Harmoni 3 bangsa di medan selera Kampung Baru, tarikan utama pelanggan

Harmoni 3 bangsa di medan selera Kampung Baru, tarikan utama pelanggan

Berbanding kawasan lain, orang lebih ramai berkumpul di sudut ini, pelbagai bangsa tidak segan duduk semeja, bersembang dan bergurau senda.

gerai-makanan-kampung-baru
fmt-ohsem-inside-article1Jam menunjukkan pukul 7.45 pagi. Orang ramai berpusu-pusu masuk ke Medan Selera Jalan Raja Muda Musa di Kampung Baru untuk bersarapan pagi.

Di sini, pelbagai menu masakan Malaysia ada dijual. Sebut sahaja apa yang diinginkan, semuanya ada. Nasi lemak, roti canai, mi goreng, nasi kerabu, nasi dagang, nasi putih dengan lauk-pauk makanan tengah hari dan kuih-muih semuanya ada dijual bermula pukul 6.30 pagi.

Daripada keseluruhan kawasan di medan selera ini, ada satu sudut yang keadaannya lain macam’ daripada sudut pandang penulis.

Berbanding kawasan lain, orang lebih ramai berkumpul di sudut ini. Pelbagai bangsa tidak segan duduk semeja, bersembang dan bergurau senda.

Punyalah ramai orang di sini sampai pemuzik jalanan juga suka memilih sudut ini untuk mengalunkan lagu-lagu dendangan mereka berbanding kawasan lain.

Bila penulis dekat dan alami sendiri suasana di sini, barulah penulis faham, kenapa ramai orang suka ke mari.

3 serangkai dalam satu lokasi

Kedai Makan Kasim.
Kedai Makan Kasim.

Gerai pertama adalah ‘Kedai Makan Kasim’ yang amat terkenal dengan hidangan thosai dan vadai. Gerai kedua adalah ‘Gerai Ah Kow’ yang dikenali ramai dengan hidangan mi sup bebola ikan, mi kari, mi kicap dan nasi ayam Hainan.

Gerai ketiga pula ialah ‘Asam Pedas Pak Aji’ yang sejak awal pagi menyediakan hidangan nasi lemak, nasi berlauk dan yang paling istimewa Asam Pedas Melaka!

Ketiga-tiga gerai ini sudah berjiran berpuluh tahun lamanya.

“Anne, kasi abang ini thosai rawa satu,” kedengaran suara Ishak Kasim, pemilik gerai Asam Pedas Pak Aji memesan makanan bagi pelanggan yang datang ke gerainya.

Gerai Ah Kow.
Gerai Ah Kow.

“Haji, abang ini minta nasi lemak,” pekerja Gerai Ah Kow pula membuat pesanan kepada Ishak.

Beginilah cara ketiga-tiga gerai ini berniaga. Tidak kira pelanggan duduk di mana-mana, mereka bebas memesan makanan dari mana-mana gerai. Penjual pula saling membantu mengambil pesanan bagi gerai yang lain.

Bagi mereka apa yang penting adalah kepuasan dan kegembiraan hati pelanggan.

Sampel Malaysia sebenar di sini

“You cannot find something like this in Kuala Lumpur sekarang. Gerai sebelah menyebelah India, Cina dan Melayu bertoleransi. You boleh ambil makanan di gerai Melayu makan di gerai India atau Cina atau ambil makanan di gerai Cina kemudian duduk di gerai Melayu.

“No question asked, tiada benci membenci, marah memarahi atau kecil hati. This is the only place di Kuala Lumpur yang saya rasa, imej perpaduan jelas kelihatan,” ulas Ishak kepada Bernama.

Bekas pekerja syarikat penerbangan Malaysia Airlines ini menjelaskan cara bekerja ketiga-tiga gerai ini yang mengamalkan konsep keterbukaan dalam perniagaan membuat mereka saling melengkapi antara satu sama lain.

“Macam ini kan ada 3 rasa, 3 budaya, gerai India dengan makanan tradisional dia. Dengan thosai, dengan vadai, kemudian, jirannya Cina. Cina dengan makanan mi dia, nasi ayam dia. That is their traditional food. Saya menyediakan makanan tradisi Melayu. Asam pedas dari Melaka, masak lemak dari Negeri Sembilan, lauk kari dari utara. Jadi tempat ini dapat tarik jenis pelanggan yang pelbagai,” cerita Ishak lagi.

Menurut Ishak, beberapa orang kenamaan juga datang makan di sini dan beliau bangga kerana pada beliau, tak kira di gerai mana pun mereka duduk, itu adalah pelanggannya juga.

“Di sini, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M. Saravanan datang makan thosai, mantan Presiden Parti MCA dan Menteri Pengangkutan, Tun Dr. Ling Liong Sik datang makan mi kari, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar datang makan asam podeh,” cerita Ishak dengan bangga.

Makanan tarik pelanggan, perpaduan tarik kepuasan

“Orang dari Penang ke, Seremban ke, bila datang sini nak makan mi mesti ingat Ah Kow, juga mesti mau makan thosai dan haji punya nasi.

“Kita di tempat ini sudah 1Malaysia. Ini macam baru seronok. Baru bagus. Saya mahu terus macam ini. Kita tinggal di Malaysia tak kisah Cina ke, Melayu ke, India ke, Sikh ke, jangan tengok bangsa, kita campur semua,” kata Ng Soon Lee, 40, yang mewarisi Gerai Ah Kow daripada bapanya.

Menurutnya, inilah yang membuat beliau seronok berniaga di sini. Jika satu daripda 3 elemen ini tiada, susasana di sini akan jadi kurang ‘rasa’ dan kurang ‘enak’ padanya.

Gerai Ah Kow sudah beroperasi sejak 1971 di sini. Masyarakat berbilang bangsa tanpa mengira pangkat datang ke sini untuk menikmati juadah makanan Cina yang masih mengekalkan citarasa tradisional.

Kebaikan daripada cara ini menurut beliau, semua pihak boleh maju bersama-sama. Pelanggan tidak merasa takut atau merasa terpaksa mengambil makanan dari sesuatu gerai hanya kerana mereka duduk di meja milik gerai lain.

Dengan cara ini, pelanggan tidak rasa ralat untuk datang secara berkumpulan kerana setiap orang boleh menikmati makanan mengikut selera mereka masing-masing.

“Akhirnya pelanggan yang gembira akan panggil lagi rakan mereka dan jumlah pelanggan akan terus bertambah setiap masa,” katanya.

Selalu rindu makanan di sini

Pelanggan setia di sini yang hanya mahu dikenali sebagai Tambirajh, 59, berkata kerana beliau selalu datang ke sini seorang diri, beliau tidak pernah rasa kekok untuk berkongsi meja dengan sesiapa sahaja.

Bekerja sebagai pemandu, beliau gemar memakan mi kari di gerai Ah Kow sambil menyifatkan ia adalah mi kari tersedap yang beliau pernah nikmati di ibu kota.

“Macam saya sedang duduk dengan adik ini (merujuk kepada penulis) saya boleh cerita apa yang saya tahu dan adik pun cerita apa yang adik tahu,” kata beliau.

Usahawan dari Melaka, Razak Junet pula berkata jika beliau tiba-tiba rindu makanan di sini, beliau sanggup menunggang motosikal dari rumahnya di Sungai Rambai walaupun seorang diri.

“Makanan sedap, suasana harmoni macam ini, mana lagi nak cari,” kata beliau yang memberitahu, kalau anaknya tahu beliau ke sini, semua mereka akan cemburu sebab tidak dibawa Bersama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.