Suka tak suka, kena minum air

Suka tak suka, kena minum air

Kebanyakan masa, kita memilih minuman bergula dan berkarbonat sewaktu makan, kita mungkin membahayakan diri sendiri lebih daripada yang dijangka.

water
fmt-ohsem-inside-article1Air kosong dikatakan mampu menjadi penawar kepada kebanyakan masalah kesihatan. Paling utama ialah kemampuannya menghilangkan rasa haus termasuk kelaparan. Seseorang manusia boleh hidup tanpa makanan selama 21 hari tetapi tanpa air, seseorang tidak dapat bertahan walaupun seminggu. Dalam pengiraan masa kini, 4 hari tanpa air sudah cukup menyeksakan.

Bagi mereka yang menghargai nikmat semula jadi ini, tiada masalah tetapi berbeza untuk mereka yang liat minum air kosong.

“Saya minum air, cuma air itu adalah kopi, teh, minuman ringan, minuman bergas dan sebagainya. Tekak saya tak boleh ambil air kosong.”

Pergi sahaja ke restoran, kafe atau mana-mana tempat makan, berapa orang yang akan memilih air kosong sewaktu makan?

Rata-rata meja akan dipenuhi air berwarna, teh o, minuman bergas, teh ais, milo ais dan sebagainya. Boleh dikira dengan jari bilangan mereka yang memilih air kosong.

Tanpa air, badan dan organ dalaman akan mengalami dehidrasi dan kesannya, anda tidak boleh berfungsi dengan baik.

Mari kita lihat punca seseorang tidak suka minum air kosong. Jika punca ini dekat dengan diri anda, ini masanya untuk memperbetul tabiat buruk dan perbanyak pengambilan air putih.

1. Ketagih gula

Hmm… umpama sudah terang lagi bersuluh! Ketagihan gula menyebabkan reseptor lidah terlalu bergantung kepada minuman manis dan air tidak berperasa pula dirasakan seperti tidak sedap atau memenuhi kepuasan anda. Mungkin boleh cuba masukkan hirisan buah-buahan segar atau rempah dedaun dalam air kosong. Air perapan daun atau buah juga boleh memberi persepsi air itu berperasa walaupun sebenarnya tidak. “It’s a mind game”.

2. Perut kembung selepas minum air kosong

Mungkin ada benar, mungkin juga tidak. Ini kerana walaupun air kosong menyebabkan perut terasa kembung namun ia akibat cara minum yang salah. Diikutkan, air putih petut diminum secara terhad, dalam 1 atau 2 gelas semasa perut kosong. Namun, jika anda minum seliter air sekaligus, perut akan kembung dan anda akan berasa mual.

Air yang banyak juga harus dielak sejurus selepas makan kerana boleh menyebabkan kembung perut. Sebaiknya, minumlah air kosong sebelum makan atau berselang ketika menjamu selera.

3. Rasa air yang pelik

Kalau rasa air itu meragukan, baik berhenti. Ini kerana air tersebut mungkin tercemar atau tidak segar, hilang keseimbangan Ph atau terdedah kepada bahan kimia. Air tidak sepatutnya memberikan anda rasa terlalu tajam atau pahit. Anda boleh bawa air untuk pemeriksaan kualiti atau buat laporan kepada pihak berwajib.

Saranan minum air

  • Bawa botol berisi air setiap masa, ia akan memaksa anda untuk minum dan menghabiskannya. Kalau boleh belilah botol yang besar.
  • Terdapat pelbagai aplikasi yang membantu mengingatkan anda untuk minum air mengikut berat dan usia anda. Cubalah!
  • Makanan seperti buah dan sayuran juga mempunyai kandungan air secara semulajadi. Warna air kumuhan kencing boleh memberi indikasi tahap keperluan air dalam badan.
  • Minum sehingga warna air kumuhan kencing menjadi kuning jernih.

Kenapa kita kena minum air?

Mungkin soalan ini kelihatan remeh, tetapi bagi mereka yang masih mengambil ringan isu minum air, ini untuk anda. Healthline.com menyenarai 6 manfaat utama minum air putih.

1. Meningkatkan kapasiti fizikal. Tanpa air, seseorang boleh dehidrasi dan secara langsung menganggu tenaga anda. Untuk kekal bertenaga dan terhidrasi, suka tak suka, kena minum juga!

2. Tanpa air, otak anda juga boleh terkesan. Ya, kajian mengesahkan beberapa peratusan cecair diperlukan untuk fungsi otak yang baik. Kehilangan cecair sama ada melalui kumuhan seperti buang air atau peluh boleh menyebabkan otak letih dan sukar memberi perhatian.

3. Anda selalu sakit kepala? Berapa banyak gelas air yang anda minum? Sebenarnya kekurangan air boleh menyebabkan seseorang sakit kepala. Dengan hanya minum air, ia boleh kembali pulih. Jadi jangan asyik salahkan faktor lain jika sakit kepala, cuba fikir balik jumlah air yang diminum.

4. Air itu penting untuk kelancaran penghadaman. Jadi bila proses penghadaman berlaku dengan lancar, ia boleh mengelak sembelit. Minum air supaya anda tak hadapi waktu sukar di dalam tandas nanti.

5. Selalulah minum air bagi mengelak batu dalam ginjal. Kekerapan minum air dan buang air boleh membantu membersihkan saliran perkumuhan termasuk batu dalam ginjal. Khususnya bagi mereka yang pernah terseksa dengan masalah ini. Ini juga boleh mengelak jangkitan saluran kencing.

6. Ini tips paling best! Minum air yang banyak boleh membantu menghilangkan berat badan. Tanpa perlu banyak berbelanja, anda sudah ada cara mudah kurangkan berat. Ini kerana air tidak mempunyai sebarang kalori namun boleh mengenyangkan.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.