
Terbaru, sebuah rakaman video viral mendedahkan pekerja sebuah hotel 5 bintang di Harbin, China menggunakan berus mencuci tandas, tab mandi dan sinki untuk membersihkan cawan minum.
Perbuatan menjijikkan itu mengejutkan orang ramai, apatah lagi ia melibatkan hotel 5 bintang yang ternama.
Menurut laporan Daily Mail, pekerja hotel Sheraton, Shangri-La dan Kempinski didakwa melanggar proses standard pembersihan bilik tetamu hotel selepas dikesan melakukan kesalahan itu.
Rakaman itu juga menunjukkan pekerja hotel mengeringkan mulut mangkuk tandas dan bahagian lain yang basah menggunakan tuala mandi yang disediakan untuk pelanggan.
Video tersebut dirakam secara rahsia oleh seorang wartawan Pear Video yang bekerja di hotel tersebut sebagai pelatih.
Ekoran penularan video itu, pihak berkuasa perbandaran bahagian kebersihan, pelancongan, makanan dan keselamatan dadah di Harbin, wilayah Heilongjiang, mengesahkan sedang menyiasat video dan hotel tersebut.
“Video itu dilaporkan sebagai asli dan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pengendali hotel berkenaan. Ia menunjukkan tahap kebersihan sangat teruk,” petik sebuah akhbar tempatan.
Laporan harga di ketiga-tiga hotel untuk sebuah bilik semalamam adalah antara 700yuan hingga 2,700 yuan (RM426 hingga RM1663).
Dalam pada itu, wakil hotel berkenaan pula mengeluarkan kenyataan meminta maaf di atas kesalahan itu dan berjanji memberi kerjasama dalam penyiasatan dilakukan.
“Kami akan mengetengahkan polisi agar masalah sedemikian dapat dielakkan sepenuhnya pada masa depan,” kata jurucakap hotel.
Sebaran video ini pasti memberi tanggapan negatif yang mendalam dalam kalangan pelanggan hotel.