
Selalu gagal apabila melalui proses temuduga? Cuba periksa kasut yang anda pakai.Kelakar, pelik dan kedengaran tidak pratikal, tetapi itulah salah satu faktor yang dikatakan mampu menggagalkan proses temuduga di tempat kerja.
Menurut laporan portal Kompas, cara penampilan seseorang dalam sesuatu temuduga akan menjadi penilaian terbesar dan pertama penemuduga.
Jadi kasut yang dipakai juga menjadi aksesori yang harus diberi perhatian dan bukan semua kasut yang anda sarungkan itu sesuai ketika berdepan sesi tersebut.
Berikut beberapa jenis kasut yang tak seharusnya dikenakan ketika sesi temuduga.
1. Sneaker
Generasi masa kini mengambil mudah segala-galanya. Kasut sneaker yang dipakai ke pusat beli-belah itu dibawanya ke tempat temuduga. Mana boleh? Ia mungkin menyerlahkan gaya kasual, jiwa seni atau sisi atlet anda tetapi yang pasti bukan pilihan yang sesuai ketika temuduga.
2. Selipar
Kami percaya anda tidak mungkin akan memakai selipar ke tempat temuduga walaupun ia selipar mahal atau berjenama. Ia pasti akan menjatuhkan persepsi atau pandangan pertama penemuduga terhadap anda sebagai seorang yang tidak mengambil berat isu kerja atau terlalu yakin yang mana tidak cukup baik pada hari temuduga.
3. Kasut dengan hiasan berkilau, banyak manik
Anda bukan menghadiri majlis prom atau kahwin, ataupun sedang membuat “role play”, anda sedang menghadiri temuduga! Jadi elakkan daripada mengenakan kasut dengan hiasan berkilau atau mencolok mata sewaktu menghadiri temuduga. Bahkan kasut seperti ini harus dielak langsung ke pejabat.
4. Kasut tumit yang terlalu tinggi
Apabila kasut tumit terlalu tinggi, ia akan membuatkan si pemakai mudah jatuh. Jadi anda lebih fokus pada cara berjalan dan bukannya temuduga. Anda mahu membawa diri anda tanpa sebarang cacat cela tetapi jelas terpacar betapa tidak selesanya anda ketika berkasut tumit tinggi. Tambahan pula anda akan jadi pusat pemerhatian semua orang. Perlu ke?
5. Kasut yang kotor dan rosak
Pastikan kasut anda dalam keadaan baik dan bersih. Tak perlu mahal atau berjenama, sekadar bersih dan tidak kelihatan rosak pun sudah cukup memadai. Ia akan mencerminkan peribadi anda sebagai seorang yang teliti dan pembersih.
Kami juga ingin membimbing anda untuk menggunakan kasut yang paling tepat ketika menghadiri temuduga.
Ingat, paling penting kasut itu menepati tema dan selesa selain bersih dan sempurna.
- Flat shoes (kasut tanpa tumit) atau tumit rendah sekitar 7 cm atau kurang.
- Kasut tertutup.
- Kasut yang bersih, rapi, dan tidak rosak.
- Kasut yang sesuai dengan pakaian dan tidak berlebihan.