
Beberapa bulan lepas saya menonton filem ‘Dr Strange’ iaitu kisah pakar bedah saraf yang menjadi dukun di Kathmandu.Dr Strange (wira hebat komik Marvel) mempelajari seni mistik di ibu negara Nepal itu dan sejak itu penulis menyimpan impian untuk ke negara berkenaan.
Bagi saya ada sesuatu yang misteri mengenai negara yang tersohor dengan banjaran Gunung Everest meskipun ia tidak mempunyai banyak sumber asli serta prasarana yang baik.
Impian saya tercapai pada April lepas apabila saya mengikuti ekspedisi ke Kem Pangkalan Annapurna (ABC) anjuran Happy Hikers iaitu kelab ‘hiking’ yang berpangkalan di Kuala Lumpur.
ABC adalah antara puncak Banjaran Gunung Himalaya di Nepal dan ekspedisi yang berlangsung dari 23 April hingga 30 April itu disertai 33 orang termasuk saya sendiri.
Kalau hendak diikutkan Nepal bukanlah hanya mengenai Gunung Everest dan Banjaran Gunung Himalaya. Sebenarnya Nepal kaya dengan sejarah dan inilah yang saya pelajari sepanjang keberadaan singkat saya di Kathmandu.
Pelancong yang berkunjung ke Kathmandu pasti akan mengalami kejutan budaya, antaranya apabila melihat begitu ramai orang di Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan. Inilah yang penulis sendiri alami ketika mahu mengambil bagasi dalam suasana yang begitu sesak.
Saya dapati tidak banyak penunjuk arah di lapangan terbang itu menyebabkan agak lama untuk saya sampai ke bahagian imigresen. Lalu saya berfikir bagaimana pihak berkuasa mengendalikan keadaan apabila semakin ramai pelancong yang tiba.
Suasana yang sibuk juga boleh dilihat di Kathmandu di samping keadaan yang berdebu serta pencemaran sementara jalan rayanya dipenuhi kenderaan.
Kaya dengan tempat suci dan sejarah purba
Di sebalik kekurangan yang saya lihat di Kathmandu, bandar ini mempunyai tarikannya yang tersendiri termasuk tempat suci yang bersejarah. Menurut rekod sejarah, Kathmandu serta 2 bandar purba yang berhampiran iaitu Bhaktapur dan Patan pernah dijadikan bandar diraja untuk ratusan tahun.
Kunjungan saya ke Kathmandu adalah pada musim bunga, cuaca agak nyaman dan suhu waktu malam sekitar 17 darjah Celsius.
Hotel saya terletak di kawasan dipanggil Thamel, kawasan tumpuan membeli-belah di Kathmandu terutamanya dalam kalangan pendaki gunung serta yang gemar melakukan kembara atau ‘trekking’. Kedai berkenaan menjual pelbagai jenis peralatan pendakian gunung seperti pakaian, beg galas serta kasut. Terdapat juga cenderahati serta kraftangan tradisional Nepal.
Dari hotel saya mudah untuk pergi ke tempat tarikan pelancong seperti Swayambhunath (tempat keramat untuk penganut agama Buddha), Boudhanath (antara monumen tertua dan paling besar penganut agama Buddha pernah dibina di Nepal), Pashupatinath (antara kuil Hindu paling suci di Nepal) dan Patan.
Bhaktapur yang terletak kira-kira 12 kilometer dari Kathmandu adalah antara bandar purba yang paling dijaga dengan baik di Nepal meskipun mengalami kerosakan teruk akibat gempa bumi pada 1934.
Juga dipercayai Bhaktapur adalah tempat kelahiran pelbagai amalan kerohanian serta seni mistik.
Mudah berkomunikasi, semua fasih berbahasa Inggeris
Sistem pengangkutan awam Kathmandu mungkin tidak memberi keselesaan untuk pelancong tetapi mujurlah terdapat ramai pengusaha pelancongan di bandar ini yang menawarkan pengangkutan serta pakej melawat ke tempat menarik yang berpatutan.
