Master feng shui Malaysia pamer 52 lukisan di Singapura

Master feng shui Malaysia pamer 52 lukisan di Singapura

Feng Shui penting untuk memastikan mereka yang berada atau tinggal di ruang itu dicurahi kemewahan.

painting-feng-shui-master-yun
fmt-ohsem-inside-article1Master Yun Long Zi, ahli feng shui Malaysia yang berpangkalan di Singapura bukan setakat usahawan dan dermawan yang berjaya. Beliau kini mengukir nama sebagai pelukis.

Baru-baru ini beliau mengadakan pameran solonya di Republik ini dan mempamerkan 52 lukisannya yang berorientasikan feng shui.

Pameran yang bertajuk ‘Symphony of Prosperity and Elegance’ berlangsung pada 26 April hingga 30 April. Ia adalah pameran pertama berrcirikan feng shui diadakan di Singapura.

Feng Shui adalah seni dan sains purba China yang mengajar bagaimana untuk mengimbangkan tenaga dalam ruang tertentu, sama ada di dalam rumah, pejabat atau taman.

Ini penting untuk memastikan mereka yang berada atau tinggal di ruang itu dicurahi kemewahan.

Master Yun, 45, melakar lukisan feng shuinya menggunakan subjek yang menggambarkan nasib yang baik serta perutusan yang positif.

“Apabila saya melukis, saya hanya fikirkan kemewahan dan daripada itu saya dapat tajuk untuk pameran ini yakni Symphony of Prosperity and Elegance,” beliau memberitahu Bernama.

Kertas buatan tangan yang istimewa

Meskipun sesetengah hasil seninya yang dipamerkan di pameran itu dilukis di atas kertas tipis, banyak lagi dilukis di atas kertas khas dipanggil ‘Dong Ba’, yang diperbuat daripada herba diperolehi dari banjaran gunung di barat daya China.

Kertas Dong Ba dipercaya tahan lama sehingga lebih ribuan tahun.

Lukisan Master Yun dilapisi unsur asli seperti emas 24-karat, perak dan gangsa tulen di samping dakwat merah merona yang dipercaya digunakan untuk menyisih kuasa jahat dan menarik untung baik.

Sesetengah lukisannya dijual lebih S$600,000 (RM1.9 juta ) satu.

Master Yun menterjemahkan hasil seninya sebagai “celebrationism” yang bagi beliau gerakan untuk meraikan hasil kerjanya.

Pakar feng shui ini memberi rumpuan kepada tenaga positif serta unsur yang beliau boleh gambarkan seperti cinta, kegembiraan serta keamanan.

Merak menjadi ilham utama

Burung merak adalah subjek utama Master Yun untuk koleksi lukisan feng shuinya. Bagi beliau, burung merak simbol ‘celebrationism’ di samping kemewahan, anggun, maruah serta kemegahan.

“Apa yang boleh saya katakan burung merak ini sungguh cantik, mampu hidup dalam apa jua persekitaran, tanpa perlu menukar warnanya atau menyamar untuk lari daripada haiwan yang mahu memakannya,” kata beliau.

Menurut Master Yun beliau menggunakan burung merak untuk koleksi lukisannya kerana ada sedikit pengaruh teori Charles Darwin, antaranya mengenai perjuangan untuk kelangsungan hidup.

“Ke mana sahaja burung merak ini pergi, haiwan kecil akan lari daripada mereka, jadi sukar untuk burung ini mendapat makanan. Sepatutnya burung ini kebuluran atau dimakan haiwan lain.

“Tapi itu tak berlaku kepada burung merak. Mereka boleh bertahan, dan burung ini menjadi haiwan kesayangan. Bagi saya ia tanda burung ini dari syurga,” beliau dipetik sebagai berkata dalam laporan akhbar.

Bercahaya dalam gelap

Lukisan Master Yun yang bertemakan burung merak dan dipamerkan di ION Art Gallery, Singapura nampak begitu hebat, mengerlip warna keemasan di bawah sinaran lampu terang. Apabila lampu dipadam, lukisan ini bercahaya dalam gelap.

Master Yun menggunakan sejenis bahan lukisan khas yang membuatkan lukisannya bercahaya dalam gelap di bawah lampu sinar ultra.

“Apa yang ingin saya sampaikan ialah dalam suasana terang atau gelap, burung merak ini akan terus berseri-seri,” katanya.

Master Yun, yang membesar di Malaysia, mula mempelajari feng shui pada usia 5 tahun, mengikuti jejak langkah datuknya, generasi kelima tokoh feng shui.

Beliau yang mempunyai lebih 1.4 juta pengikut di Facebook adalah juga pengasas Lotus on Water, jenama terkemuka di Singapura untuk barangan hiasan dan barang kemas jed yang mengambil inspirasi feng shui.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.