‘Highlight’ arena hiburan tempatan sepanjang 2017

‘Highlight’ arena hiburan tempatan sepanjang 2017

Ben Nathan ditemui, Vida keluarkan lagu, lagu Aliff Syukri terima 'unlike', Siti Nurhaliza hamil, artis Sukan SEA tak dapat bayaran, David Teo dilempang dan Sheila Majid dikecam Azwan, antara berita hiburan mewarnai kalendar 2017.

2017
fmt-ohsem-inside-article1Sepanjang 2017, pelbagai perkara mewarnai kalendar khususnya yang melibatkan arena hiburan tempatan. FMT Ohsem mengimbas semula beberapa kejadian, skandal, kontroversi, kejayaan, pencapaian dan isu menarik yang berkait sekitar industri hiburan dan selebriti tempatan.

Mari kita periksa satu persatu isu menjadi topik akhbar mahupun dinding monitor komputer dan telefon pintar kita.

Single baharu Ben Nathan hujung tahun

Penyanyi yang pernah meraih kegemilangan pada era 80-an dan pernah popular menerusi lagu Stanza Sepi Sekeping Hati, Ben Nathan ditemui dalam keadaan mendukacitakan, iaitu sebagai gelandangan di Kuala Lumpur pada awal tahun ini. Ekoran itu, pelbagai pihak mengambil inisiatif memberi peluang ke-2 baginya dalam menjalani kehidupan normal. Antaranya ialah Pengerusi Yayasan Artis 1Malaysia Datuk DJ Dave yang membawa penyanyi tersebut menjalani rawatan kesihatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Selain itu, DJ Dave turut memberi kata putus untuk membantu Ben kembali dalam arena muzik menjelang hujung tahun ini.

Yuna artis Malaysia pertama dicalonkan untuk BET

Yuna dan kejayaan seperti tidak boleh dipisahkan. Penyanyi yang menempa nama di Amerika Syarikat (AS) itu, menjadi artis Malaysia pertama dicalonkan pada Anugerah BET atau Black Entertainment Television 2017. Pada anugerah itu, Yuna dicalonkan dalam kategori BET Centric Award. Yuna tercalon untuk lagu Crush, yang turut menampilkan pasangan duetnya, penyanyi terkemuka, Usher.

Aznil Nawawi ganti Najip Ali untuk Maharaja Lawak Mega

Pada 7 April lalu, Astro mengumumkan Datuk Aznil Nawawi sebagai juri tetap program Maharaja Lawak Mega 2017 (MLM2017), menggantikan Najip Ali. Keputusan itu diambil selepas Najip, 50, terpalit kontroversi mempersendakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam sebuah rancangan OK Chope! Dalam rancangan itu, peserta diminta melengkapkan ayat: “Najib slams… for threatening Malaysia’s progress”. Para peserta program itu termasuk Najip, memberikan pelbagai jawapan yang dilihat menghina dan mempersendakan perdana menteri.

Sulaiman Yassin lempang David Teo di TN50

Pelawak Sulaiman Yassin atau lebih dikenali dengan panggilan “Mat Over”, buat hal selepas menampar penerbit dan pengarah filem, David Teo pada sesi perbincangan TN50 di hadapan Perdana Menteri, Najib Razak. Kejadian pada 17 Mei itu menerima pelbagai reaksi. David ketika itu bertanyakan soalan kepada perdana menteri, sebelum pelawak itu meluru ke arah Teo dan menamparnya. Teo menyatakan pandangannya supaya moderator dialog yang juga pelakon Rosyam Noor tidak hanya membuka soalan kepada ahli seni yang duduk di barisan depan, dan tidak mengetepikan peserta di barisan belakang. Bagaimanapun, Rosyam berjaya menenangkan keadaan dan pada akhir majlis, beliau meminta Teo dan Mat Over tampil ke pentas dan saling bermaafan.

Video Izara Aishah sebelum sanding, bertunang 2017

Mei lalu tersebar sebuah klip video kurang daripada seminit memaparkan Izara Aishah berpakaian kurang senonoh sehingga mendedahkan payudaranya di laman sosial. Izara yang sedar dengan kemunculan video lama itu tampil memohon maaf dan akui malu berpakaian demikian. Ia juga disebarkan ketika dia mengumumkan berita bakal bernikah dengan anak Datuk K iaitu Adib Mohd Khalid.

