

RM500? RM1,000?
Ada lelaki yang sanggup membeli sampin songket pada harga sekitar RM15,000 hingga RM50,000.
Apa salahnya kalau orang itu berduit. Lagipun jika wanita sedia berbelanja puluhan ribu ringgit untuk tudung, mengapa tidak lelaki.
Laporan akhbar Kosmo!, menerusi tinjauan di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman(TAR) di Kuala Lumpur mendapati terdapat sampin yang dijual pada harga RM30,000.
Menurut pemilik kedai dan pereka fesyen Bak Tailor, Zamzam Mohd Salim, 51 beliau pernah menjual songket mahal itu tahun lalu kepada 2 ahli perniagaan dari Sabah dan Sarawak.
Sampin songket mahal lazimnya dijual hanya mengikut tempahan dibeli golongan elit, menteri, ahli perniagaan dan kerabat diraja.
“Tahun ini sampin paling mahal yang dijual ialah songket tenun Terengganu berharga RM15,000 kepada seorang individu dari Brunei,” katanya petik akhbar itu lagi.
Songket ialah kain tenunan tradisional Melayu dan Minangkabau di Indonesia, Malaysia, dan Brunei.
Ia digolongkan dalam keluarga tenunan brokat dan ditenun tangan menggunakan benang emas dan perak untuk acara rasmi.
Tip penjagaan sampin songket Terengganu
Memandangkan kita nak beraya dan semua orang pasti mahu tampil segak dengan sampin songket, FMT Ohsem mahu kongsi tip penjagaannya, khususnya songket tenun tangan Terengganu.
Dah beli mahal-mahal, kenalah jaga baik-baik.
Menurut laman web Jakel, sampin songket Terengganu ada cara penjagaannya yang khusus, supaya ia tahan lebih lama.
Antara cara penjagaan yang paling utama ialah, dibersihkan secara cucian kering.
Selain itu, anda dilarang sama sekali menyeterika songket tenun bagi melindungi kualitinya.
Bagaimanapun, kita tetap mahu menyeterika dalam keadaan tertentu, maka gunakan seterika steamer.