

Dikenali sebagai Subsidi Pengasian Selangor, kerajaan negeri bekerjasama dengan Persatuan Kebajikan Haiwan (Paws) untuk menguruskan peruntukan dana itu.
Pengurus Paws, Edward Lim dalam satu pertemuan dengan FMT Ohsem berkata, “Dana subsidi kerajaan Selangor adalah satu percubaan untuk mengelak sebarang kelahiran kucing dan anjing yang kemudiannya dibuang dan dibiarkan berkeliaran di jalanan.
“Jika pemilik memandulkan haiwan kesayangan mereka, ia boleh mengelakkan kehamilan tidak terancang dan pembuangan kucing serta anjing di jalanan atau menyerahkannya ke pusat perlindungan haiwan yang sudahpun cukup sesak.”
Subsidi Pengasian Selangor disediakan untuk kos pemandulan kucing dan anjing dengan syarat prosedur dilakukan doktor haiwan di klinik yang terletak di Selangor.
“Subsidi ini terhad untuk prosedur pemandulan dan pengasian pada kadar maksimum RM60 bagi setiap kucing dan RM100 bagi setiap anjing. Semua kos dan perbelanjaan lain perlu ditanggung oleh individu secara berasingan,” jelas Lim.
Menurutnya, pemilik haiwan yang dilahirkan di Selangor sahaja layak menerima subsidi dana dan permohonan tersebut harus dibuat secara peribadi dan dana itu mampu meliputi kos pengasian dan pemandulan bagi kira-kira 1,500 anjing serta kucing.
“Setiap pemilik berhak memohon subsidi untuk maksimum 5 haiwan setiap minggu dengan syarat mengemukakan satu borang permohonan bagi seekor haiwan dan satu resit dari doktor haiwan untuk setiap rawatan.”
Lim juga menyampaikan penghargaan kepada individu yang bertungkus-lumus memastikan kempen Subsidi Pengasian Selangor berjalan lancar.
Beliau berterima kasih kepada Wani dari Malaysian Dogs Deserve Better, Tracy dari Second Chance, Winnie Lau dari Cherish Life Home dan Myza dari Furry Friends Farm. “Keempat-empat mereka membantu melobi untuk subsidi ini.
“Pengasas AnimalCare, Dr Chan Kar Yein pula membenarkan kami menggunakan model beliau untuk subsidi pengasian. Beliau memulakan projek subsidi 8 tahun lalu dan masih aktif.”
Lim turut menyampaikan penghargaan khusus kepada Sean Oon dari Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), yang dilantik Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor, Ean Yong Hian Wah bagi membantu projek ini dengan persetujuan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
“Banyak usaha dan masa diluangkan Ean Yong dan Sean Oon dalam mendorong kami menjayakan kempen ini,” kata Lim.
Manakala Ean Yong berkata, projek itu mahu menawarkan penyelesaian yang lebih berkesan selain sekadar menangkap anjing dan kucing jalanan.
“Memandangkan ia projek ulung, kami akan melihat reaksi orang awam terhadapnya, positif atau sebaliknya.
“Jika ia menerima tindak balas positif, maka kami tentu akan meneruskannya pada masa hadapan,” kata Ean Yong.
Cara memohon subsidi:
- Cetak borang permohonan dari selangorneuteringsubsidy.wordpress.com/form.
- Isi borang menggunakan huruf besar.
- Lampirkan kolaj gambar menunjukkan “sebelum” dan “selepas” kucing atau anjing melalui prosedur pengasian atau pemandulan. Gunakan aplikasi “Moldiv” untuk telefon pintar dan “PicMonkey” untuk PC atau program lain.
- Lampirkan salinan asal resit rawatan doktor haiwan untuk prosedur tersebut.
- Lampirkan salinan kad pengenalan anda.
- Pastikan borang permohonan dan semua lampiran yang diperlukan diterima Paws dalam tempoh 14 hari dari tarikh rawatan doktor haiwan.