Yuna bertunang dengan Adam Sinclair

Yuna bertunang dengan Adam Sinclair

Yuna menyifatkan majlis hari ini sebagai saat yang sangat manis dalam hidupnya kerana ia merupakan langkah pertama dalam hubungan cinta mereka untuk hidup bersama.

yuna,-tunang
KUALA LUMPUR: Penyanyi popular Yunalis Zarai atau Yuna hari ini mengikat tali pertunangan bersama jejaka pilihannya Adam Yousof Mohamed Sinclair di kediaman ibu bapanya di Shah Alam.

Menurut kenyataan Yuna Room Records, majlis pertunangan penyanyi yang berkelana ke Amerika Syarikat itu bersama adik kepada pelakon Ashraf Sinclair dan hos televisyen dan radio Aishah Sinclair hanya dihadiri keluarga terdekat dan sahabat rapatnya.

Penyanyi berusia 30 tahun itu menyifatkan majlis itu sebagai saat yang sangat manis dalam hidupnya kerana ia merupakan langkah pertama dalam hubungan cinta mereka untuk hidup bersama selain bersyukur bertemu insan yang sangat penyayang dan baik hati seperti Adam Sinclair, 32.

“Kami sekeluarga sangat gembira dapat berjumpa dan bermesra dengan seluruh keluarga Adam. Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada peminat-peminat yang selalu mendoakan kebahagiaan saya. Berkat doa mereka, hari ini saya selamat bertunang dengan Adam Sinclair.

“Percaturan Allah itu memang sungguh indah, Adam merupakan rakan karib saya dan sepanjang perkenalan kami, dia telah mewarnai hidup saya dan buat saya senyum dan ketawa. Saya gembira akan bergelar isteri kepadanya 1 hari nanti, insya-Allah,” kata pelantun lagu Dan Sebenarnya itu.

Yuna yang pernah berduet bersama penyanyi Usher melalui lagu ‘Crush’ mula mengenali Adam Sinclair seorang direktor di set rakaman untuk iklan televisyen pada awal tahun 2013 sebelum mula rapat pada akhir 2015.

Perancangan untuk bertunang bermula selepas upacara merisik yang dijalankan pada 27 Mac lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.