Jom serbu Festival Makanan Johor

Jom serbu Festival Makanan Johor

Festival Makanan Johor akan menyaksikan Sultan Ibrahim memasak sendiri makanan tradisional Johor di hadapan pengunjung festival.

nasi-ambeng
Jom makan makanan Johor.

Tanpa perlu bertandang ke mana-mana negeri atau daerah di negeri selatan itu, Persatuan Anak Melayu Negeri Johor (PAMJ) Selangor dan Wilayah Persekutuan memberi peluang kita menikmati makanan Johor di Kuala Lumpur.

Ya, peluang itu dibuka kepada semua rakyat Malaysia menerusi penganjuran Festival Makanan Johor 2017 yang dianjur bersama oleh Kerajaan Negeri Johor dan rakan strategik, Yayasan Waqaf Malaysia.

Sebut sahaja makanan Johor, baik nasi ambeng, lontong kering, mee bandung, laksa Muar, soto ayam, lempeng atau makanan luar yang hanya terdapat di Johor seperti alor maskat dan kacang pool, semuanya boleh dinikmati dalam festival pada 1 dan 2 April di Dataran Merdeka.

Bagaimanapun makanan bukan satu-satunya tarikan pada festival ini, kerana elemen hiburan, kebudayaan dan kesenian melibatkan Bangsa Johor akan turut dipersembahkan.

Menyasarkan kedatangan lebih 100 ribu orang, kemuncak festival ini ialah keberangkatan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar merasmikan festival.

“Lebih meriah, festival ini akan menyaksikan Sultan Ibrahim memasak makanan tradisional Johor di hadapan pengunjung.

Baginda juga buat pertama kali bersetuju membawa keluar trak Mack miliknya dari sempadan Johor ke Dataran Merdeka kelak,” tambah Presidennya, Datuk Sri Syed Hussien Al Habshee.

Acara penutupan festival tersebut pula akan dimeriahkan dengan kedatangan Tunku Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim yang turut dijadual merasmikan pertunjukkan fesyen Johor sempena Syawal.

Festival tersebut diadakan untuk memperkenalkan budaya bangsa Johor melalui makanan, aktiviti kesenian dan kebudayaan. “Program ini juga akan menjadi medium komunikasi bagi mendekatkan bangsa Johor di luar dan masyarakat luar dari negeri Johor terutamanya di kawasan Kuala Lumpur dan Lembah Klang,” katanya.

Festival ini akan disertai lebih 60 peniaga makanan asli dan 40 food truck popular Johor di samping penglibatan artis kelahiran Johor untuk persembahan hiburan sepanjang 2 hari festival.

Antara artis yang terlibat ialah Joe Flizzow, Jepp dan Shuib daripada kumpulan Sepahtu, Shahrol dan Ajak daripada kumpulan Shiro dan banyak lagi.

“Kita ada 10 daerah di Johor tetapi anda tidak lagi perlu ke semua tempat untuk menikmati makanan ‘signature’nya, datang saja ke Festival Makanan Johor, satu tempat untuk semua makanan seluruh Johor,” kata Syed.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.