Lagu ‘I Am Me’ Datuk Vida

Sebenarnya terlalu banyak untuk dikatakan sepanjang tahun mengenai wanita “bling bling” yang juga jutawan kosmetik ini. Apa pun, kemunculan Datuk Seri Vida (DSV) dalam single, “I Am Me” mencetuskan fenomena sejak dilancar pertengahan Julai lalu. Lagu itu sememangnya diterbitkan untuk menjadi viral kerana Datuk Vida sendiri akui seorang yang suka perkara yang menarik perhatian. Sehingga ke hari ini, sejak setengah tahun dikongsi di Youtube, lagu tersebut ditonton lebih 10 juta kali.

RTM haramkan Despacito

Lagu Despacito diharamkan selepas Kementerian Komunikasi dan Multimedia mengarahkan semua radio dan saluran televisyen milik Radio Televisyen Malaysia (RTM) menghentikan siaran lagu popular itu. Ia dilakukan pada 19 Julai selepas lagu berbahasa Sepanyol itu menerima aduan orang ramai kerana membawa maksud lucah dan sensual.Bagaimanapun, lagu itu masih boleh didapati melalui saluran lain, khasnya dalam talian.

Afifah Nasir dan Aliff Aziz berpegangan tangan

Kontroversi paling hot pada pertengahan tahun ini adalah skandal penyanyi dan pelakon kelahiran Singapura, Aliff Aziz yang mengaku salah keluar berkaraoke bersama pelakon Afifah Nasir di pusat beli-belah 1 Shamelin, Cheras. Dia turut berasa bersalah kerana melukai hati isterinya, Dayang Ara Nabellah Awang Astillah atau Bella, 23, apabila didapati keluar dengan Afifah, 24. Apa pun, Aliff dan Bella sudah berdamai dan Afifah pula sudah “move on”.

Siti Nurhaliza hamil

Selepas penantian 11 tahun, Datuk Siti Nurhaliza tampil dengan berita baik mengenai kehamilannya pada 13 Oktober lalu. Berita yang menggembirakan semua peminatnya itu dikongsi selepas usia kandungan mencapai 4 bulan. Berita terbaru, beliau juga merancang menggubah lagu khas bagi bayi yang bakal lahir.

Zizan mohon maaf secara terbuka

Ingat lagi kejadian pengacara popular, Zizan Razak terlanjur cakap ketika mengacarakan Festival Filem Malaysia ke 29 (FFM290)? “Datuk, beli ke dapat?” menjadi topik terhangat pada ketika itu walaupun Zizan akui hanya berjenaka. Bagaimanapun, Zizan segera menyedari kesilapannya kerana mengutarakan soalan sensitif tersebut kepada Datuk Hans Isaac dan Datuk Eizlan Yusof dan tampil meminta maaf kepada semua pihak yang berkecil hati atas keterlanjurannya.

Adiwiraku filem terbaik FFM29

Filem Adiwiraku dijulang sebagai Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-29 (FFM29) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia pada 23 September lalu. Filem kisah benar mengenai perjalanan hidup serta cabaran seorang guru bahasa Inggeris memimpin pelajar majoriti Melayu sebuah pekan kecil di sebuah negeri di utara menjadikan ia filem berinspirasi. Filem ini juga merangkul pelbagai anugerah dalam pelbagai kategori lain.

Sangeetha raih Pelakon Wanita Terbaik FFM dan APFKL 2017

Kalau sebelum ini hanya penonton tempatan Tamil yang mengenali wanita bermata galak, Sangeetha Krishnasamy, selepas filem Adiwiraku, dia mendapat tumpuan penonton pelbagai bangsa. Diangkat sebagai Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia (FFM) ke-29, Sangeetha kemudian dipilih memenangi kategori sama pada Anugerah Pengkritik Filem Kuala Lumpur 2017 (APFKL2017).

Kak Girl dan suami curi perhatian Shah Rukh Khan

Siapa sangka, wanita terkenal dengan kebolehan menyanyi dan mengucapkan dialog dari filem Tamil, Hindustan dan Melayu, Kak Girl berjaya mencuri perhatian King Khan of Bollywood, Shah Rukh Khan (SRK) September lalu. Kak Girl atau nama sebenarnya, Nur Amira Maslan tidak menyangka videonya mendapat perhatian SRK selepas pengguna Twitter, Asad Khan memuat naik video tarian dan nyanyian itu di samping memetik (tag) nama SRK dan penerbit, Karan Johar. SRK pula memberi reaksi kepada posting berkenaan beberapa jam kemudian. Katanya, “Wow! Dan lelaki budiman itu buat tidak tahu sahaja.” Lagu tersebut dipetik daripada klip lagu Bole Chudiyan daripada filem Khabi Kushi Khabie Gham yang dibintangi SRK.

