
Jika di Malaysia kain batik sarung hanya digunakan sebagai pakaian rutin harian sebagai kain sarung ketika ‘membuat kerja rumah’, namun rekaan batik sebegitu sebenarnya menjadi perhatian dunia.Pereka fesyen tempatan, Rastawati Dewi Abdul Rashid, 43, membawa corak batik sarung ke persada antarabangsa dengan mentransformasikan corak tersebut daripada kain sarung kepada rekaan blazer, pakaian tradisi Cina cheongsam, jaket, jaket berhud dan juga pakaian kanak-kanak.
Anak kelahiran Kuantan, Pahang itu, mempunyai minat terhadap corak batik sejak kecil lagi dan memanifestasikan corak itu setelah lebih 15 tahun berkecimpung dalam industri fesyen.
“Saya ingin memajukan industri batik ini dengan menempah kain daripada pengusaha kain batik tempatan. Secara tidak langsung ia bantu mereka menjana pendapatan lebih baik. Corak batik sarung untuk kain saya ada jenis batik celup dan blok batik.
“Selain pasaran tempatan kami juga menerima tempahan secara terus daripada pengusaha pakaian dari Jepun, Amerika Syarikat, Sepanyol dan negara-negara Eropah lain,” katanya yang juga dikenali sebagai Rasta Rashid kepada Bernama.
Rastawati Dewi berkata, beliau memperkenalkan rekaan batik sarung kontemporari sejak 3 tahun lepas yang menonjolkan corak daun, bunga raya dan bunga tempatan lain.
“Rekaan saya bertujuan mendedahkan kepada umum dan dunia mengenai keunikan batik sarung di Malaysia,” katanya yang mempunyai kedai pakaian sendiri di Pasar Seni di ibu negara.
Beliau memperaga rekaannya itu di Singapore Fashion Week pada Oktober 2017, yang turut disertai pereka fesyen terkemuka dari pelbagai negara termasuk Malaysia, antaranya Jovian Mandagie, Bill Keith dan Rozita Che Wan.