
Jenama fesyen Sepanyol terkenal, Zara yang tampil dengan skirt “lungi” atau kain sarung untuk pelanggan wanitanya menjadi buah mulut netizen yang menganggap jenama tersebut kekurangan idea.Lungi atau kain sarung ialah pakaian santai kaum lelaki di kebanyakan negara Asia seperti India, Sri Lanka, Malaysia dan Indonesia dan kali ini diberi nafas baharu apabila trending sebagai pakaian kasual wanita moden yang inginkan kelainan.
Menurut kenyataan Zara, ia adalah “mini skirt bercorak petak kecil di bahagian hadapan dan berzip di bahagian belakang yang tersembunyi di sepanjang jahitan”.

Kain tersebut pula dibuat daripada material poliester dan viskos, dijual di United Kingdom (UK) pada harga sekitar £70 iaitu bersamaan RM387.
Bagaimanapun hasil terbaru ini menerima pelbagai reaksi netizen khususnya dari Asia.

Mereka melahirkan rasa tidak puas hati dan menyindir rekaan yang dikatakan kegunaan nenek moyang sejak zaman-berzaman.
Malah ada yang mempersoal pereka yang tampil menghasilkan rekaan yang langsung tidak menampakkan sebarang kreativiti istimewa, sebaliknya hampir sama dengan kain sarung yang digunakan masyarakat Asia setiap hari.

Entah apa yang difikirkan oleh pereka itu ketika sedang menghasilkan pakaian skirt sarung itu. Mungkin baru habis menonton klip video lagu “Lungi Dance” dari filem Chennai Express lakonan Shah Rukh Khan dan Deepika Padukone.