Buka kelab Equestrian sebagai terapi golongan istimewa

Buka kelab Equestrian sebagai terapi golongan istimewa

Abdul Malik bertemu dengan ramai pakar dan sesetengah mereka turut mencadangkan terapi menunggang kuda.

Perkhidmatan_kuda1
fmt-ohsem-inside-article1AMS Equestrian Club, meliputi kawasan seluas 1.2 hektar di dikelilingi bukit dan hutan adalah tempat sesuai untuk beriadah atau aktiviti menunggang kuda.

Namun, ia bukan perkara pertama yang terlintas dalam fikiran pemiliknya, Abdul Malik Samat apabila beliau membuat keputusan untuk membuka kelab equestrian beberapa tahun lepas. Pada ketika itu, beliau hanya memikirkan keadaan anak kembar remajanya.

“Dua anak lelaki saya mempunyai masalah Attention Deficit Disorder (ADD). Selepas bertahun-tahun mencari maklumat mengenai kaedah rawatan dan terapi, akhirnya saya nampak keistimewaan kuda ini dalam rawatan memullihkan pesakit seperti anak saya.

Bertahun lamanya, Abdul Malik, 48, mengumpul maklumat menerusi internet mengenai rawatan dan terapi ADD. Dia membaca banyak artikel mengenai kesan rawatan menunggang kuda bagi keperluan kanak-kanak istimewa ini.

ADD ialah sejenis gangguan pada perkembangan otak yang menyebabkan penderitanya menjadi hiperaktif, impulsif, serta sukar memberi perhatian.

Abdul Malik bertemu dengan ramai pakar dan sesetengah mereka turut mencadangkan terapi menunggang kuda.

Yakin terapi ini boleh membantu anak kembarnya, yang berusia 16 tahun, beliau akhirnya mendirikan rumah kelab berkenaan yang dimilikinya di Kampung Padang di Serdang.

Menariknya, pusat equestrian ini juga lengkap dengan trail berkuda bagi aktiviti ‘endurance’ sejauh lebih 30 kilometer merentasi sungai, bukit dan denai hutan.

Pusat yang terletak kira-kira 40 minit dari pekan Kulim dan 20 minit dari pekan Bandar Baharu ini kemudian dinamakan semula sebagai AMS Equestrian Club.

Setelah dibuka pada tahun lepas, keluarga Abdul Malek menggunakannya sebagai tempat beristirehat buat keluarga dan dibuka kepada orang ramai yang ingin belajar menunggang kuda atau persediaan memasuki pertandingan ekuestrin.

Faedah terapi kuda

Abdul Malik, yang enggan mendedahkan nama anaknya ternyata begitu gembira dengan perkembangan positif mereka sejak mula ‘berjinak-jinak’ dengan kuda di kelab berkenaan.

“Dalam tempoh 6 bulan berinteraksi dengan kuda-kuda di sini, saya nampak perubahan dalam diri anak saya. Perkembangan mereka benar-benar memeranjatkan saya,” katanya dengan nada gembira kepada Bernama.

“Saya sendiri terkejut melihat progres pemulihan mereka yang dulunya sukar mengikut arahan, mudah marah dan berada dalam dunia sendiri, kini mampu menguruskan kuda dan lebih menakjubkan, mereka mempunyai hubungan yang amat akrab dengan haiwan berkenaan,” katanya.

“Kini mereka lebih tenang dan mempunyai lebih kenyakinan diri”.

Mengenai terapi semulajadi kuda ke atas anak beliau, Abdul Malik berkata pada mulanya mereka perlu belajar mempercayai kuda-kuda berkenaan sebelum mereka diperkenalkan dengan aktiviti lain seperti menunggang kuda.

Di bawah pengawasan pelatih kuda kelab berkenaan, kedua-dua itu diajar untuk melakukan belaian dan usapan manja serta meluangkan banyak masa bersama-sama kuda berkenaan.

Ini antara langkah-langkah mudah melibatkan terapi emosi yang akhirnya akan meningkatkan kepercayaan dan akrab terhadap haiwan berkenaan.

“Kini, mereka mampu menguruskan kuda-kuda berkenaan dengan baik dan yang lebih menakjubkan ialah terjalinnya ikatan kasih sayang di antara mereka dan kuda-kuda berkenaan,” tambah Abdul Malek, yang kini mempunyai 9 ekor kuda di kelabnya.

Panjangkan bantuan kepada pelajar madrasah

Ekoran perkembangan positif itu, Abdul Malik mengambil inisiatif menaja lebih 40 pelajar madrasah Maahad Tahfiz Teh Samat untuk belajar kuda di pusat equestriannya.

“Ini cara saya untuk memastikan sunnah Rasullullah berpanjangan dan dilakukan dengan betul. Saya berharap dengan ilmu sukan berkuda yang dikutip oleh pelajar madrasah ini akan diperluaskan dalam kehidupan mereka nanti dan lebih penting, memperbetulkan persepsi memiliki kuda ini kepada orang ramai.

