Berhati-hati bila anak autisme bermain air

Berhati-hati bila anak autisme bermain air

Kanak-kanak autisme mudah tertarik dengan apa sahaja yang berkaitan air seperti kolam renang dan tasik kerana ia dilihat sangat istimewa dan ia mampu memberi ketenangan apabila berada di dalamnya.

autims
fmt-ohsem-inside-article1Sudah menjadi lumrah dunia kanak-kanak, apa sahaja aktiviti yang melibatkan ‘air’ pastinya akan menarik perhatian mereka dan begitu jugalah dengan Sayed Ashraaf Ali Sayed Imran, 5.

Baginya, aktiviti riadah air sangat menyeronokkan apatah lagi apabila ia turut diiringi pelbagai permainan seperti pistol air mahupun bola sekali gus menjadikannya begitu girang sebaik ternampak kolam renang, pantai mahupun air terjun.

“Sebelum ini, Ashraaf begitu takut ‘shower’. Segala air yang menghujani atas kepalanya seperti ‘shower’ dia takut. Tetapi, semuanya berubah sejak tahun lepas ketika bercuti di sebuah homestay, Muar, Johor.

“Pada awalnya, dia agak takut tetapi selepas dipujuk banyak kali oleh sepupunya dan ada pula bola, Ashraaf mula suka bermain air sehingga tidak mahu keluar dari ‘swimming pool’. Jenuh pujuk dia supaya keluar dan sejak dari itu kalau nampak pool sahaja dia akan teruja,” kata Zetty Hanani Ramli, 32, kepada Bernama.

Biarpun gembira dengan perkembangan anak sulungnya yang sudah tidak takut air, akan tetapi masih ada sekelumit kebimbangan di sebalik nalurinya sebagai seorang ibu.

Ini kerana, Sayed Ashraaf adalah kanak-kanak Autism Spectrum Disorder (ASD) dan berdasarkan pembacaan Zetty Hanani, beliau mendapati anak istimewa ini berisiko tinggi mati disebabkan kejadian lemas.

Lemas punca kematian ASD

Merujuk laman sesawang National Autism Association (NAA), mati lemas adalah antara punca utama kematian seseorang individu yang disahkan menghidap autisme.

Ia berdasarkan kajian yang dijalankan persatuan ini (NAA, Lethal Outcomes in ASD Wandering (2012)) dan Interactive Autism Network (IAN) Research Report: Elopement and Wandering (2011) mendapati pada 2009, 2010 dan 2011, kejadian lemas melibatkan 91% daripada jumlah kematian kanak ASD berumur bawah 14 tahun di Amerika.

Kejadian menyedihkan ini berlaku adalah disebabkan anak autisme kebiasaannya mudah tertarik dengan apa sahaja yang berkaitan air seperti kolam renang dan tasik. Bagi mereka, air dilihat seolah-olah sangat istimewa dan ia mampu memberi ketenangan apabila berada di dalamnya.

Tarikan inilah yang mendorong kanak-kanak ASD ini cuba memenuhi apa yang diingini termasuklah berlari ke kolam renang untuk bermain air tanpa disedari ibu dan ayah mereka sekali gus mendedahkan mereka kepada bahaya.

Keadaan ini dinamakan ‘wandering atau elopement’ dalam kalangan pakar perubatan yakni merujuk situasi di mana anak ASD hilang secara tiba-tiba dalam persekitaran selamat tanpa pengetahuan orang tua mereka.

“Walaupun fakta itu hanya kajian luar negara tetapi saya tetap risau. Saya tidak kisah, kalau Ashraaf suka bermain air di kolam renang tetapi lebih kepada langkah berjaga-jaga kalau kami terlepas pandang walaupun sekejap kerana kebiasaannya dia akan terus lari pada sesuatu yang menarik perhatiannya,” katanya.

Tidak boleh dipandang ringan, Zetty Hanani berkata situasi ini sangat menakutkan berikutan anak autisme bukan sahaja mengalami masalah sukar berkomunikasi untuk meminta pertolongan sekiranya berlaku kecemasan.

Bahkan, mereka juga tidak mampu menilai situasi bahaya yang bakal menimpa. Ini kerana, autisme adalah gangguan perkembangan saraf yang mempengaruhi kemampuan anak dalam berkomunikasi, tingkah laku dan kebiasaannya berada dalam dunia sendiri.

Kanak-kanak autisme belajar berenang

“Kebimbangan utama saya adalah sekiranya kami sekeluarga pergi bercuti dan mengunjungi rumah rakan yang ada kolam renang, Ashraaf sama ada terjun tanpa disedari atau main di tepi kolam dan terjatuh.

“Sangat bahaya sebab Ashraaf tidak tahu jerit minta tolong seperti kanak-kanak biasa. Ini kerana, ada kanak-kanak Austime tidak bercakap langsung jadi orang tidak sedar. Macam Ashraaf, dia ‘non-verbal’, percakapan terhad kerana masih dalam terapi,” katanya.

