Industri tenun sutera beri pelung hidup kepada wanita Kemboja

Industri tenun sutera beri pelung hidup kepada wanita Kemboja

Program Eco Weavers beri peluang kepada remaja perempuan untuk terus bersekolah sambil peroleh pendapatan dengan bekerja di pusat tenunan itu pada hujung minggu.

Women-Eco-Weavers_maybank

Kedaifan hidup di kawasan luar bandar Kemboja memaksa ramai golongan wanita muda daripada keluarga miskin tegar mencari pekerjaan di luar negara. Kebanyakan mereka akhirnya menjadi mangsa pemerdagangan manusia, serangan seksual dan buruh paksa.

Ketika Yayasan Maybank mewujudkan pusat latihan menenun sutera pertamanya di wilayah Takeo, matlamat utamanya adalah untuk mewujudkan peluang perniagaan tempatan bagi golongan wanita sedemikian agar mereka tidak lagi menjadi mangsa keadaan dalam keterdesakan mencari rezeki.

Program Maybank Women Eco Weavers menyediakan latihan vokasional dalam menenun sutera dan pelbagai peluang pekerjaan lain untuk wanita luar bandar agar mereka mampu mencari rezeki dalam keadaan selamat dan akhirnya dapat membebaskan diri daripada belenggu kemiskinan.

Usaha itu secara tidak langsung turut membuahkan faedah tambahan yang tidak dijangka.

Hak remaja perempuan dan wanita Kemboja disisih

Kaum wanita di luar bandar Kemboja lazimnya tidak dibenarkan bersekolah dan seterusnya dinafikan hak untuk membuat sebarang keputusan dalam keluarga. Budaya mereka mengutamakan kepentingan bapa, suami atau ahli keluarga lelaki yang lain, kata Pengarah yang juga pengasas NGO, Color Silk, Ngorn Vanntha.

Remaja perempuan pula biasanya dipaksa berhenti sekolah dan bekerja di kilang-kilang untuk menampung pendapatan keluarga. Bagaimanapun, anak lelaki digalak melanjutkan pelajaran.

Program Eco Weavers memberi peluang kepada remaja perempuan untuk terus bersekolah dengan membolehkan mereka peroleh pendapatan dengan bekerja di pusat tenunan itu pada hujung minggu.

Pusat berkenaan membayar antara USD30 dan USD40 ketika fasa latihan vokasional supaya keluarga mereka lebih cenderung untuk membenarkan anak perempuan masing-masing menyertai program berkenaan.

“Mereka boleh mencari rezeki, terus bersekolah dan menjaga keluarga pada masa yang sama,” kata Vanntha, yang mana NGOnya bekerjasama dengan Yayasan Maybank untuk menubuhkan Maybank Silk Weaving Training Centre di wilayah Takeo.

Apabila ditanya sama ada gadis-gadis itu dibenarkan mengambil sedikit daripada pendapatan yang diperoleh, Vanntha memberitahu Bernama, biasanya mereka akan menyerahkan keseluruhan gaji kepada keluarga masing-masing.

“Tetapi sekurang-kurangnya peluang ini membolehkan mereka terus tinggal dengan komuniti sendiri di sini, mendapat pendidikan dan bekerja dalam persekitaran yang selamat,” katanya.

Pusat itu menerima remaja berusia lebih 15 tahun, tetapi ada ketikanya Vanntha didatangi golongan yang lebih muda, merayu untuk menyertai program itu.

“Keluarga memaksa mereka supaya berhenti sekolah dan bekerja di kilang-kilang, tetapi mereka enggan. Mereka mahu terus belajar dan tinggal dekat dengan keluarga.

“Mereka meminta kami agar menemui ibu bapa mereka dan menjelaskan peluang yang ditawarkan di pusat itu. Sesetengah ibu bapa tidak membenarkan anak bekerja di pusat itu walaupun latihan diberikan percuma, manakala ada juga ibu bapa yang berpuas hati dengan peluang seperti ini,” katanya.

