

Rakaman video kurang 20 saat itu menunjukkan seorang lelaki bertocang mengutip bekas minuman air plastik dan diserahkan kepada individu dipercayai anggota polis dalam kereta peronda ketika ia berhenti di trafik lampu merah.
Menurut penerangan diberikan pemilik akaun, dia (Siparjalang) menegur polis yang membuang sampah di atas jalan dengan mengutip sampah itu dan memulangkan kepada mereka.
“Video itu dijumpai dalam perisian komputer riba yang sudah lama rosak.
“Ceritanya begini, saya bersama si @thinxtank mahu ke kedai buku Gramedia Matraman, di Jakarta. Ketika di persimpangan lampu merah, kami terlihat cawan plastik bekas minuman air mineral yang dibuang dari tingkap kereta peronda.
“Lalu, saya minta kawanku si @thinxtank supaya menegur perbuatan tidak bertanggungjawab itu. Tetapi kawanku pula bertanya jika aku berani,” tulis Siparjalang menggunakan bahasa Indonesia dalam muatnaik seminggu yang lalu.
Siparjalang berkata kerana menanggap polis tersebut sememangnya harus ditegur maka dia pun keluar dari kereta dan mengutip bekas plastik air mineral yang dibuang, lalu berjalan mendekati kereta peronda.
“Sambil memberikannya kepada anggota polis, aku berkata ‘Pak, ini sampah, jangan dibuang sembarangan, buang di tempat sampah sahaja’,” sambungnya.
Katanya, dia juga tidak segan menegur sesiapa pun termasuk kawan-kawan jika mendapati mereka membuang sampah merata-rata.
Siparjalang menggesa semua orang juga berbuat perkara sama, saling menegur supaya mendidik masyarakat tidak membuang sampah sembarangan kerana impaknya sangat besar sehingga menyebabkan bencana alam seperti banjir
Nasihatnya, jika tidak menjumpai tong sampah sekalipun, ia boleh disimpan dahulu sehingga tong sampah ditemui.
Video itu menerima ribuan ”likes” dan komen dari netizen yang menyokong perbuatan Siparjalang menegur polis membuang sampah di atas jalan raya.