

Jangan risau, di sebalik pelbagai dakwaan negatif mengenai kopi sebelum ini, satu kajian menyatakan 3 cawan kopi sehari boleh membantu anda hidup lebih lama.
Suka? Sekejap saya nak buat kopi, cawan kedua untuk hari ini.
Dua kajian antarabangsa tampil dengan keputusan itu namun laporan Annals of Internal Medicine di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah pula gagal membuktikan dakwaan itu sebaliknya, akui ia masih dalam pemerhatian.
Kajian pertama dijalankan oleh Agensi Penyelidikan Antarabangsa untuk Kanser (IARC) dan Kolej Imperial London, melibatkan lebih setengah juta orang di 10 negara di Eropah.
Kajian kedua pula melibatkan lebih 180,000 peserta dari pelbagai kumpulan etnik di AS.
Mereka yang mengambil 3 cawan kopi sehari didapati hidup lebih lama berbanding yang bukan, petik AFP.
Pecahan gender menunjukkan lelaki yang minum sekurang-kurangnya 3 cawan kopi sehari mempunyai 18% kurang kebarangkalian untuk mati.
Manakala bagi wanita pula, mempunyai 8% kurang kebarangkalian untuk mati.
Kajian ini dikatakan analisis terbesar yang pernah diadakan melibatkan kesan minum kopi dalam kalangan populasi Eropah.
“Kami mendapati lebih banyak kopi yang diambil, lebih rendah risiko kematian khususnya berkenaan pengaliran dan penghadaman,” kata pengarang utama kajian, Marc Gunter IARC.
Ia berbeza dengan laporan IARC sebelum ini yang pernah menyatakan mana-mana minuman panas seperti kopi, teh dan sebagainya boleh menyebabkan kanser kerongkong dan esofogus.
Para pakar percaya kandungan anti oksidan dalam kopi sebagai faktor yang menyumbang kepada kehidupan lama.
Kajian terdahulu pernah menyatakan pengambilan kopi membantu mengurangkan risiko penyakit jantung, kencing manis, hati dan malah kanser.
Ia diikuti dakwaan kopi sebagai penawar sakit yang lebih baik daripada ibuprofen atau morphine.
Kopi adalah minuman paling popular di dunia dengan lebih 2.25 bilion cawan diminum setiap hari.
Persatuan Kopi British pula merekod, kira-kira 55 juta cawan kopi diminum oleh rakyat Britain setiap hari.