

Jangan ambil mudah atau sambil lewa apabila anda mahu ambil selfie kerana silap tempat atau persekitaran, ia boleh bawa padah dan meletakkan seseorang dalam situasi genting.
Misalnya, beberapa tahun lalu ada artis berkongsi gambar selfie berlatarkan kubur pada pagi Hari Raya.
Perbuatan itu memang dikecam netizen dan menjadi isu besar sehingga Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria tampil dengan kenyataan berbuat demikian dikategorikan haram jika dilakukan dengan niat berseronok.
Bukan itu sahaja, media sosial juga pernah digemparkan dengan klip video aksi 2 remaja perempuan mengambil selfie di atas bumbung sebuah kompleks beli-belah di Seremban.
Ia memaparkan aksi kedua-dua mereka duduk, berdiri dan bergambar, di bahagian hujung bumbung konkrit tidak berpagar sehingga mengundang reaksi pelbagai pihak termasuk polis.
Jadi, janganlah fikir selfie itu boleh diambil di mana-mana sekadar berseronok sedangkan ia boleh mendatangkan padah kepada diri sendiri, dikecam teruk dan boleh membawa maut.
FMT Ohsem menyenarai beberapa selfie yang tidak sepatutnya diambil apatah lagi dikongsi.

- Selfie dengan bahan terlarang
Beberapa tahun dahulu seorang lelaki gagal menuntut insurans selepas terlibat dalam kemalangan. Sebabnya, beberapa minit sebelum insiden tersebut, dia memuatnaik gambar sedang berseronok minum alkohol. Walaupun ia kes terpencil, selfie yang tidak kena pada tempat boleh bawa masalah. Selain itu, bergambar dengan bahan letupan, mercun, senjata atau apa sahaja bahan terlarang sama seperti mencari nahas. - Selfie pada upacara atau majlis berkabung
Gambar selfie Barack Obama bersama-sama David Cameron dan Perdana Menteri Denmark, Helle Thorning Schmidt viral. Ini kerana selfie itu diambil pada majlis mengenang pemergian Nelson Mandela. Kita juga sering terlihat selfie pada majlis berkabung, pengebumian dan acara dukacita lain yang mana boleh disifatkan tidak sensitif. Elakkanlah! - Selfie dengan mayat
Lebih buruk lagi apabila ada yang mengambil selfie dengan mayat, tidak kisahlah jika mayat itu adalah ahli keluarga sendiri. Sila berhemah dan amalkan perikemanusiaan. - Selfie di lokasi kejadian jenayah atau kemalangan
Kita pernah digegarkan dengan pelbagai berita apabila orang awam mengambil gambar selfie di tempat atau lokasi kejadian jenayah, misalnya lokasi remaja dirogol, lokasi seorang VIP dibunuh, lokasi mayat ditemui dan sebagainya. - Selfie ketika melanggar undang-undang
Ramai mahu tunjuk hero dengan mengambil selfie ketika melanggar lampu merah di jalan raya atau ketika membuang sampah, memotong kenderaan di laluan berkembar. Jika anda tergolong, sila bersedia menerima surat saman daripada pihak berkuasa! - Selfie bersama orang sedang melakukan jenayah
Anda rasa popular ambil selfie dengan orang sedang melakukan jenayah? Sebenarnya, anda boleh disabit melakukan jenayah bersama-sama. Hati-hati dan laporkanlah perkara itu kepada pihak sepatutnya jika sesuatu jenayah sedang berlaku, bukan berselfie dengan mereka. - Selfie di tempat dan dalam aksi membahayakan
Ini “spot” kegemaran ramai, atas bumbung, sudut hujung bangunan tinggi, sambil baring atas motosikal laju, sambil memandu dan banyak lagi. Ini maknanya anda bersedia berdepan maut. Eloklah beritahu ahli keluarga awal-awal. - Selfie di tempat larangan
Ada tempat yang dilarang sama sekali daripada bergambar apatah lagi berselfie. Ketahui lokasi tersebut dan jangan mnegambil selfie. Lazimnya ia membabitkan lokasi rahsia pihak berkuasa, pejabat kerajaan, tempat menyimpan rekod atau data penting dan sebagainya.