Artis tak terima bayaran persembahan Sukan SEA

Isu ini diketengah 2 bulan selepas acara penutup Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017). Beberapa artis mendakwa mereka belum menerima bayaran bagi persembahan yang dijayakan. Salah seorang penyanyi tersebut ialah Datuk Zainal Abidin. Beliau dalam laporan 29 Oktober akui berkecil hati kerana dilayan seperti “bola” yang ditendang ke sana ke sini untuk mendapatkan bayaran selepas selesai melaksanakan tugas. Penyanyi yang popular dengan lagu “Hijau” itu berkata kegagalan membuat bayaran itu menjejaskan beberapa artis dan pihak pengurusan. Isu ini mencetuskan beberapa kontroversi sehingga sampai ke telinga kementerian. Akhirnya perkara ini diselesaikan dengan baik.

“Ada nampak mummy happy?” – Mas Idayu

“Ada nampak mummy happy? Mummy tak nak Shima senyum! Apa yang Shima buat malam ni?” menjadi kenyataan popular selepas penyanyi Mas Idayu mengeluarkan kata-kata itu dalam sebuah rancangan realiti hiburan, D’Academy Asia musim ke-3 di Indonesia. Mas Idayu ketika itu memarahi Baby Shima. Ekoran klip video yang viral itu, Mas Idayu menjadi buah mulut orang. Ungkapan “Ada nampak mummy happy?” menjadi “punchline” popular di laman sosial.

Lagu Aliff Syukri dan Nur Sajat dapat berpuluh ribu ‘unlike’

Usahawan kosmetik yang terkenal dengan gayanya tersendiri, Datuk Aliff Syukri tampil dengan video muzik, lagu duet nyanyian beliau dan Nur Sajat, “Abang Nak Tegur”. Bagaimanapun, video yang dimuatnaik pada 23 November lalu menerima kecaman selain “unlike” di luar jangkaan.
“Abg nak tegur?? kenapa org tekan button unlike kat youtube lirik video saya??,” tulis Aliff.
Sehingga hari ini, video itu menerima 342,000 “unlike” dan hanya 43,000 “like”. Nur Sajat dikatakan punca netizen membenci video itu.

Perkahwinan Fazura dan Fattah

Pasangan sensasi, Fattah Amin dan Nur Fazura Sharifuddin melangsungkan pernikahan dalam majlis tertutup di sebuah hotel terkemuka, di ibu negara pada hujung bulan November tahun ini. Fazura, 34, sah bergelar isteri kepada Fattah, sekali gus menjawab semula soalan mengenai hubungan mereka selama ini. Mereka bertunang pada 13 November di kediaman keluarga Fazura.

Aishah juara Gegar Vaganza 2017

Penyanyi veteran yang pernah menggoncang seni muzik tanah air kembali lagi dalam program realiti muzik Gegar Vaganza. Aishah berjaya menewaskan 5 finalis lain iaitu Liza Hanim, Lan Solo, Hazami, Firman dan Tia Jinbara sekali gus membuktikan kelasnya yang tersendiri dalam arena muzik tempatan.

Sheila bersuara isu kos sara hidup, Azwan selar Sheila

Selebriti kontroversi Azwan Ali menyelar tindakan penyanyi terkemuka negara, Datuk Sheila Majid yang membangkitkan keluhan berkaitan kos sara hidup rakyat. Dalam kenyataannya, Azwan akui terkejut dengan status ratu Jazz negara itu. Azwan menyelar Sheila sebagai meroyan dan merosakkan generasi baharu. Siap dikatanya “Go to hell (pergi jahanam)” kepada Sheila.
Sheila berkongsi status di laman Twitter mengenai masalah kos sara hidup dan kepimpinan yang gagal sehingga menekan masyakarat Malaysia.

Awal Ashaari, Azmir undur dari Melodi

Pada 24 Disember lalu, hos Melodi, Awal Ashaari dan Muhammad Azmir Selamat atau AG mengumumkan pengunduran mereka sebagai pengacara program hiburan popular itu. Keputusan mengejut itu dibuat mereka pada penghujung segmen program itu yang disiarkan secara langsung di TV3 pada Ahad minggu tersebut. Menurut Awal, dia mahu keluar daripada zon selesanya selepas 6 tahun bersama Melodi. Kita tunggu siapa artis pengacara baharu yang bakal menggantikan mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.