

“Kalau boleh pakai baju warna tona merah, kuning atau keemasan. Baru ong!” kata rakan itu. Sememangnya pesanan itu bukan untuk saya seorang, tetapi kepada anda semua yang bakal bertandang ke rumah rakan berbangsa Cina menjelang perayaan tahun baru nanti.
Ini kerana walaupun kita menyaksikan revolusi kemodenan, tradisi dan kepercayaan tertentu harus dihormati dan diamalkan. Lebih-lebih lagi, jika kepercyaan itu melibatkan bangsa asing, inilah caranya kita menunjukkan rasa hormat dan toleransi.
FMT Ohsem melayari beberapa laman web feng shui warna dan mendapati hubungan warna dalam budaya Cina yang agak kuat. Penjelasan ini mungkin membantu anda.
Merah
Merah dikaitkan dengan elemen api, rasa gembira serta tuah. Jadi warna ini sama sekali dilarang digunakan pada majlis berduka. Ia menjadi pilihan pada hari kebesaran dan sambutan. Sarung ang pau serta lampu tanglung serta hiasan digantung pada Tahun Baru Cina banyak menggunakan warna merah, bertujuan menambah tuah atau menghalau perkara buruk.
Jadi kalau bawa buah tangan atau hadiah, pastikan juga ia dibungkus dengan kertas merah atau reben merah. Bekas makanan, bakul buah pun seeloknya berwarna merah.

Biru
Biru adalah warna bagi elemen kayu dalam budaya Cina dan ia mewakili keabadian serta kemajuan. Biru juga mewakili musim bunga. Namun, biru membawa konotasi negatif secara umum kerana dikaitkan dengan tuah buruk atau diklasifikasi sebagai imej buruk. Jadi berhati-hati jugalah kalau pilih berpakaian biru. Mungkin tidak semua akan menerimanya.
Hijau
Hijau adalah warna asas dan membawa simbol kesejahteraan, kesihatan serta harmoni. Hijau yang turut dikaitkan dengan elemen kayu, dinasti Ming dan nombor tuah, “8”. Ia banyak digunakan dalam kerja seni Cina untuk saling berpasangan dengan warna merah. Warna ini memberi simbool pembaharuan, pembangunan, kesihatan dan juga permulaan baik. Nampaknya, tiada masalah warna hijau dalam kalangan budaya Cina.

Kuning/Keemasan
Kalau anda mahu tampil seperti hero dalam kalangan rakan bangsa Cina, pilihlah pakaian berwarna kuning atau keemasan. Ia warna yang digunakan oleh Imperial China dan dirujuk sebagai warna 5 pemerintah lagenda China. Warna yang membawa elemen bumi ini adalah warna paling berprestij dan warna pusat untuk tuah baik. Ia juga dikaitkan dengan kuasa dan kekayaan. Maknanya ia warna wajib ada!

Ungu
Warna mistik ini disimpulkan dengan unsur pemulihan, romantik dan astrologi. Dalam persembahan opera Cina, wajah yang dicat warna ungu mewakili imej amanah dan setia. Tetapi kerana ia mengandungi warna asas biru, ungu turut dikaitkan dengan kesedihan.
Putih
Warna yang membawa elemen logam ini mewakili pencerahan, kesucian dan kesempurnaan. Teratai putih dalam budaya Cina dikaitkan dengan kesucian dan kesuburan. Namun juga merupakan warna berkabung dan banyak digunakan dalam acara pengebumian dan berkaitan penyembahan hantu. Dalam opera Cina, wajah diwarnakan putih memberi simbol pengkhianatan dan bunga putih pada rambut seseorang pula bermakna tuah buruk.
Hitam
Hitam dan putih dikaitkan dengan keseimbangan Yin dan Yang, salah satu konsep berlawanan yang sebenarnya saling menyempurnakan. Bagaimanapun hitam bukanlah warna pilihan dalam majlis berunsur sambutan dalam kalangan kaum Cina. Ia membawa makna kegelapan dan kematian serta perkara tidak baik. Pun begitu, kita masih melihat ramai orang Cina moden tidak kisah memakai baju berwarna hitam. Namun, kalau anda ragu-ragu, elakkan sahaja.