendapati PHM banyak berkongsi maklumat dan ilmu mengenai kesihatan selain berhubungan secara aktif dengan netizen di ruang komen.

 

Free Malaysia Today
Ramai mempersoal petua yang dianggap tidak masuk akal. (Gambar Facebook)

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.