
Filem ini seolah-olah sudah mendapat “restu” pelakon asalnya Sylvester Stallone menerusi satu muat naik status laman sosial mengenai filem yang dirasmikan semasa Festival Filem Cannes baru-baru ini.

Sid Anand yang teruja dengan status berkenaan berkata pihaknya akan berhati-hati bagi memastikan watak dan penceritaan Rambo Bollywood setanding filem Rambo First Blood yang ditayangkan pada awal 1980-an.
Lagu dan tarian tidak boleh dipisahkan dari Bollywood tetapi Sid Anand memberitahu BBC, beliau akan mengelakkan tradisi itu supaya Rambo kekal relevan sebagai filem aksi.
Anak kepada bintang Bollywood 80-an, Jackie Shroff iaitu Tiger Shroff yang akan melakonkan watak Rambo turut teruja selepas mendapat pesanan “good luck” daripada Stallone.
Filem itu tidak memulakan penggambaran sekarang, bagaimanapun dirasmikan dengan penuh harapan di Cannes.
“Rambo adalah ikon global. Dia terkenal di seluruh dunia, jadi penting untuk kami memulakan kempen di sini,” kata Sid Anand.
Pengarah itu tergerak membikin filem itu kerana mahu membuat karya mengenai hero aksi lasak yang sebenar supaya terus kekal dalam hati penonton.
Penggambaran akan dibuat sekitar India melibatkan jalan cerita dengan budaya tempatan supaya keunikan Rambo Bollywood lebih menyerlah.
Ditanya mengenai tanggapan dan jangkaan peminat Rambo, beliau dia berkata, “Saya tahu peminat tegar Rambo tidak mahu saya kucar-kacirkan watak ini. Saya akan pastikan ia tidak berlaku. Saya mahu watak ini bernilai untuk legasi Rambo.
“Filem seumpama ini tidak lagi dihasilkan. Jadi saya teruja mempersembahkannya kepada tontonan generasi muda.”
Hero filem itu, Shroff berkata Stallone adalah Rambo sebenar dan mendapat tawaran tersebut sebagai satu momen paling menggembirakan.
“Saya tidak mahu jadi penggantinya tetapi mahu memberi sudut yang berbeza terhadap watak itu. Stallone tidak boleh diganti!” kata Shroff.
Penggambaran filem itu dijangka bermula akhir tahun ini di kawasan Himalaya.