Atas sebab itu, terdapat sesetengah ibu bapa yang mempunyai kanak-kanak autisme sebaiknya cuba mengelakkan daripada terlibat aktiviti luar termasuklah bermain air kerana bimbang terlepas pandang kelibat buah hati mereka walaupun ia hanyalah sekejap.

Akan tetapi, adakah tindakan itu tepat?

Dalam satu kajian Columbia University’s Mailman School of Public Health yang diterbitkan dalam American Journal of Public Health awal tahun ini ada menyatakan kepentingan belajar berenang dalam kalangan kanak-kanak ASD.

“Apabila seorang kanak-kanak dikesan menghidap autisme, kebiasaannya umur antara 2 dan 3 tahun, pakar pediatrik dan ibu bapa hendaklah segera mendaftar anak ke dalam kelas berenang, sebelum menjalani terapi perlakuan, bercakap atau gerak kerja.

“Keupayaan berenang bagi kanak-kanak autisme adalah satu kemahiran kelangsungan yang penting”, menurut kajian itu.

Tidak mahu situasi buruk menimpa anaknya, wanita ini mengambil langkah awal menghantar Sayed Ashraaf ke sekolah renang Splashtastik Swim School yang ada menawarkan kelas berenang buat kanak-kanak kategori Orang Kelainan Upaya (OKU) bagi mendapat pendedahan asas-asas berenang.

Pimpin mereka dengar arahan

Bermula awal tahun ini, banyak perkembangan positif dalam proses pembelajaran anaknya di bawah pimpinan jurulatih renang Splashtastik Swim School, Nurawatif Hasini, 27, sekali gus menggembirakan Zetty Hanani dan suaminya, Sayed Imran Sayed Osman, 37 tahun.

“Kami suami isteri bersetuju Ashraaf belajar berenang kerana itu membantu dia bagaimana hendak selamatkan diri andaikata terjatuh dalam kawasan berair. Banyak perbezaannya selepas beberapa kelas, kalau awal dahulu badan dia agak keras dalam pool tetapi sekarang sudah lembut.

Biarpun kemahiran berenang masih lagi tidak konsisten tetapi yang penting Sayed Ashraaf sudah boleh menahan nafas dalam air dan tahu bagaimana mengapungkan badan, serta tidak terus terjun apabila terjumpa kolam renang, kata Nurawatif.

“Dia sudah pandai mendengar arahan iaitu hanya mandi kolam apabila dibenarkan. Perkara pertama sebelum main air, kena duduk di tepi kolam dahulu dan bila saya kata ‘ok’ baru boleh masuk,” kata Nurawatif.

Ditubuhkan pada tahun 2014, Splashtastik Swim School bukan sahaja menyediakan kelas renang khusus untuk kanak-kanak autisme tetapi turut menerima pelajar dalam kalangan anak OKU pelbagai kategori antaranya penyakit saraf celebral palsy dan sindrom down.

Berbekalkan persijilan daripada Swim School International (SSI), Splashtastik juga ada menawarkan modul renang kepada kanak-kanak normal mengikut peringkat umur berbeza iaitu Swim’4’Babies untuk bayi berusia 6 bulan hingga 3 tahun, Swim’4’Tots untuk kanak-kanak berusia 3 dan 4 tahun serta Swim’4’Child (5 tahun ke atas).

Bagi pengasas dan pemilik Splashtastik Swim School, Azmir Khalid, 33, adalah sebaiknya kemahiran berenang dipelajari seawal mungkin kerana ia satu keperluan dan tidak ada sebarang pengecualian walaupun anak OKU.

Bukan pelumba renang

“Sepatutnya, semua kanak-kanak sama ada normal atau OKU, kena mempelajari ‘water safety’ sebab kebanyakan kes lemas berlaku di bawah umur 5 tahun. Di Amerika Syarikat, lemas dikenalpasti sebagai punca kematian kedua tertinggi untuk kanak-kanak manakala di Asia ia berada pada kedudukan nombor satu bagi kanak-kanak lemas di bawah umur 5 tahun.

“Lemas adalah isu besar tetapi ada ibu bapa tidak pandang sangat kepentingannya walhal di Malaysia kita boleh lihat merata-rata ada sungai, parit dan kolam.

“Bayi boleh lemas pada air sedalam 2 inci dan ini termasuklah di bathtub dan kebanyakan kes lemas bukan ketika berenang tetapi disebabkan terjatuh di tepi kolam misalnya. Jadi, kalau diajar cara paling mudah sekiranya terjatuh, lazimnya mereka boleh terus mengimbangkan badan dan segera berenang ke tangga kolam,” katanya.

Menggunakan pelbagai kaedah menarik, menceriakan dan menyanyi semasa mengajar berenang, Azmir yang mengasaskan sekolah renang ini bersama isterinya Nurzieyana Shazmin Abd Halim, 32, bukanlah bertujuan utama menjadikan kanak-kanak ini pelumba renang.

Tetapi, yang paling penting adalah mempunyai kemahiran berenang sekali gus mengurangkan kes lemas dalam kalangan kanak-kanak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.