‘Nasi lemak pondan’ di Cheras popular hingga Kanada

‘Nasi lemak pondan’ di Cheras popular hingga Kanada

Jojie, seorang transgender yang juga pereka fesyen dan perunding perkahwinan tidak menyangka perniagaan "nasi lemak pondan" menjadi buah mulut orang hanya selepas baru 10 hari berniaga.

nasilemak-pondan
fmt-ohsem-inside-article1

Siapa sangka, perkongsian mengenai nasi lemak pondan di Cheras menjadi tular sehingga ke Kanada.

Pemiliknya seorang transgender, Jojie Kamaruddin berkata gerainya bukan sahaja dikunjungi warga tempatan yang datang sejauh dari Johor dan Melaka malah dari dan terbaru menerima panggilan dari negara Amerika Utara.

“Tak sangka apabila seorang rakan dari Kanada menghubungi saya dan berkata dia sanggup datang Malaysia untuk merasa nasi lemak pondan setelah ia tular di laman sosial” kata Jojie.

Sebelum ini rakyat Malaysia pernah digemparkan dengan jualan nasi lemak dara dan nasi lemak bujang yang turut menerima sambutan luar biasa selepas dikongsi di laman sosial.

Jojie ketika ditemui FMT Ohsem berkata, dia memulakan perniagaan ini sekadar mahu menambah pendapatan sampingan.

Dia yang merupakan pereka fesyen dan perunding perkahwinan tidak menyangka perniagaannya menjadi buah mulut orang hanya selepas baru 10 hari berniaga.

“Semuanya berlaku selepas salah seorang pelanggan memuat naik rakaman video dalam Facebooknya,” katanya.

Jojie berkata melalui perkongsian ini, dia sekurang-kurangnya dapat mengubah tanggapan serong masyarakat terhadap transgender sepertinya.

“Ramai masih menghubungkan transgender dengan elemen negatif, antara yang paling umum ialah pekerja seks. Saya mahu menjadi mengubah tanggapan itu, saya mahu tunjuk kepada masyarakat, kami juga mencari rezeki halal,” kata Jojie.

Dia juga akui menjadi golongan yang sering dipinggirkan dalam masyarakat dan permohonan untuk pekerjaan profesional di sektor kerajaan mahupun swasta selalunya ditolak.

Cabaran dalam bidang masakan, Jojie berkata sesetengah orang secara membuta tuli melabel makanan yang disediakan oleh orang sepertinya sebagai haram.

“Bahan-bahan yang digunakan untuk membuat nasi lemak ini semua daripada bahan-bahan yang halal.

“Jadi bila orang kata ‘pondan’ masak haram, saya terguris. Kami juga manusia dan saya minta supaya masyarakat tidak menilai kami dari segi luaran sahaja,” jelasnya.

Mengetepikan kecaman, Jojie bersedia menerima cabaran dan bersemangat untuk meneruskan perniagaanya yang semakin mendapat sambutan itu.

nasilemak-pondan1

“Saya lahir macam manusia biasa. Jangan kita nilai orang dari segi luaran sahaja,” katanya.

Jojie memastikan nasi lemak pondan dijual pada harga berpatutan dengan pilihan yang pelbagai seperti mana-mana gerai makanan yang lain.

Nasi lemak biasa (telur, ikan bilis, timun, kacang) dijual pada harga RM1.80 sebungkus manakala RM 4.40 bagi nasi lemak ayam masak merah atau ayam goreng.

Di samping itu, Jojie juga menyediakan pelbagai lauk-pauk lain seperti sambal sotong, sambal paru dan telur goreng.

Tidak ketinggakan kuih-muih seperti kuih keria gula Melaka yang dijual pada harga RM1.20 sebiji.

Jojie memberitahu perniagaannya berkembang dengan baik sejak dikongsi di laman sosial dan orang ramai tidak putus-putus mengunjungi gerainya.

“Jika segalanya berjalan baik, saya berhajat untuk membuka restoran nasi lemak pondan pula.

Katanya, jika terus mendapat permintaan orang ramai, Jojie memasang impian untuk membuka restoran nasi lemak pondan yang setanding dengan restoran besar yang lain..

“Namun buat masa ini, saya hanya mahu kekal dengan gerai saya di Jalan Sri Permaisuri, Cheras bagi memenuhi permintaan orang ramai,” ujarnya.

Gerai nasi lemak pondan dibuka setiap bermula jam 12 tengah hari hingga 7 malam. Jojie juga sedang dalam proses mendapatkan lesen berniaga daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.