Diabetes dan mitos berkait

Diabetes dan mitos berkait

Penyakit ini seringkali dikaitkan dengan pelbagai mitos sehingga mengelirukan penghidap mahupun ahli keluarga sehingga buntu mengamalkan gaya hidup sihat.

diabetes
Diabetes semakin sebati dengan gaya hidup moden. Walaupun dikaitkan sebagai penyakit orang dewasa pasca 40-an, kini ia termasuk dalam kalangan orang muda dan kanak-kanak. Di Malaysia sahaja pelbagai laporan menyatakan betapa parahnya penyakit ini.

Menurut laporan Berita Harian pada November 2016, purata 100 rakyat meninggal dunia setiap hari akibat diabetes dan hampir 35,000 orang meninggal dunia setiap tahun akibat penyakit itu.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman, berkata kira-kira 1.8 juta rakyat Malaysia tidak menyedari mereka menghidap penyakit itu yang berpunca daripada cara pemakanan dan gaya hidup tidak sihat.

Bagaimanapun penyakit ini masih boleh dikawal dengan mengamalkan pemakanan sihat, senaman dan gaya hidup berkualiti.

Namun, penyakit ini juga dikaitkan dengan fahaman mitos yang mengelirukan penghidap mahupun ahli keluarga sehingga buntu mengamalkan gaya hidup sihat.

FMT Ohsem memetik 7 mitos paling popular dalam kalangan penghidap diabetes yang memetik jurnal Mayo Clinic dan The National Diabetes Information Clearinghouse (NDIC).

Mitos 1: Diabetes disebabkan oleh pengambilam makanan bergula yang banyak

Fakta: Ia tidak semudah itu. Diabetes bukan disebabkan pengambilan gula berlebihan. Terdapat 2 jenis diabetes, Jenis 1 dan Jenis 2. Diabetes Jenis 1 disebabkan genetik dan faktor penentu yang tidak diketahui. Diabetes Jenis 2 pula disebabkan kerintangan insulin iaitu penurunan sensitiviti tisu badan terhadap insulin dan penghasilan insulin yang berkurangan. Diabetes jenis ini disebabkan pelbagai faktor antaranya genetik, pemakanan dan alam sekitar. Tekanan berterusan juga dikaitkan dengan penyakit diabetes jenis ini.

Mitos 2: Pengambilan insulin pilihan terakhir dalam rawatan diabetes

Fakta: Sekiranya anda didiagnos dengan diabetes, maka anda mesti ambil insulin untuk meneruskan hidup, tiada pilihan lain. Bagi mereka dengan diabetes Jenis 2, ia mampu dikawal dengan pemakanan dan gaya hidup sihat. Kebanyakan akan bermula dengan rawatan ubatan dan kemudian beralih kepada insulin. Ini kerana diabetes adalah penyakit yang akan berkembang dan apabila pankreas berhenti menghasilkan insulin anda sememangnya kena ambil suntikan insulin. Insulin bukanlah tiket terakhir, ramai yang melalui hidup berkualiti selepas mengambil insulin. Yang penting, amalkan gaya hidup berkualiti.

Mitos 3: Diabetes menghalang anda bersenaman kerana sebabkan tekanan gula rendah dalam darah

Fakta: Senaman yang kerap penting jika anda menghidap diabetes kerana ia baik untuk kesihatan kardiovaskular dan membantu mengawal tahap glukosa dalam darah. Ia tidak menolak dakwaan anda kena berhati-hati ketika bersenam. Memandangkan aliran darah agak lemah dalam kalangan pengidap diabetes, senaman membabitkan tapak kaki yang sensitif boleh menyebabkan ulser dan luka yang sukar dipulihkan. Jadi berhati-hati dan gunakan kasut yang berkualiti ketika melakukan senaman. Jangan lukakan diri anda.

Meneruskan senaman ketika kandungan gula dalam darah rendah juga tidak baik kerana ia akan menyebabkan otot mengambil gula daripada aliran darah untuk diubah menjadi tenaga. Ini boleh menurunkan kandungan gula dalam darah menjadi lebih buruk. Jadi pastikan anda periksa kandungan gula dalam darah sebelum bersenam dan jangan terburu-buru ketika melakukan senaman.

Mitos 4: Penghidap diabetes kena kawal ketat pemakanan

Fakta: Pengidap diabetes kena makan makanan berkhasiat, bukan diet ketat yang terkawal. Diet yang terlalu ketat pun tidak baik kerana ia boleh menyebabkan malnutrisi dan keadaan di mana mereka tidak dapat menikmati lagi makanan yang dimakan.

Pengidap diabetes boleh mengambil makanan karbo kompleks tetapi yang rendah glisemik bagi mengelak kegunaan insulin yang banyak. Pilihan makanan yang lain ialah makanan berasaskan bijiran penuh yang tinggi serat dan menawarkan nutrisi penting. Protein dan lemak baik juga penting dalam pemakanan sihat pengidap diabetes.

Mitos 5: Penghidap diabetes tak boleh makan buah

Fakta: Ada fahaman menyatakan penghidap diabetes tak boleh makan buah terutama sekali pisang dan mangga. Walaupun buah-buahan mengandungi tahap gula yang tinggi, ia juga mengandungi vitamin, mineral, air dan serat yang diperlukan tubuh badan. Kandungan serat sudah cukup untuk menghalang peningkatan kandungan gula dalam darah.

Jadi, ambillah hidangan kecil buah atau salad buah selepas makan tengah hari atau malam. Lebih baik memakan buah berbanding meminum jusnya kerana jus seringkali mengabaikan kandungan serat dan mengandungi gula yang banyak. Antara buah yang baik diambil pengidap diabetes ialah epal, pear, oren, plum, aprikot, cheri dan buah-buahan beri.

Mitos 6: Pengidap diabetes tak boleh makan gula atau coklat

Fakta: Boleh diambil sebagai sebahagian hidangan pemakanan sihat atau dikombinasi dengan senaman. Pengidap diabetes boleh mencuba hidangan kecil makanan bergula, cuma ketahui had anda. Masalahnya ia lazim diambil dalam hidangan besar menyebabkan pelbagai masalah lain kepada pengidap.

Mitos 7: Pemanis tiruan lebih baik untuk pengidap diabetes

Fakta: Pemanis tiruan tidak diambil kira sebagai gula boleh diklasifikasi sebagai bebas gula. Namun ia tidak semestinya menjadi pilihan sihat. Pemanis tiruan boleh menjadi lebih manis dari gula. Secara teknikal, pemanis tiruan adalah bahan kimia yang diproses untuk menjadikannya berperasa manis. Ada laporan yang mengaitkan pemanis tiruan dengan kesan jangka panjang negatif kepada tubuh. Kalau nak sangat ganti gula, gunalah pengganti semula jadi seperti agave, madu atau molais

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.