

Industri kecantikan berupaya menarik ramai pelanggan kerana, kita lupa pasal duit dan rela berbelanja ekstra demi kelihatan cantik.
Asalkan ada sahaja produk yang menjanjikan kulit mulus, elak jerawat dan jeragat, putih berseri, terus taip “pm pls”, yang bermakna “private message please” iaitu “tolong hantar mesej peribadi” untuk dapatkan maklumat lanjut mengenai produk yang dijual.
Baru-baru ini, 2 iklan benar-benar menarik perhatian, bila dikomen, terus di “block” daripada “page” tersebut.
Okay, wanita ini menunjukkan 2 gambar wajahnya yang berbeza. Sebelah kanan gambar lama, kulitnya kelihatan sihat dan tanpa jerawat atau jeragat, cuma sedikit gelap. Gambar di sebelah kiri, seolah-olah wajahnya disunting dengan “beauty app” untuk memutihkan muka 100 kali ganda.
Saya memberitahu gambar di sebelah kanan lebih cantik kerana warna kulitnya semula jadi dan kelihatan sihat. Manakala di sebelah kanan terlampau putih, kelihatan “mengerikan”.
Beberapa jam kemudian, saya dapati disekat dan tidak boleh mengakses laman itu lagi. Sebenarnya, saya mahu bertanya mengenai kandungan krim adalah ia selamat digunakan.
Satu lagi iklan ialah video seorang wanita berwajah cantik selepas menggunakan krim pemutih muka.
Mukanya bukan sahaja putih tetapi berkilat sehingga nampak pantulan cahaya!
Kebanyakan pengguna turut mempersoalkan keberkesanan produk itu yang kelihatan “too good to be true”.
Sekali lagi saya mahu bertanya bahan kandungan dalam krim tersebut, mujur ramai yang bertanya mengenainya.
Seperti biasa, bab itu tiada jawapan kecuali “produk kami mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan dan disahkan halal”.
Apabila pelanggan obses dengan kecantikan melebihi kebijaksanaannya, mesej “pm pls” mencapai ratusan dan ribuan berbanding beberapa mesej yang mempersoalkan kandungan bahan kimia dalam produk itu.
Seorang kenalan yang bekerja di sebuah kedai jamu di sebuah pasar raya di Pelabuhan Klang tidak lama dahulu pernah memberitahu, gadis masa kini terlalu obses dengan kecantikan sehingga mereka tidak kisah membeli produk terlarang.
“Permintaan untuk produk yang dilarang kementerian masih tinggi kerana kebanyakan pelanggan wanita tak kisah mengenai kesannya.
“Mereka hanya mahu kelihatan cantik sekarang,” katanya sambil menunjukkan set penjagaan muka yang pernah diharamkan kerana kandungan tinggi merkuri dan bahan kimia lain sehingga mampu menyebabkan kanser kulit, selain memberi kesan kepada organ seperti buah pinggang.
Nak jadi cantik tak mengapa, tetapi berpada-padalah, jangan sampai membahayakan diri.
Berikut antara bahan kimia yang sepatutnya dihindari dalam kandungan krim kecantikan khususnya muka.
Mercurous chloride, calomel, mercuric/mercurio adalah nama lain merkuri, 1,4-Benzenediol, p-Benzenediol, p-Dihydroxybenzene, p-Dioxybenzene, p-Hydroquinone, p-Hydroxyphenol, Arctuvin, Benzohydroquinone, Bezoquinol, 1,4-dihydroxybenzol, Tequinol, Aida, dan Benzene iaitu nama lain untuk hydroquinone.
Merkuri adalah bahan aktif yang membantu mencerahkan warna kulit tetapi ia juga bahan kimia yang amat membahayakan.
Ia banyak dikaitkan dengan kerosakan sel otak, masalah ginjal, penurunan fungsi kognitif, sakit kepala, lelah, depresi, mual, pengeluaran air liur berlebihan, radang lidah dan gusi, jika terdedah untuk tempoh lama dan berterusan.
Pendedahannya semasa kehamilan boleh menyebabkan kecacatan janin.
Kandungan tinggi hydroquinone dalam produk pemutih kulit pula menyebabkan lapisan atas kulit mengelupas dan mendedahkan lapisan dalam kepada jangkitan dan radiasi matahari selain boleh merosakkan urat kulit dan mendorong proses penuaan.
Walaupun terbukti mencerahkan kulit, bintik hitam, “stretch mark”, namun ia tidak boleh digunakan sebagai ejen pemutihan kulit kerana hydroquinone meningkatkan risiko kanser kulit, kerosakan hati dan ginjal selepas memasuki saluran darah.
Usah termakan iklan jahil yang memaparkan kulit putih berseri sebagai kecantikan tulen dan kulit gelap sebagai hodoh, kotor dan buruk. Taktik itu sudah ketinggalan zaman!