Saya tidak menghadapi sebarang masalah sepanjang berada di bandar ini dan saya dapati penduduk tempatan mudah memberi bantuan. Saya juga tidak menghadapi sebarang masalah komunikasi memandangkan bahasa Inggeris ditutur secara meluas di bandar berkenaan.
Bagaimanapun, pelancong dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati ketika berjalan-jalan di sekitar bandar itu.
Memandangkan saya suka kembara, saya tidak melepaskan peluang untuk mendaki Phulchowki, bukit setinggi 2,782-meter yang terletak di bahagian selatan lembah Kathmandu, sekitar 14 kilometer dari pusat bandar.
Bukit ini yang terkenal dengan denai kembara terletak di tengah-tengah kehijauan persekitaran dan Phulchowki sesuai untuk mereka yang suka mengembara secara santai dan mahu menikmati keindahan semula hjadi.
Saya terpegun melihat wanita tempatan berpakaian sari berwarna-warni dan berkaki ayam mendaki bukit berkenaan untuk ke kuil Hindu yang terletak di puncak gunung.
Ketika berada di bandar itu juga saya berpeluang melawat Lumbini dan Kapilavastu, 2 tapak ziarah paling suci untuk penganut agama Buddha yang terletak di selatan Nepal.
Perjalanan dengan bas ke ABC mengambil masa 9 jam dan kira-kira 6 jam dari Pokhara (bandar kedua terbesar di Nepal dan pintu gerbang ke ABC untuk sampai ke Lumbini, dikatakan tempat kelahiran Buddha.
Rumah keluarga Buddha di Kapilavastu terletak kira-kira sejam pemanduan dari Lumbini.
Jejak Lumbini dan kaitannya dengan Buddha
Sebenarnya saya tidak merancang untuk melawat Lumbini tetapi rakan saya dari Sri Lanka yang juga menyertai ekspedisi yang sama ke ABC mengajak saya ke tapak purba itu.
Selesai ekspedisi kami pada penghujung April, kami menyewa sebuah kereta dari Pokhara untuk ke Lumbini.
Pemandangan di Lumbini begitu berbeza dengan suasana bergunung-ganang yang kami lihat di sepanjang ekspedisi. Terletak di kawasan dataran Terai, Lumbini dikelilingi tanah rata yang luas terbentang.
Lumbini adalah tempat kelahiran Siddhartha Gautama yang kemudiannya dikenali sebagai Buddha dan ini diperkuatkan dengan inskripsi di atas tiang yang didirikan oleh Maharaja Mauryan Asoka pada 249 SM.
Di samping Tiang Asoka, terdapat juga tinggalan arkeologi biara dan tempat keramat di Lumbini yang dibina pada kurun ketiga SM sehingga abad ke-15 TM.
Sementara itu, Kapilavastu adalah nama bandar purba di mana Siddhartha Gautama dibesarkan dan tinggal sehingga berusia 29 tahun apabila beliau meninggalkan kehidupan duniawi.
Apa yang kita boleh lihat hanyalah tinggalan batu-bata istana kediaman Siddhartha Gautama dan keluarganya.
Bagaimanapun, banyak terdapat pokok Bodhi yang besar dan rendang di Lumbini dan Kapilavastu. Kisahnya Siddhartha Gautama dikatakan mendapat kesedaran ketika bermeditasi di bawah pokok Bodhi di Bodhgaya di Bihar, India.
Dari Lumbini, pelancong boleh meneruskan perjalanan ke India menerusi bandar di sempadan iaitu Sunauli yang tidak asing lagi antara Nepal dan India. Sunauli terletak di negeri Uttar Pradesh, India dan bandar paling hampir Gorakhpur terletak kira-kira 90 kilometer jauhnya.
Selesai ziarah kami ke Lumbini, saya dan rakan kembali ke Kathmandu dengan kapal terbang. Memang ada lapangan terbang di Lumbini dan penerbangan itu mengambil masa hanya 30 minit.
Kami bermalam di Kathmandu sebelum mengambil penerbangan balik ke tanah air dengan membawa banyak kenangan indah Nepal yang kaya dengan sejarah dan warisan kebudayaan.