

Alicia Amin, 22 dan Shikin Gomez, 24, bersedia mengegarkan pentas AsNTM dengan membawa sikap positif membelakangkan semua kritikan negatif yang dipercayai bakal diterima.
Tahun lepas, model Melayu Islam bernama Tuti Noor yang tersingkir dalam episod ke-9 juga dalam situasi sama iaitu dikecam dengan pelbagai kritikan buruk.
Tahun ini, kita ada 2 model Melayu-Islam dari Malaysia dijangka akan turut menerima nasib sama daripada netizen.
“Sejujurnya saya tidak akan membaca sebarang komen negatif di Internet kerana tidak mahu kata-kata orang memberi kesan kepada saya.
“Paling penting saya sentiasa positif dan fokus kepada pertandingan kerana AsNTM adalah peluang kami mengembangkan karier peragaan ke peringkat antarabangsa,” kata Alicia dipetik dari New Straits Times.
Manakala Shikin berkata hakikat Tuti pernah mewakili negara dalam pertandingan pentas peragaan berprestij adalah sesuatu yang harus dibanggakan.
“Terlibat dalam pertandingan seumpama itu dengan standard yang tinggi, dan anda mewakili negara, saya yakin ia sudah cukup untuk menerima sokongan semua orang,” katanya.
Alicia Amin adalah model berdarah kacukan Melayu-Jerman yang kini menetap di Victoria, Australia.
Shikin Gomez adalah model dari Teluk Intan, Perak yang sebelum ini pernah memenangi “Malaysia Supermodel Search 2015”.
AsNTM disertai 12 lagi model dari Filipina, Singapura, Thailand, Indonesia, Vietnam dan Taiwan.
Turut mencuri tumpuan pada AsNTM Pusingan 5 kali ini ialah model kembar, Valerie dan Veronika.