
Barah, penyakit yang semakin meragut nyawa manusia di dunia. Setiap masa, ada sahaja pesakit didiagnos dengan penyakit itu.Baru-baru ini, satu kajian mendapati 4 dalam 10 jenis penyakit barah di Amerika Syarikat berpunca daripada gaya hidup seperti merokok, pemakanan tidak sihat dan risiko lain yang boleh dielakkan.
Kajian tersebut bermatlamat mengenal pasti sumbangan beberapa faktor risiko yang boleh dielakkan daripada penularan penyakit barah.
Menurut penyelidik laporan jurnal CA: A Cancer Journal for Clinicians, antara faktor peningkatan risiko barah termasuk merokok, perokok pasif, berat badan berlebihan, pengambilan alkohol, memakan daging merah atau daging proses, dan kurang mengambil buah-buahan dan sayur-sayuran.
Kurang mengambil makanan berserat atau kalsium, bersenam, pendedahan kepada cahaya ultra ungu dan jangkitan pemindahan seksual papillomavirus manusia (HPV) turut diakui sebagai punca barah serviks dan kemaluan, selain tumor di bahagian kepala serta leher.
Penyelidikan itu menggunakan data barah terkini bagi menganggarkan bilangan kes berkaitan dan kematian untuk 26 jenis barah.
Laporan juga mendapati 1.57 juta kes barah dikesan di Amerika Syarikat pada 2014 dan 42% disebabkan faktor risiko yang boleh dielakkan.
Walhal, di Malaysia, barah menjadi pembunuh nombor 3 selepas serangan jantung dan kemalangan.
Barah menyumbang sebanyak 13.56% kematian di Malaysia pada tahun 2015. Laporan Pendaftaran Kanser Kebangsaan bagi tempoh 2007-2011, seramai 103,507 kes kanser baharu didiagnosis di Malaysia di mana 46,794 kes (45.2%) merupakan pesakit lelaki manakala wanita sebanyak 56,713 kes (54.8%).
Menurut laporan Institut Kanser Hospital Pantai Kuala Lumpur pada Februari yang lalu, barah paling lazim dalam kalangan wanita adalah kanser payudara dan serviks manakala bagi lelaki pula adalah kanser paru-paru dan usus.
Turut ditekankan ialah risiko bagi yang ada sejarah penyamit tersebut dalam kalangan ahli keluarga.
Penyakit keturunan seperti kanser payudara, ia sesuatu yang tidak dapat dielakkan.