
Siapa sangka cerek air yang digunakan mendidihkan air untuk penyediaan minuman seperti kopi dan teh mahupun susu bagi pengguna berkeluarga di hotel turut digunakan oleh sesetengah orang untuk mendidihkan pakaian dalam.Gila dan kotor, bukan? Tetapi perkara itu didedahkan oleh netizen selepas wujud satu persoalan oleh pengguna mengenai penggunaan cerek di hotel untuk membersihkan pakaian dalam mereka.
Soalan dikemukakan netizen bernama Guy ‘Yug’ Blomberg di laman Twitter berbunyi, “Ada sesiapakah yang saya kenal membersihkan pakaian dalam menggunakan cerek di hotel sewaktu melancong?”

Soalan itu bukan sahaja tular di laman sosial malah portal Gizmodo Australia yang memberi amaran kepada penghuni hotel mengenai kemungkinan yang boleh berlaku apabila pengguna menyalah guna kemudahan disediakan di bilik hotel.
Namun soalan itu bukan sesuatu yang baharu kerana menurut laporan, perkara sama pernah dipersoal dalam Weibo tahun lalu yang mendedahkan perbuatan kotor itu mungkin berlaku sejak sekian lama.
Yahoo pula melapor terdapat perbualan dalam talian yang mendedahkan krew kabin terkenal dengan tabiat mendidih pakaian dalam menggunakan cerek sewaktu perjalanan semalaman.
“Salah seorang pramugari dipecat serta-merta selepas dikesan berbuat demikian,” petik perkongsian Twitter pengguna.
Hmm.. ternyata berita ini menggangu anda, khususnya mereka yang sering berjalan dan bergantung kepada kemudahan disediakan dalam bilik hotel.
Anda mungkin harus lebih peka dan berhati-hati.
Lebih buruk, kajian membuktikan aktiviti mendidih pakaian dalam tidak membasmi bakteria 100%, bermakna ada peninggalan bakteria yang mungkin digunakan semula oleh pengguna cerek yang sama.
Nampaknya perkongsian berita ini menambah kejelikan kita.
Gizmodo Australia turut menghubungi pensyarah kanan biosains molekular dari Institut Sains Alam Semulajadi dan Matematik di Universiti Massey di Auckland.
“Mendidih membasmi tetapi bukan semua bakteria.”
Katanya, mikroorganisma tertentu tidak menyebabkan masalah kesihatan tetapi keberadaannya dalam persekitaran tertentu boleh menyebabkan pemprosesan toksin yang boleh membahayakan nyawa.
“Siapa tahu berapa lama bakteria tersebut menghuni cerek tersebut sebelum orang lain menggunakannya,” Dr Hendrickson akui ia satu tindakan tidak bertanggungjawab.
“Ia sangat, sangat, sangat kotor,” tambah Hendrickson.