8 ‘super hero’ wanita kebanggaan Malaysia

8 ‘super hero’ wanita kebanggaan Malaysia

FMT Ohsem memilih 8 wanita 'super hero' buatan Malaysia bersempena Hari Wanita pada 8 Mac ini bagi mengenang dan mengiktiraf pencapaian membanggakan mereka.

womensday
fmt-ohsem-inside-article1

Kita selalu sahaja mendapat inspirasi daripada mereka yang berjaya. Di Malaysia walaupun kisah kejayaan seseorang selalu sahaja dikaitkan dengan bidang hiburan atau politik, sebenarnya rakyat Malaysia jauh lebih berjaya dalam pelbagai bidang lain.

Ramai “pemenang” ini maju dan berjaya sama ada tinggal sebumbung bersama kita atau memilih menetap di luar negara, sama ada sementara waktu atau selamanya.

Apapun sebagai mengenang kejayaan, pengorbanan serta pengaruh mereka dalam setiap arena yang diceburi, FMT Ohsem ingin menyenarai beberapa wanita yang pernah menggegarkan negara dan dunia dengan kecemerlangan luar jangkaan.

Kami memilih 8 wanita “superhero” buatan Malaysia sempena Hari Wanita pada 8 Mac ini bagi mengenang dan mengiktiraf pencapaian membanggakan mereka.

Jom kita lihat senarai tersebut!

dr-amalina

1. Dr Amalina Bakri

Siapa tak kenal Dr Amalina? Pelajar cemerlang yang pernah menggegarkan negara dengan kejayaan memperoleh 17A1 dalam peperiksaan SPM pada 2004. Gadis kelahiran Kota Bharu, Kelantan kemudiannya melanjutkan pengajian di Edinburgh dan Cambridge.

Selepas tamat pengajian dia kini menjalani latihan sebagai doktor junior di Hospital Universiti Cambridge selama 2 tahun sebelum memulakan latihan sebagai seorang doktor pakar bedah.

Dalam satu artikel Amalina pernah berkata dia memerlukan sekurang-kurangnya 6 hingga 7 tahun untuk menjadi seorang doktor pakar bedah dalam bidang kanser payudara dan onkoplastik. Amalina juga terlibat dalam pengkhususan payudara, plastik dan pembedahan awam dan berkhidmat di Hospital St Mary, Hospital Chelsea & Westminster serta Hospital Charing Cross.

Wanita ini juga tersenarai sebagai antara 10 doktor pakar pelatih surgikal terbaik di United Kingdom.

nicole-ann-david

2. Nicol Ann David

Ratu sukan squash negara yang pernah dan masih mengharumkan nama negara kini menetap di Amsterdem, Belanda.

Sehingga Februari 2015, Nicol memegang kedudukan sebagai juara selama 108 bulan, sekali gus menjadi pemegang juara paling lama bagi skuash.

Dia berpindah ke Amsterdam pada lewat usia remajanya selepas memilih untuk menyertai akademi latihan squash milik Liz Irving. Bagaimanapun gadis licik ini masih kerap dijumpai di kampung halamannya di Pulau Pinang dan masih mewakili Malaysia dalam kejohanan sukan tersebut.

Terbaharu wanita ini juga banyak melibatkan diri dalam program memperkasa dan melatih bakat tempatan serta pelbagai acara berunsur tanggungjawab sosial yang lain.

heidy-quah

3. Heidy Quah

Di kala semua orang sibuk menjuarai isu hak asasi manusia sekadar memetik papan kekunci di komputer atau telefon, wanita bernama Heidy Quah pula antara wanita yang turun padang secara fizikal dan menyumbang kepadanya.

Enam tahun lalu, Heidy menjadi salah seorang pengasas NGO, Refuge For the Refugees (RFTR) yang bermatlamat meningkatkan kualiti hidup kanak-kanak pelarian khususnya Myanmar dengan memberikan pendidikan asas secara percuma.

Dia yang baru berusia 24 tahun itu menjadi perhatian selepas pencapaiannya itu diiktiraf sehingga menerima anugerah pemimpin muda, “The Queen’s Young Leaders Award” daripada Ratu Elizabeth II, di Istana Buckingham, London, pada Jun 2017.

Heidy berkata RFTR kini menyokong 35 sekolah dan 10 daripadanya ditubuhkan di Lembah Klang dan Pulau Pinang manakala 25 sekolah lain terletak di Myanmar terdiri lebih 2,000 kanak-kanak pelarian.

vanajah-siva

4. Vanajah Siva

Anda masih ingat kepada wanita ini? Kalau anda tidak mengenali wanita ini, biar saya beri sedikit mukadimah.

