

Menurut seorang profesor Indiana University School of Medicine, kegemukan sebenarnya disebabkan oleh pengambilan makanan gula dan bukannya lemak.
Aaron Carroll, seorang penyelidik dan professor pediatrik berkata, makanan seperti buah avokado, kekacang, krim dan mentega adalah sihat untuk dimakan.
Pengambilan lemak tidak menyebabkan seseorang itu gemuk atau bertambah berat badan sebaliknya membantu mengurangkan berat badan, tulisnya dalam sebuah buku.
Buku, The Bad Food Bible: How and Why to Eat Sinfully membuktikan teorinya yang dilaporkan menerusi pelbagai penyelidikan, kajian selain analisa terhadap individu yang mengamalkan diet karbo-rendah dan lemak-tinggi serta lemak-rendah dan karbo-tinggi.
Kajian menunjukkan mereka yang mengambil rendah lemak tidak menunjukkan penurunan berat badan yang ketara.
Tetapi mereka yang mengamalkan diet tinggi lemak dan rendah karbohidrat seperti nasi putih dan roti putih, lebih berjaya menurunkan berat badan serta lebih sihat.
Maknanya, kajian itu membuktikan punca sebenar kenaikan berat badan seseorang bukanlah lemak sebaliknya kandungan gula dan karbohidrat yang terurai menjadi gula.
Jurnal Food and Nutrition Research pula mencadangkan pengambilan lebih banyak bijiran halus, meningkatkan berat badan.
Sebagai perbandingan pula, lebih banyak pengambilan bijirin penuh seperti nasi perang dan roti gandum penuh mengurangkan peluang kenaikan berat.
Pakar diet dan nutrisi Memorial Sloan-Kettering Cancer Center di New York, Cara Anselmo berkata diet sihat sedemikian tidaklah sukar.
“Ia tentunya mudah dengan mengelak minuman bergula, karbo bijirin dan makanan diproses yang mempunyai pemanis tambahan. Ia adalah makanan paling dekat dengan diet kita sekaligus menyebabkan kenaikan berat,” katanya.
Manakala makanan seperti kekacang, avokado boleh diperbanyakkan.
Bagaimanapun, semua orang digalak mengambil lemak sihat seperti yag ditemui dalam minyak zaitun, ikan, kekacang.