

Menara setinggi 100m itu mampu meliputi kawasan seluas 10km persegi di bandar raya tersebut, lapor South China Morning Post.
Ketua penyelidik Institut Alam Semulajadi Bumi di Akademi Sains China, Cao Junji yang mengendalikan ujian itu akui menara tersebut berjaya menghasilkan lebih 10 juta kubik meter udara bersih sejak dilancar pada 2015.
Menara penapis udara itu dibina di zon pembangunan wilayah Chang’an dengan harapan menjadi kaedah paling menjimatkan dalam membersihkan udara daripada asap tebal.
Salah satu bandar raya di China yang terkenal dengan asap tebal ialah Beijing. Keadaan di bandar raya itu bertambah buruk sehinggakan kerajaan pernah mengeluarkan amaran melarang orang awam menjalankan aktiviti di kawasan terbuka.
Beijing juga memiliki penapis udaranya tersendiri, sekitar 7m tinggi, menghasilkan 8 kubik meter udara bersih setiap saat.
Menara tapisan udara di Beijing itu pula dibina oleh artisan Belanda, Daan Roosegaarde beroperasi sepenuhnya dengan kuasa elektrik yang dihasilkan menggunakan loji janakuasa arang.
Menara di Xian pula tidak melibatkan kuasa elektrik yang banyak seperti di Beijing kerana penggunaannya pada waktu siang dimanfaatkan dengan kuasa solar.
Sistem tersebut menggunakan sumber rumah hijau yang terdapat di sekitar menara.
“Udara tercemar disedut oleh rumah hijau, kemudian dipanaskan menggunakan tenaga solar. Udara panas dibebaskan menerusi menara itu, menembusi beberapa lapisan tapisan,” terang Cao.
Pasukan Cao juga menempatkan beberapa stesen pemantauan pencemaran berdekatan menara itu untuk kajian susulan.
Menara menurunkan kadar pencemaran PM2.5 — partikel halus yang dipercayai paling berbahaya kepada tubuh manusia kepada purata 15% daripada pencemaran teruk.
Keadaan udara di Xi’an dijangka bertambah buruk ketika musim sejuk, namun menara itu terus beroperasi dengan lancar sebalik hakikat rumah hijau menyebabkan kaca bangunan itu menyerap radiasi matahari secara lebih efektif.
Cao berkata keputusan itu masih pada tahap asas, tetapi penyelidik lain bersedia berkongsi penilaian penuh pada Mac ini untuk menunjukkan keputusannya.
Orag awam yang selama ini terkesan dengan udara cemar kini berkongsi respons positif mengenai projek itu dan peningkatan kualiti udara.
Bagaimanapun, seorang guru tadika yang tinggal di sempadan radius 10 km persegi akui tidak banyak berubah sejak menara itu beroperasi. Keadaan kualiti udara masih sama, katanya.
Apapun, Cao terus berharap untuk membina menara penapisan udara seperti itu di semua bandar raya di China.