
Revolusi pakaian seragam krew kapal terbang berubah mengikut zaman.Daripada kasut but psikedelik pada 1960-an hinggalah pakaian seragam ikonik Vivienne Westwood yang berwarna merah, kita tidak boleh ketepikan revolusi pakaian seragam krew kapal terbang ini.
Terbaru, Hainan Airlines mengambil langkah dengan memperkenalkan fesyen haute couture yang penuh bergaya untuk krew kabinnya.
Pakaian itu disediakan oleh pereka Laurence Xu yang akui menggabungkan konsep rekaan fesyen barat dan tradisi timur.
“Gabungan elemen tradisi Cina dan fesyen popular barat yang menjadi tumpuan di Paris,” kata kenyataan media syarikat pesawat itu.

Xu menggunakan pakaian asas cheongsam, sejenis pakaian tradisi wanita Cina dan dipadankan dengan kot dan baju bersayap gaya Barat.
Pakaian warna pastel dihiasi dengan cetakan awangan, ombak dan gunung-ganang.
“Seni inspirasi Oriental dan warna tema iaitu warna kelabu menjadi perkara yang paling utama dalam rekaan baju itu,” tambah syarikat itu, petik CNN.
Akhirnya rekaan ini dipilih daripada kira-kira 1,000 rekaan, selepas melalui beberapa mesyuarat antara Xu dan Hainan Airlines.
Syarikat penerbangan yang disenarai di tempat ke-9 dalam senarai 100 penerbangan terbaik dunia Skytrax pada 2017, berkata seluruh proses itu mengambil masa 2 tahun.
Hainan Airlines pertama kali mengenali pereka itu ketika persembahan Laurence Xu Haute Couture di Paris Couture Week Fall/Winter 2017, sekali gus menyatakan keputusannya memperbaharui pakaian seragam mengikut trend fesyen.

Hainan Airlines berkata, pihaknya komited dalam menepati jangkaan pelanggan yang sentiasa berubah mengikut zaman.