
Selepas dipilih sebagai duta pelancongan Malaysia, penyerang pasukan bola sepak Barcelona kelahiran Uruguay, Luis Suarez nampaknya sudah menerima “assignment” pertama mempromosikan negara.Dalam satu video 2 minit dan 17 saat yang dimuatnaik di laman sosial Facebook Tourism Malaysia baru-baru ini, Suarez dirakam sedang mencuba beberapa makanan terkenal Malaysia.
Sambil mencuba makanan seperti roti canai, sate, char kue tiau, nasi lemak dan popiah Suarez menjelaskan pengalaman dan komennya mengenai setiap makanan itu dalam bahasa asing, mungkin bahasa ibundanya tetapi disertakan dengan sarikata bahasa Inggeris.
https://www.facebook.com/malaysia.travel.my/videos/1591037810973507/
Ketika menikmati makanan itu, Suarez kelihatan menyukai roti canai dan nasi lemak yang disifatkan sebagai makanan sempurna tetapi lebih menggemari sate dan char kue tiau.
“Boleh saya makan lagi?,” katanya ketika sedang menikmati sate ayam.
“Saya boleh makan char kue tiau setiap hari, tiada masalah,” katanya selepas menikmati makanan itu.
Namun ketika mencuba menu terakhir, iaitu popiah, Suarez terus terbatuk kerana tidak tahan pedas.
“Oh, ini pedas! Saya tak dapat bercakap,” katanya sambil terbatuk-batuk sementara tangannya mencapai gelas air.
Suarez sebelum ini menandatangani kontrak kerjasama pelancongan bersama Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan untuk tempoh setahun.
Beliau dipilih menjadi duta mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan, berdasarkan prestasi semasa kelabnya serta populariti pemain tersebut.
Dengan lebih 25.3 juta pengikut di Instagram, 18.9 juta di akaun Facebook serta 12.4 juta pengikut di Twitter. Suarez dipercayai dapat mencapai lebih ramai orang dalam mempromosi Malaysia.
Beliau juga akan menjadi suara yang bakal mempelawa pelancong antarabangsa ke negara ini, terutamanya dari China yang mana dianggarkan lebih 400 juta orang dari negara itu mengikuti Liga Sepanyol.
Suarez ketika menandatangani perjanjian itu akui bangga dengan kesempatan diberikan kerajaan Malaysia dalam mempopularkan destinasi negara yang kaya dengan pelbagaian budaya, agama, warisan, pantai dan pulau yang indah.
“Saya sangat gembira dan teruja memperkenalkan Malaysia yang eksotik ke seluruh dunia,” kata Suarez.