Cara terbaik diet, elak karbohidrat

Cara terbaik diet, elak karbohidrat

Kebanyakan masalah kesihatan, contohnya kulit kering hinggalah kanser boleh dielakkan jika amalkan gaya hidup sihat, bermula dengan diet baik.

woman-fridge-food
fmt-ohsem-inside-article1

Walau bersenam banyak sekalipun, selagi tidak kawal pemakanan memang tiada gunanya usaha anda mengurangkan berat badan.

Seorang perunding diet pernah memberitahu betapa makanan memainkan peranan penting dalam kesihatan, khususnya bagi mereka yang bercadang mengekalkan berat badan ideal.

Sebenarnya tidak sukar mengatur makan, salah satu caranya adalah mengawal pengambilan karbohidrat. Ia merupakan cara paling umum dan popular diamalkan untuk memulakan gaya hidup sihat.

Ingat, karbohidrat selalunya datang dalam makanan putih berasaskan nasi, tepung dan gula dan menjadi punca utama seseorang mengalami kegemukan, menghidap penyakit kronik, bermula dengan diabetes hinggalah penyakit jantung dan lain-lain.

Pelbagai penemuan sains juga membuktikan kebanyakan masalah kesihatan daripada seringan masalah kulit kering hinggalah penyakit pembunuh kanser boleh dielakkan dengan gaya hidup sihat, bermula dengan diet baik.

Di bawah, FMT Ohsem memetik beberapa panduan mengurangkan pengambilan karbohidrat tinggi. Mulakan hari ini juga!

1. Hentikan minuman manis

Mulakan dengan mengurangkan pengambilan minuman manis, mungkin minum sekali atau kurangkan kuantiti gula dalam minuman. Jangan risau, ia akan merendahkan kandungan glukosa dalam darah kerana hampir kebanyakan makanan mempunyai gula tersembunyi.

Gula berupaya menaikkan kadar gula darah menyebabkan anda tidak berasa kenyang. Itulah sebabnya kita lebih cenderung makan banyak setelah minum minuman manis. Ia juga menambah kalori tidak diperlukan.

Hardvard School of Public Health melapor gula sebagai faktor utama obesiti dan diabetes.

Jadi, janji pada diri sendiri untuk hanya minum air kosong!

2. Kenyangkan perut dengan sayur

Sayur kaya dengan serat, membantu anda rasa kenyang lebih lama tanpa banyak kalori.

Serat tidak dicerna seperti karbohidrat, lemak, atau protein kerana ia mengambil masa lebih lama untuk dicerna, menjadikan anda kenyang lebih lama. Ia juga merangsang otak untuk berhenti makan selain mengelak kenaikan gula dalam darah.

Serat sayuran mencegah dan mengatasi sembelit yang lazimnya berlaku disebabkan karbohidrat yang banyak.

3. Awasi jenis lemak

Bagi mendapatkan sumber tenaga yang gagal dibekalkan akibat mengelak pengambilan karbohidrat, seseorang dibolehkan mengambil makanan berlemak. Namun awasi jenis lemak itu. Makanan bergoreng, daging merah berlemak, kulit ayam dan makanan segera meningkatkan kolesterol jahat dalam tubuh. Ini lemak yang harus dielak atau dikawal.

Sebaliknya, amalkan pengambilan lemak baik misalnya dari ikan salmon, sardin, kuaci bunga matahari, minyak zaitun, kacang badam, ikan dan ayam tanpa lemak.

Pengambilan lemak baik ini membantu menjaga fungsi darah sambil menstabilkan fungsi jantung.

4. Snek rendah karbohidrat

Makanan seperti kentang goreng, kek, donat, bukan snek yang baik. Sebaiknya pilihlah kudapan rendah karbohidrat tetapi tinggi protein. Snek tinggi protein membantu mengurangkan rasa lapar antara waktu makan utama.

Jenis snek tinggi protein sihat ialah seperti kacang seperti walnut dan badam, dadih, tauhu dan tempe.

5. Baca maklumat gizi makanan

Sebelum makan, baca maklumat nilai gizi dalam makanan. Lazimnya, maklumat gizi dikongsi mengikut hidangan sebuah makanan dan bukan dari keseluruhan berat makanan tersebut.

6. Kurangkan karbohidrat secara berperingkat

Memang sukar untuk menghentikan terus pengambilan karbohidrat, tambahan pula, ia bukanlah satu tindakan bijak kerana mampu memberi kesan kepada metabolisme tubuh. Diet rendah karbohidrat menyebabkan tubuh kehilangan sumber tenaga terbesar. Maka metabolisme tubuh berlaku secara lambat.

Jadi beri masa untuk tubuh mengadaptasi perubahan diet secara berperingkat.

Ingat, apabila diminta mengelak karbohidrat, ia tidak bermakna anda harus elakkan terus. Karbohidrat juga sumber penting untuk tenaga harian, maka berpada-pada dan jangan sampai jatuh sakit!

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.