“Bukan itu saja, saya juga mahu membantu ibu bapa atau guru yang mempunyai kanak-kanak istimewa seperti anak saya mempunyai peluang dan ruang menjalani terapi seperti ini memandangkan di kawasan ini, masih belum ada yang seumpamanya,” katanya.

Bagi jurulatih kuda Kelas 1, Wan Mhd Hafizam Wan Ismail, 42, sukan berkuda antara satu terapi yang mampu membantu mengubah personaliti seseorang individu agar lebih tenang dan sabar.

Sejak 20 tahun lepas, pemuda yang berasal dari Changlun, Kedah ini mula meluaskan kemahiran dan pengalamannya dengan bekerja di pelbagai kelab kuda dan dari situ, dia terbabit dalam melatih mereka yang berminat mendalami ilmu equestrian terutama dari golongan istimewa.

Kuda mudah tawan hati golongan istimewa

Cerita Wan Mhd Hafizam lagi, sepanjang 20 tahun mempunyai hubungan istimewa dengan kuda, dia melihat banyak keajaiban yang disalurkan oleh haiwan berkenaan.

“Mungkin kita sudah terbiasa mendengar mengenai bagaimana kuda dijadikan sebagai sebahagian proses terapi bagi golongan istimewa seperti kanak-kanak menghidap sindrom down, ADD, cerebal palsy serta autism, tetapi jarang bagi golongan yang mempunyai masalah jiwa.

“Seperti yang kita tahu, golongan istimewa ini mempunyai beberapa persamaan iaitu sangat sensitif, mudah marah dan sukar untuk memberi perhatian. Namun setelah beberapa minggu menjalani terapi dengan kuda, kita dapat melihat secara jelas perubahan yang berlaku.

“Lebih `indah’ kita dapat melihat hubungan antara peserta dengan kuda-kuda setiap kali mereka mengusap bahagian-bahagian tertentu pada haiwan itu. Rasa percaya dizahirkan apabila kuda dewasa yang bersaiz antara 1.4 meter – 1.8 meter tinggi dan berat yang mampu mencecah hingga 1,000 kilogram membenarkan bahagian tubuhnya disentuh oleh kanak-kanak istimewa itu,” ujarnya.

Timba ilmu sebelum miliki kuda

Wan Mhd Hafizam menambah, antara tujuan lain dia berkecimpung dalam dunia equestrian adalah untuk membetulkan persepsi orang mengenai sukan berkuda ini.

“Ramai yang memiliki kuda tapi tidak ada ilmu mengenai kuda. Sebab itulah ramai antara kita terutama golongan berada, cenderung membeli kuda dahulu dan kemudian baru belajar bagaimana hendak jaga kuda,” katanya.

Beliau juga menjelaskan tindakan itu menyebabkan kuda-kuda yang dibeli dengan harga tinggi, dengan adanya yang mencecah ratusan ribu, berada dalam keadaan yang menyedihkan malah ada yang mati hanya selepas seketika hak milik berpindah tangan.

“Kena faham, kuda haiwan yang amat sensitif. Penjagaannya bukan saja melibatkan soal fizikal seperti makanan, tempat tinggal, penjagaan kesihatan malah merangkumi emosi. Dan kuda juga memilih siapa yang boleh mendekatinya atau tidak.

“Sebab itu di sini, kami bukan saja melatih bagaimana hendak menunggang tetapi juga, menitik beratkan penjagaannya.

Pengalaman baru kehidupan

Pengalaman Wan Mhd Hafizam juga mengajarnya orang normal seperti beliau juga boleh mendapat manfaat daripada terapi kuda.

“Saya memang tak pandai dalam akademik. Sekolah pun biasa-biasa sahaja. Tapi kerana jatuhnya cinta saya pada haiwan sejak 20 tahun lepas, ia membawa saya ke pelosok dunia.

“Daripada langsung tak tahu apa apa mengenai kuda, saya kini mampu menjadi jurulatih kelas 1 dan lebih penting, saya faham mengenai kuda,” katanya.

Jelasnya, kuda pertama yang dipegang adalah milik ayah kepada kawannya dari baka biasa iaitu kuda padi. Dari situ, Wan Mhd Hafizam belajar selok belok menjaga kuda meliputi aspek kesihatan, makanan dan senaman.

Beberapa pekerja di AMS Equestrian juga mempunyai latar belakang yang agak hitam namun kini berjaya menjadi penjinak kuda yang berjaya dengan kemahiran yang tidak boleh dipertikaikan.

“Kita ada yang dahulunya penagih dadah, ahli gangster serta mempunyai sikap pemarah. Namun apabila mereka ini bekerja di sini, perwatakan mereka mula berubah. Malah, jika melihat bagaimana lemah lembut, sabar dan komited dalam menjaga sembilan ekor kuda di sini, pastinya ramai yang tidak akan percaya siapa mereka ini suatu ketika dulu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.