Remaja perempuan yang dipilih untuk program berkenaan dipilih melalui temu bual dan lawatan ke rumah. Calon yang terpilih biasanya dari keluarga miskin tegar, dipaksa berhenti sekolah dan kemungkinan berhijrah untuk mencari pekerjaan.

Pusat yang terletak 65km dari Phnom Penh, dirasmikan pada 1 Ogos untuk membantu golongan penenun wanita yang miskin tegar melalui latihan, pembinaan kapasiti dan pelbagai insentif berkaitan pengeluaran.

Vanntha sendiri memulakan usaha membantu wanita Kemboja mencari pendapatan melalui tenunan sutera sejak 2009 melalui Color Silk, namun ia hanyalah pada skala kecil. Usaha itu berkembang dengan mendadak apabila NGOnya bergabung dengan Yayasan Maybank pada 2015.

“Uniknya mengenai pusat latihan Maybank Eco Weavers adalah ia menyediakan latihan sejak awal sehinggalah ke akhir bagi wanita yang tidak mempunyai pengalaman langsung.

“Selepas menamatkan pengajian di pusat berkenaan, mereka menyediakan set lengkap alat tenunan secara percuma kepada penenun supaya memudahkan mereka mencari pendapatan dari rumah,” katanya.

Projek ulat kepada hasil seni

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Maybank, Shahril Azuar Jimin berkata kerjasama dengan Color Silk juga membolehkan Maybank membantu dalam program pemeliharaan ulat sutera yang melibatkan 140 keluarga penternak.

“Mereka menanam 21,000 pokok mulberi sebagai sumber makanan utama untuk ulat sutera, yang mampu menghasilkan kepompong sutera berkualiti tinggi dan bahan penting untuk sutera emas Kemboja yang berkualiti tinggi.

“Hari ini, sudah ada impak yang nyata. Ramai penenun keluaran pusat itu mampu meraih pendapatan antara USD150-USD200 sebulan, dan kebanyakan petani pula sudah mula mememperoleh pendapatan hasil tanaman daun mulberi mereka,” katanya.

Sutera emas Kemboja dipanggil sebegitu kerana benangnya yang berwarna kuning dan mempunyai kilauan semula jadi. Ulat sutera emas yang dipelihara di sini unik bagi Kemboja.

“Kami hanya menggunakan pewarna semulajadi untuk menghasilkan warna lain, menjadikannya tidak berbahaya bagi alam sekitar kerana tiada sisa buangan yang masuk ke dalam sistem saliran, sungai mahupun tanah,” katanya selepas pelancaran pusat latihan itu.

Lima puluh wanita dilatih dan 25 lagi sedang menjalani latihan di bawah projek itu. Sasarannya adalah untuk melatih 150 penenun wanita dalam tempoh 3 tahun pertama.

Shahril berkata, yayasan itu melabur kira-kira USD600,000 untuk menampung 3 tahun pertama projek itu.

“Ia pelaburan kecil namun memberi kesan yang amat bermakna. Yayasan akan menilai semula kemungkinan melanjutkan projek itu selepas 3 tahun, tetapi berdasarkan maklum balas pihak pemerintah, pihak berkuasa dan rakyat, kita mungkin akan memperluaskannya,” tambah beliau.

Pelancaran Maybank Silk Weaving Training Centre dirasmikan oleh Setiausaha Negara, Kementerian Hal Ehwal Wanita Kemboja, Chan Sorey, bersama-sama Pengerusi Maybank dan Yayasan Maybank, Datuk Mohaiyani Shamsudin.

Bercakap pada majlis itu, Mohaiyani berkata, “Saya gembira keputusan untuk menyokong keseluruhan projek daripada ulat kepada hasil seni’ membuka peluang pekerjaan, mewujudkan sumber pendapatan dan membentuk ekosistem yang mampan untuk masyarakat penenun di Takeo, sekali gus menyumbang kepada kemajuan mereka sebagai masyarakat dan sebagai satu bangsa.”