Anda masih ingat kepada 4 calon angkasawan pertama yang dipilih pada 2006? Vanajah Siva adalah satu-satunya calon wanita yang akhirnya berpihak kepada doktor dan model, Dr Sheikh Muszaphar Shukor.

Vanajah lahir pada 2 Mac, 1971 di Klang, pernah berada di Jerman, melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang fizik dan kejuruteraan. Berita terbaharu dari Vanajah, kini sedang bekerja di Dublin. “Saya membawa diri ke mana sahaja ada keperluan dan tawaran bekerja. Jadi saya rasa tidak akan kekal di satu-satu tempat. Apapun saya tetap merindui Malaysia,” kata wanita ini kepada FMT Ohsem.

patricia-yapp

5. Mejar Patricia Yapp Syau Yin

Beliau antara wanita Malaysia generasi kini yang anda mesti kenal. Wanita berusia 41 tahun dari Sandakan itu merupakan juruterbang wanita pertama yang mengendalikan pesawat pejuang MiG-29.

Bercita-cita menjadi juruterbang pesawat pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), ibu kepada 2 cahaya mata itu tidak melihat fizikalnya yang lebih kecil berbanding lelaki sebagai penghalang kerjaya penerbangan.

“Minat dan jangan pernah berputus asa adalah kunci utama bagi wanita khususnya golongan muda yang mahu menceburi bidang penerbangan ketenteraan,” ujar Patricia.

Beliau juga menerima Anugerah Wanita Cemerlang sempena sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri Sabah, September lalu.

Patricia bertugas selama 20 tahun dalam TUDM dan berpengalaman sebagai juruterbang pesawat pejuang selama 5 tahun dari 2003 hingga 2007 sebelum ditugaskan sebagai jurulatih pesawat pelatih Pilatus PC-7 MKII di Kolej Tentera Udara Alor Setar, Kedah.

amani

6. Dr Wan Wardatul Amani Wan Salim

Beliau yang pernah bekerja di Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA), kini merupakan Penyelidik Bioteknologi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) merangkap Timbalan Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) UIAM.

Beliau dilantik sebagai Principal Investigator bagi projek NASA Small Satelit yang dinamakan SporeSat yang dilancarkan pada tahun 2014.

Beliau yang berlatar belakang dalam bidang kejuruteraan elektrik, kejuruteraan bioperubatan dan kejuruteraan biologi dengan pelbagai disiplin terpilih mengetuai projek SporeSat.

Amani berpengalaman lebih satu dekad bersama NASA di Amerika Syarikat sebelum pulang ke Malaysia. Wanita ini wajah diberi pengiktirafan atas pilihannya untuk kembali memperkasa penyelidikan saintifik yang membantu masyarakat.

neelofa

7. Neelofa

Walaupun menjadi bahan kontroversi pengacara dan pelakon, Neelofa atau nama sebenarnya, Noor Neelofa Mohd Noor, 28 tetap kena ada dalam senarai ini.

Ketepikan insiden pelancaran Be Lofa di Zouk, wanita ini antara usahawan dan ahli perniagaan wanita muda yang paling berjaya di Malaysia.

Baru-baru ini beliau mencatat sejarah apabila beliau menjadi rakyat Malaysia yang pertama dilantik sebagai duta bagi jenama kosmetik antarabangsa, Lancome selain duta bagi Swarovski.

Beliau juga dilantik menjadi Pengarah Bebas Bukan Eksekutif AirAsia dan memenangi Anugerah Grandeur and Elegante Antarabangsa di atas kejayaannya mengemudi jenama Naelofar Hijab.

Wanita ini turut disenarai antara 300 individu yang tersenarai dalam Forbes 30 Under 30 Asia 2017. Beliau pengasas dan pengarah NH Prima International Sdn Bhd, tersenarai di bawah kategori Runcit dan E-dagang.

dr-mazlan

8. Datuk Dr Mazlan Othman

Ahli astrofizik Malaysia dan Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara Malaysia dan penerima Tokoh Melayu Terbilang Malaysia 2011, sumbangan Mazlan dalam bidang astrofizik cukup besar.

Mazlan bertanggungjawab dalam mewujudkan kurikulum bidang astrofizik di universiti tempatan yang membangkitkan kesedaran serta keperluan rakyat Malaysia menceburi bidang itu.

Wanita ini juga dilantik sebagai pengarah Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Hal Ehwal Angkasa Lepas (UNOOSA) di Vienna oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ketika itu, Kofi Annan.

Kepulanganya ke Malaysia pada Julai 2002 juga atas dasar membina bidang astrofizik negara yang mana membawa kepada pelancaran angkasawan Malaysia yang pertama, Sheikh Muszaphar Shukor. Beliau yang sudah berkahwin dan mempunyai 2 anak kini memilih untuk tinggal bersama anak bongsunya di Vienna, Austria.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.