

Namun, berapa ramai yang sedar dan mempunyai pengetahuan mengenai penyakit pembunuh ke-3 tertinggi negara ini?
Satu persidangan penjagaan kanser menerusi Inisiatif Malaysian Cancer Care diadakan dengan kerjasama Pusat Perubatan Subang Jaya da Persatuan Kanser Malaysia mendedahkan beberapa fakta mengejutkan mengenai tahap kesedaran rakyat Malaysia terhadap penyakit ini.
Menurutnya, kadar kecelikan kesihatan di kalangan warga Australia ialah sekitar 60% hingga 70% manakala di Malaysia, ia hanya sekitar 6.6%.
Ini menjadi salah satu bukti betapa buruknya kedudukan kita tentang kesedaran keperluan penjagaan kesihatan, apatah lagi apabila membabitkan penyakit pembunuh seperti kanser.
Malah kebanyakan kes kanser di Malaysia hanya dikesan selepas mencapai peringkat ke-3 atau ke-4. Ini termasuk dalam kalangan wanita di mana 70% daripada mereka tahu serba sedikit mengenai kanser payudara tetapi 70% dari angka itu enggan membuat sebarang pemeriksaan awal.
Pakar Onkologi Klinikal Pusat Perubatan Subang Jaya, Dr Matin Mellor Abdullah berkata, kelewatan dalam mengesan kanser lazimnya berlaku kerana kurangnya kesedaran dan penglibatan pihak bertanggungjawab seperti hospital, NGO dan individu berkaitan dalam mencapai komuniti “grassroot”.
“Mencapai ‘grassroot people’ sentiasa menjadi cabaran besar pada kita. Mencapai mereka dan terus ‘engage’, sukar dilakukan,” katanya sebagai faktor kecelikan penyakit ini masih di tahap membimbangkan.
Perbincangan ini turut disertai Presiden Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia, Dr S Saunthari yang mengakui kelemahan dalam mendekati masyarakat pertengahan dan bawahan.
“Kita beri ceramah di suatu lokasi, tetapi bagaimana mereka akan mengemaskini maklumat? Siapa yang boleh mereka hubungi pada bila-bila masa sebolehnya dalam kalangan mereka bagi memastikan maklumat yang disampaikan berguna bila diperlukan? Itu cabaran kami sekarang,” kata Dr Saunthari.
Jelas beliau pihaknya bersama badan bukan kerajaan (NGO), hospital swasta dan kerajaan, sedang mencari jalan untuk mencari sasaran masyarakat misalnya melantik seorang wakil dari komuniti tersebut dan melatih serta menjadikan mereka seorang yang mudah dihubungi dalam komuniti itu sendiri.
“Misalnya di estet atau penempatan yang mundur di mana maklumat dalam bahasa Inggeris tidak boleh disampaikan, komuniti tersebut pula tidak dapat berkomunikasi dengan kita, maka kena ada wakil kita dalam kalangan mereka,” jelasnya secara teliti kepada FMT Ohsem.
Berbeza dengan masyarakat di bandar atau yang mempunyai akses dan pengetahuan asas, maka mendekati mereka adalah lebih mudah. Sekurang-kurangnya penyampaian maklumat senang dilakukan, kata beliau.
Apapun, golongan yang ada akses juga masih tidak mempunyai kesedaran yang mencukupi untuk mengesan kanser di peringkat awal dan 50% kanser dirawat pada tahap kritikal.
“Ada beberapa faktor yang menyumbang kepada perkara ini, salah satunya ialah ‘ignorance’,” kata Dr.Matin.
“Di barat misalnya, komuniti mereka mahu mengesan, mengubati atau mencegah penyakit ini kerana mereka tidak mahu diasingkan daripada masyarakat, tidak mahu menanggung masalah dari segi kesihatan mahupun kewangan jika terlewat selain takut pada perubahan gaya hidup kelak.
“Tetapi di Malaysia, kita tidak mahu menerima hakikat masalah yang dialami berkaitan kanser, kita cuba pelbagai perubatan alternatif yang tidak diiktiraf keberkesanannya, sehingga tiada penyelesaian, baru kita jumpa doktor. Masa itu kanser sudah berada di tahap 3 atau 4,” tambah beliau.
Oleh itu individu yang mempunyai sebarang simptom atau kesan yang rapat dengan kanser dinasihatkan tidak berlengah malah sebaiknya membuat pemeriksaaan awal.
Dr Saunthari pula berkata, mana-mana pihak yang mencari bantuan bukan perubatan, seperti sokongan moral kepada pesakit mahupun ahli keluarga, persatuannya sentiasa terbuka.
“Jangan risau pasal halangan bahasa, tahap pendidikan atau lokasi, kami akan cuba sedaya upaya memberi bantuan kepada anda.
“Ini kerana di persatuan kanser, kami bantu dari segi sokongan dan bukan perubatan. Kita boleh berbual dan pesakit boleh kongsi apa sahaja perkara membimbangkan mereka,” katanya.