Sementara itu, Sorey pula berkata program itu membantu lebih ramai wanita untuk mengambil bahagian dalam pembangunan Kemboja.

“Selama beratus-ratus tahun, wanita menjadi pemacu utama pembangunan negara, tetapi peranan mereka tidak diiktiraf dalam masyarakat. Sebaliknya mereka kehilangan peluang untuk membuat keputusan, akses kepada peluang pekerjaan dan dalam proses itu pula ada kalanya menjadi mangsa keganasan.

“Wanita membentuk 52% daripada penduduk Kemboja. Bolehkah anda bayangkan kehilangan modal insan sedemikian ramai,” katanya.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Yayasan Maybank kerana membantu mengurangkan jurang perbezaan jantina dan mempromosikan warisan seni Kemboja kepada dunia.

Acara itu juga menyaksikan 50 penenun wanita pertama yang diraikan pada upacara penyampaian ijazah yang menandakan berakhirnya latihan mereka.

Sutera Kemboja kualiti luar biasa

Menenun sutera sebenarnya adalah seni turun temurun di Kemboja daripada generasi ke generasi, dari ibu kepada anak perempuan. Bagaimanapun, banyak pokok mulberi dimusnahkan ketika era Khmer Rouge, melenyapkan seni tenunan sutera. Sejak itu pokok mulberi juga jarang didapati di Kemboja.

Dalam usaha mewujudkan masyarakat tanpa kelas, rejim kejam yang berkuasa selama 2 dekad itu membunuh golongan berpendidikan serta yang mempunyai kemahiran khusus. Ini termasuk penenun tradisional, yang pada waktu kematian membawa sekali kemahiran dan pengetahuan mengenai kehalusan warisan Kemboja bersama-sama mereka.

Dengan terhadnya bekalan sutera tempatan, pengeluar sutera buatan sendiri sukar untuk memperoleh pendapatan yang baik kerana mereka perlu menggunakan sutera mentah yang diimport.

Memandangkan kos pengeluaran yang tinggi, penenun tidak mendapat keuntungan kerana pembeli enggan membeli produk sutera yang mahal. Ini memaksa ramai daripada mereka untuk menjual pada harga bawah kos pembuatan dan menanggung kerugian, dan akhirnya meninggalkan seni itu, kata Shahril.

“Kita sering melihat orang ramai bersungguh-sungguh tawar menawar apabila mahu membeli baju sutera. Kadang kala bila penjual memberitahu mereka akan kerugian jika memberi harga yang diminta, kita tidak percaya. Kini, saya melihat sendiri keadaan itu, saya faham betapa sukarnya untuk mereka.

“Pertama sekali, kita perlu menanam pokok-pokok mulberi. Kemudian menuai daun selepas 6 bulan. Anda memberi makan kepada ulat sutera untuk mendapatkan kepompong, kemudian barulah tiba kepada tugas yang paling rumit iaitu menyiapkan tenunan itu,” jelasnya.

Shahril berkata sehelai selendang bersaiz kira-kira 4 kaki panjang mungkin mengambil masa seminggu untuk disiapkan dan biasanya berharga kira-kira USD60-USD100. Bagaimanapun, penenun yang bukan peserta program hanya akan mendapat kira-kira USD5 daripadanya.

“Saya tidak akan mengatakan mereka dieksploitasi tetapi malangnya, begitulah cara sistem ini berfungsi. Kebanyakan keuntungan itu diambil orang tengah, kedai dan sebagainya. Jadi, dengan program ini (Eco Weaver Maybank), kita boleh selamatkan sebahagian besar keuntungan yang hilang.

“Rakan kongsi program kami (Color Silk) dapat memasarkannya terus secara komersil ke pasaran. Jadi penenun akan memperoleh lebih banyak keuntungan dan dibayar mengikut produktiviti. Kami menggalakkan produktiviti dengan menyediakan insentif dan elaun.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.