Genap 20 tahun Magendran, Mohandas tawan Everest

Genap 20 tahun Magendran, Mohandas tawan Everest

Majlis ulangtahun ke-20 pendakian itu mengimbas aksi Magendran dan Mohandas mengibarkan Jalur Gemilang di puncak dunia dengan ketinggian 8,850 meter (29,029 kaki) dari paras laut

Magendran_Mohandas

Ingat lagi kepada 2 lelaki muda rakyat Malaysia pertama yang menakluk puncak Gunung Everest 20 tahun dulu?

Mungkin kita sudah lupa kejayaan yang dilakar Datuk M Magendran dan Datuk N Mohandas, malah generasi muda juga mungkin tidak mengenali mereka.

Mengenang peristiwa bersejarah itu, semalam, satu majlis sambutan ulangtahun ke-20, “Celebrating Two Decades of First Malaysian On Everest” diadakan.

Majlis bermula dengan mengimbas tarikh 23 Mei 1997 di mana Magendran menawan puncak tertinggi di dunia pada 11.55 pagi waktu Nepal (2.10 petang waktu Malaysia), diikuti Mohandas 15 minit kemudian.

Detik itu diikuti aksi kedua-duanya mengibarkan Jalur Gemilang di puncak dunia yang mempunyai ketinggian 8,850 meter (29,029 kaki) dari paras laut.

Sebenarnya kejayaan itu bukanlah semudah dijangka.

Di saat tiada orang terfikir mengenai Gunung Everest, pasukan yang terdiri daripada 10 orang pendaki itu muncul selepas 10 membuat persediaan.

Ia termasuk mencari dana, pendaki yang melibatkan 120 orang pada fasa pertama dan 40 orang pada fasa ke-2, tempahan pendakian pada 1996 dan kemudiannya pelancaran tabung derma khas, Tabung Seringgit Ke Everest ’97.

Tahukah anda, pasukan fasa ke-2 itu melalui pelbagai latihan kecergasan dibuat termasuk di luar negara seperti India, New Zealand dan Nepal?

Tidak dilupakan juga, perintis Projek Malaysia-Everest ’97 iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad yang turut menjayakan slogan, “Malaysia Boleh”.

Dengan kos RM4.5 juta, 10 orang terpilih mendaki Gunung Everest dan hanya 2 berjaya tawan puncak tertinggi dunia itu.

Bagi Magendran dan Mohandas, selain menempa nama di arena tempatan, mereka juga menjadi lelaki pertama dari Asia Tenggara yang berjaya menakluk puncak tertinggi berkenaan.

Selepas 20 tahun berlalu, apa agaknya perasaan Magendran?, tanya FMT.

“Saya masih berasa sebak setiap kali mengimbas kenangan terindah itu.

“Slogan ‘Malaysia Boleh’ menjadi ungkapan keramat kami. Slogan ini umpama ada nyawa yang memberi semangat luar biasa ketika ia dilaungkan. Slogan ini bukan saja membawa mentaliti rakyat Malaysia keluar dari kepompong ketakutan malah membawa kita mencapai sesuatu yang luar biasa,” katanya.

Hasil kejayaan itu, Magendran dan Mohandas juga menerima Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN) yang membawa gelaran “Datuk” pada 10 Julai 2010 daripada Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas.

Tambah Magendran lagi, pelbagai pihak menganggap percubaan itu akan gagal dan usaha negara akan disia-siakan.

Namun kecekalan dan kegigihan kedua-dua mereka ternyata membuktikan cinta mereka pada negara dan semangat “Malaysia Boleh” membuahkan hasil.

Semangat itu tidak berhenti di situ saja, kini Magendran mengendalikan latihan menawan puncak Kinabalu. Setiap tahun menjelang bulan kemerdekaan, sekumpulan pelajar akan dibawa mendaki gunung tertinggi di Malaysia itu.

Mohandas berkata beliau pula mahu melihat lebih ramai rakyat Malaysia menawan puncak tertinggi dunia itu.

Katanya memandangkan ramai rakyat Malaysia berjaya mendaki Gunung Everest sejak 20 tahun lepas, perkara itu tidak mustahil.

Dalam majlis yang sama, Presiden Majlis Sukan India Malaysia (MISC), Datuk T Mohan dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan berkata, pihaknya merancang menubuhkan kelab pendaki bagi menyiapkan golo­ngan belia terlibat dalam aktiviti pendakian termasuk menawan Gunung Everest.

“Kelab yang akan dibimbing oleh Magendran dan Mohandas ini ditawarkan secara percuma kepada semua kaum,” ujarnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.