
Kita semua tentu tidak dapat melupakan iklan Tahun Baru Cina di mana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bermain drum untuk menghiburkan seorang kanak-kanak perempuan dan keluarganya.Ucapan berbentuk iklan pada 2013 itu yang mencetus tanda tanya rakyat adakah Najib akan tampil lagi memberi ucapan perayaan khususnya Aidilfitri dalam bentuk audio-visual iklan dengan elemen lakonan.
Ternyata, tahun ini Najib dan pasangannya Datin Seri Rosmah Mansor sekali lagi tampil menyampaikan ucapan Raya secara bergaya dalam rakaman iklan yang kini tersebar di laman sosial.
Iklan ucapan Raya ini adalah satu kelainan perdana menteri yang sebelum ini hanya membaca perutusan di televisyen sehari sebelum Syawal bermula.
Dalam iklan ucapan Aidilfitri tahun ini, Najib dan Rosmah tampil sedondon dalam persalinan ungu dikelilingi kanak-kanak dan orang dewasa pelbagai etnik yang bergembira merayakan hari mulia itu.
“Setiap kali merayakan Aidilfitri, telatah kanak-kanak menyerikan lagi sambutan bagi saya. Merekalah yang paling seronok menjamu pelbagai hidangan, bermain bersama sanak saudara dan gembira bila mendapat duit raya,” kata beliau diselang-selikan visual Najib dan kanak-kanak.
“Malah keceriaan ini semakin dirasai apabila rakan-rakan dari pelbagai bangsa turut serta merayakan Aidilfitri. Inilah keunikan tradisi di negara kita yang merupakan identiti negaraku,” sambung beliau lagi, frasa yang turut digunakan dalam status muat naik di Facebook miliknya.
Dalam ucapan yang sama, Najib yang didampingi Rosmah meminta rakyat yang tidak berpeluang pulang ke kampung supaya luangkan sedikit masa menghubungi keluarga tersayang mereka.
Namun dalam lakonan itu, Rosmah hanya berucap di akhir rakaman dengan mengucapkan “Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin” bersama-sama suaminya.
Video yang dikongsi dalam Facebook Najib 16 jam yang lalu dikongsi lebih 500 kali dengan 59,000 kali tontonan.